Wednesday 8 January 2014

Amira Sembilan Tahun...

 
  Hari ulang tahun kelahiran Amira 7 Januari. Genap usianya sembilan tahun. Kematangannya sudah terserlah dan banyak perbualan seharian kami lebih bersifat pemahaman dan penerangan. Sifat keanak-anakannya semakin berkurangan. Lebih gemar berada dalam biliknya sendiri dengan bahan tulisan atau melakukan perkara-perkara yang diingininya. Kali ini tiada majlis jamuan atau sambutan sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Kebetulan jatuh pula pada hari Selasa. Namun pagi itu, sebelum ke sekolah kami lakukan kejutan dengan meraikan bersama adik-adiknya. Lantaran Mr Hubby kerap pulang lewat malam maka kami meraikannya sebelum mereka bersekolah. Ceria wajahnya, dan tertentunya terperanjat kerana pagi-pagi lagi kek telah dihidangkan.

Masa berlalu pantas, usia Amira memasuki sembilan tahun. Tubuhnya semakin tinggi dan pembesarannya tidak sepantas usianya sendiri. Alhamdulillah, Amira dikurniakan kesihatan tubuh badan dan akal fikiran. Semoga Allah SWT terus memberikan kesejahteraan kepada puteri sulung kami ini dan terus mendapat hidayah dari-Nya dengan keberkatan di dunia dan akhirat. Sesungguhnya, tiada apa yang akan menggembirakan mana-mana ibu bapa selain melihat kejayaan anak-anaknya. Aku dan Mr Hubby sendiri tidak pernah menetapkan sebarang cita-cita untuk Amira. Biarlah dia membuat pilihan sendiri bersandarkan kepada minatnya sendiri. Tingkah Amira saban hari semakin terserlah sikapnya selaku anak sulung, ketegasan dalam bersuara dan kepimpinan dalam membuat keputusan. Barangkali itu perangai dari Mr Hubby. Tetapi Amira juga gemar menulis, ada sahaja tulisannya malah gemar membaca madah, puisi dan buku-buku pantun selain lirik-lirik lagu, kemudian menulis pelbagai peristiwa yang berlaku, isi hatinya dan macam-macam lagi. Tulisannya tidak panjang, sesuailah dengan usianya namun jika diamati, sikap tersebut banyak mengikut diriku yang amat gemar juga menulis. Aku memiliki diari dan ada juga buku tulisan yang mengandungi pelbagai madah dan kata-kata semangat yang masih aku simpan hingga kini walaupun ditulis belasan tahun lalu. Dan kini, Amira menyambungnya...

Permintaannya untuk bawa 'goodies bag' ke sekolah kami tunaikan. Katanya dia tak mahu apa-apa lagi tapi mahu meraikannya bersama rakan-rakan sekelasnya. Ceritanya, rakan-rakan sekelas menyanyikannya lagu 'selamat hari jadi' dan 'Allah Selamatkan Kamu'. Semua rakan-rakan sekelasnya memberikan ucapan tahniah dan selamat hari lahir kepadanya. Inilah kali pertama Amira menyambutnya dengan memberikan 'goodies bag' kepada rakan-rakannya.Alhamdulillah, kami dapat menceriakan Amira dihari kelahirannya. Semoga kelak, Amira akan kekal ceria dan menjadi insan berguna untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
 
 








hadiah sempena hari kelahiran...














No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers