Wednesday 29 January 2014

Kenangan Lalu Dalam 'Gajiku Sepasang Kasut Seorang Menteri'

Dalam berdepan kos sara hidup yang meningkat, teringat pada untaian tulisan Sasterawan Negara dalam puisinya 'Suara Dari Pusara' (1968) yang bertulis 'gajiku sepasang kasut seorang menteri'. Ayat tersebut adalah satu analogi, dengan perbezaan antara dua darjat. Golongan atasan dan bawahan melalui perbandingan sepasang kasut sahaja. Ini kerana bagi orang berada tentunya berpuluh-puluh pasang kasut dimiliki dengan harga sepasang mencecah ribuan ringgit sementara bagi golongan bawahan, jangankan bermimpi untuk berkasut mewah kerana adakalanya kasut sekolah anak-anak pun tidak berganti biarpun telah lusuh dan koyak.
Menyusur semula kehidupan, aku memahami keperitan itu. Suatu waktu dulu, walaupun realitinya bukan aku yang merasainya namun aku melihatnya sendiri bagaimana abang-abangku berkasut yang koyak, pernah abang Hakim berkasut yang diikat dengan getah lantaran tapaknya yang telah tertanggal kerana dia tidak mahu membebankan emak dan bapak yang sememangnya susah.

Berdepan kehidupan seharian, emak banyak mainkan peranan dalam ekonomi rumahtangga. Untuk berjimat, emak masak dengan kayu api walhal pada zaman tersebut ramai yang telah menggunakan dapur minyak tanah. Memang ada dapur tersebut di dalam rumah tetapi emak masih mahu berjimat dengan menggunakan kayu api. Abang Cici bersama abang Bullah dan abang Hakim rajin cari kayu api dari bukit berdekatan rumah. Setelah pulang dari sekolah, biasanya di sebelah petang mereka akan menebang pokok, membelah dan menjemurnya untuk dijadikan kayu. Sumber air pula, kami ada perigi sendiri. Tiap-tiap hari adik-beradik aku akan bergilir menimbanya, tanpa disuruh dengan kolah dalam bilik air sentiasa penuh airnya. Aku tidak merasai menimbanya lantaran abang-abang yang sangat mengambil berat akan urusan aku. Sejuknya siraman air perigi yang turut menjadi sumber air minuman kami sekeluarga seakan masih terasa.Kahidupan kami amat sederhana.

Rumah kami tidak mewah tetapi sentiasa cukup makan. Emak sangat pandai berjimat sehinggakan untuk membeli ikan pun emak akan pergi lewat berbanding orang lain kerana biasanya, penjual ikan akan menjual lebih murah pada saki-baki ikan yang masih ada malah adakalanya diberi emak harga borong dalam jumlah yang banyak untuk emak habiskan kesemuanya. Emak tidak pernah merungut biarpun ada diantara pembeli yang mengomel kerana ikan pecah perut tapi bagi emak, setelah dimasak maka tentunya ikan-ikan tersebut boleh dimakan walaupun pecah perutnya.

Rumah kami tak ada mesin basuh, emak yang akan basuh sendiri semua baju-baju kami sekeluarga sehinggakan pecah-pecah tangan emak kerana alah pada sabun dan terlalu lama berendam air. Sesekali ada abang-abangku yang akan membasuh seluar jeans mereka tanpa perlu emak mencucinya.  

Rumah kami tak ada mesin pengisar, emak akan menggiling rempah ratus yang pelbagai untuk kami makan saban hari. Emak masak sedap, emak buat sendiri rempah ratus termasuklah untuk memasak kari dan rendang. Jika nak menjelang hari raya, kami adik-beradik akan dikerah untuk bergotong-royong membantu emak.

Rumah kami tak ada peti ais, emak tak menyimpan pelbagai makanan beku. Biasanya makanan yang emak masak akan cukup-cukup, jika tidak pun emak akan panaskan sekali sahaja dan tentunya makanan tersebut akan habis kerana keluarga kami ramai.

Rumah kami tak ada macam-macam perabot, yang ada hanya kerusi rotan yang dibeli abang Kamal, ada kabinet kayu yang abang Cici buat sendiri dan kemudiannya ada almari kaca yang kakak Yeye beri. Rumah kami tak ada tv dan abang-abangku akan menonton di rumah jiran, kemudiannya, apabila aku menjelang remaja barulah kami memiliki tv.

Tapi kami memang bahagia. Tidak ada perbalahan. Biar sukar namun sembahyang lima waktu sentiasa emak dan bapak titiberatkan. Alunan bacaan al-quran tiap malam pasti kedengaran dari rumah kami. Berbudi bahasa dan mengenang jasa, menghargai dan mensyukuri nikmat jadi keutamaan. Apabila ada keluhan yang keluar dari bibirku maka cepat-cepat emak ingatkan bahawa kesusahannya ketika kecil dahulu lebih teruk lagi, hanya makan dengan ubi kayu dan ikan kering. Emak tuntut aku sentiasa bersyukur, jika mahu senang jangan berhenti berusaha dan berdoa... dan pesannya sebati dalam diri biarpun jasad emak telah bersemadi.

Hari ini, aku akan terus berusaha dan sentiasa berdoa agar kehidupan keluarga kami bertambah baik dari hari ke hari. Syukur alhamdulillah, kami dapat melalui kehidupan yang penuh nikmat dari-Nya. Memang kami merasai kenaikan harga barang di pasaran tetapi aku yakin dengan kebijaksanaan mengawal dan melakukan perancangan maka tentunya akan ada banyak keuntungan yang diperoleh.

Dalam hal ini, aku melihat bagaimana ada dikalangan kawan-kawanku sendiri yang berkereta mewah tapi mengeluh harga minyak mahal walhal harga kereta yang dinaikinya bernilai ratusan ribu, minum dan makan pula di tempat-tempat mewah dan gaya amat meyakinkan. Masih juga mereka mengutuk dan mengata kerajaan, menyalahkan kerajaan kononnya penyebab kenaikan harga barang. Kasihan aku rasakan kerana insan sedemikian gagal muhasabah diri.

Dalam masa yang sama, kehidupan pemimpin juga perlu selari dengan kata-kata mahu menyelami hati rakyat. Namun adakah benar para pemimpin atasan ini memahami permasalahan dan kesusahan rakyat sedangkan mereka ini terdiri dari kelas atasan, lahir dari golongan bangsawan, tidak pernah merasai titis keringat di tengah panas dan tiba-tiba kata faham denyut nadi rakyat.... Dalam kepayahan inilah aku memahami analogi 'gajiku sepasang kasut seorang menteri'. Al-fatihah untuk arwah bondaku, Hajjah Karimah Mashur dan untuk Sasterawan Negara Usman Awang.

SUARA DARI PUSARA - USMAN AWANG 

Ibu
Menangis lah dengan air mata tua mu
Dari kemiskinan kita yang lebih tua
Aku lihat mereka menaburkan bunga
Dan ucapkan takziah yang berjela
Yang mengkagumkan sekali
Setelah kematian berdarah kami.


Ayah
Bulan ini tiadalah lagi kiriman ku
Beberapa ringgit dari gaji tak berbakti
(gajiku sepasang kasut seorang menteri)
dan janji ku menggantikan atap pondok
maafkanlah aku ayah
takkan tertunaikan.


Isteriku,
Duka mu tak ke mana sampainya
Tak kemana
Aku dengar mereka mengutip derma
Mengapa kebaikan setelah kami mati
Ketika hayat
Kamar sempit gaji sedikit
Tak mereka tanyakan
Tak mereka sebutkan ini


Anak-anak ku sayang
Baju sekolah mu telah koyak, tiada ganti nya nak
Tampal lah lagi
Tahun ini
Baju sekolah mu siapa membeli
Dan seperti ayahmu,
Mimpilah lah anak anak ku
Jika mimpi masih milik mu lagi
Bahawa Kau akan belajar di universiti


Mereka bercerita tentang kematian ku
Mereka berhiba dan mengutip derma
Tapi sebidang tanah tak ada untuk kita
Kita tidak pernah punya tanah
Kecuali untuk menanam mayatku
Ini pun nanti pasti mereka memikirkan
Betapa untung jika di sini di dirikan kilang


Mereka yang dulu tak pernah bertanya
Hari ini konon kedut seribu duka
Mereka yang tak pernah menyapa kita
Hari ini menulis dan berkata
Konon nya kami pejuang negara


Kematian ku – kematian kawan kawan tercinta
Untuk kekayaan yang bukan milik kita
Supaya tuan tuan itu lena tidur mimpi nya
Tiap estet menghimpunkan susu getah
Tiap lombong melonggokkan bijih
Tiap bank nyaman menghitung untung
Tiap perushaan damai mengira pengeluaran
Setiap sesuatu yang bukan hakmilik kita
Untuk mereka lah kematian ini bernama


Kematian ku di sebut sebentar Cuma
Setelah diserahkan sekeping kertas cek
Harga untuk nyawaku, lupa lah semua
Melainkan ibu, ayah, isteri ku saja
Dan anak anak tercinta memikul derita
Sepanjang-panjang hayat mereka

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers