Wednesday 31 December 2014

Hari Orientasi Ameer

Sesi persekolahan 2015, Ameer darjah satu. Usianya bakal genap tujuh tahun. Dia ceria dan amat bersemangat untuk bersekolah. Tidak sukar mengejutkannya waktu pagi untuk bersiap walaupun malam sebelumnya dia tidur lewat. Cuma kata-katanya mengusik hati. Tuturnya, dia rasa macam tak sedap hati. Rupanya sebab kakaknya tidak bersama kerana bermalam di Gombak. Memang, antara kami sekeluarga tidak pernah terpisah sebelum ini apatah lagi untuk tiga beradik ini. 

Sunday 28 December 2014

Cuti Hujung Tahun

Baki cuti tahunan masih berbelas hari maka aku ambil 10 hari untuk dihabiskan di penghujung tahun ini. Rancangan asal untuk mengemas rumah dan menulis apa-apa yang aku tertinggal namun lain pula yang aku lakukan. Rumah memang telah dikemas sejak sebelum aku bercuti lagi, jika ada pun hanya sentuhan serba sedikit sahaja. Kemudian masa yang berbaki banyak dihabiskan secara santai bersama anak-anak dan anak-anak saudara yang ada di rumah.

Wednesday 24 December 2014

Tengkujuh, Banjir dan Kenangan Lalu

Musim tengkujuh datang lagi. Banjir kembali terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur. Kali ini memang luar biasa musibah yang berlaku apabila bah yang datang berlaku lebih teruk dari tahun-tahun yang sebelumnya malah sebahagian besar Kelantan lumpuh kerana ditenggelami air. Allahuakhbar, sesungguhnya hanya Allah SWT yang mengetahui rahsia disebalik tragedi ini. Jika dipertengahan tahun lalu, kemarau melanda sehinggakan banyak negeri-negeri yang terpaksa berdepan catuan air namun sekarang ini air dimana-mana dengan jumlahnya tidak tertanggung sehinggakan menenggelamkan kediaman dan penempatan orang ramai.

Monday 22 December 2014

Amira dan Konsert Piano

Amira sudah tiga tahun bermain piano, belajar dalam mengisi waktu terluangnya sebagaimana kemahuannya. Kali ini sebagai konsert tahunan, Ars Nova Music mengadakannya di luar tempat pembelajarannya iaitu di Recital Hall, Graceful Piano, PJ. Sehari sebelumnya ada raptai dibuat bagi memastikan konsert yang diatur berjalan lancar.

Saturday 20 December 2014

Taman Kecil di Laman Rumah

Landskap taman kecil di laman rumah kembali lagi. Bermakna Mr Hubby kembali ke hobi asalnya, menikmati tanaman pepohon menghijau dengan kreativiti untuk mengindahkan laman kecil di hadapan rumah. Sememangnya ruang yang terhad bukan alasan untuk tidak menyemai tanaman, malah ianya dimulakan sejak awal dari perpindahan kami ke rumah ini. Pohon-pohon menghijau ditaman di sudut laman dengan di sekelilingnya diletakkan tanaman berpasu yang juga tidak berbunga. Deretan pasu diletakkan yang kemudiannya dihiasi batu-batu besar dan ditaburi batuan kecil berwarna putih. Mr Hubby membeli batuan kecil putih dan juga yang bersaiz lebih besar berwarna hitam sebagai hiasan taman kecil ini. Bukan itu sahaja, dibelinya juga rerumput mutiara bagi menghijaukan landskap yang baru tersemai. 

Tuesday 16 December 2014

Permulaan, pada sebuah pencapaian
Setelah lelah mendaki, mencapai usaha yang dinanti
Tecapai dicita, rasa puas menyelubungi
Mahu berkongsi bersama semua tanpa riak dengan rendah hati
Kesyukuran atas kurnia-Nya jua
mendapat apa yang dihajati
kemudian, bakal mengisinya dengan bahagia - InsyaAllah!

Sunday 14 December 2014

Amira, Ameer dan Taekwando

Hari ini ada ujian taekwando untuk Amira dan Ameer. Seperti biasa pusat ujiannya ialah di Sekolah Jalan Raja Muda. Bagi Amira aku anggap perkara biasa kerana dia agak serius mengikuti latihan selain ada juga sesekali berlatih di rumah namun untuk Ameer sifatnya yang suka bermain agak merisaukan. Namun aku tidak pernah memaksa mereka berkaitan hal-hal seni mempertahankan diri terbabit sebaliknya biarlah mereka menikmatinya dengan seliaan dari jurulatihnya sendiri. Biar mereka yang berseronok dengan pilihan yang dibuat, namun untuk mereka bertindak ponteng kelas atau berhenti separuh jalan maka jawabnya dari aku tidak sekali-kali.

Saturday 13 December 2014

Bersama Anak-anak Untuk Manisnya Cinta Di Cappadocia

Memang sibuk berkemas, memunggah dan mengatur, mengelap dan menyusun. Lelah ada di mana-mana namun semuanya seakan hilang dengan impian yang tertunai. Pada anak-anak juga enggan mereka berasa bosan lantaran terperap di rumah dan kemudian di arah pula itu dan ini. Aku merencana sendiri kerana Mr Hubby ada tugasan yang perlu dibuat. Sudahnya aku realitikan impian Amira yang terlalu meminati Fazura untuk filem 'Manisnya Cinca Di Cappadocia'.

Friday 12 December 2014

11 Tahun Bergelar Isteri

Alhamdulillah, kesyukuran dipanjatkan kerana atas limpah-Nya, aku dan Mr.Hubby  telah 11 tahun bergelar pasangan suami isteri. Semoga ikatan ini akan berkekalan dalam rahmat-Nya hingga ke akhir hayat dan kemudian kami disatukan lagi di alam kekal di sana nanti. Untuk ulang tahun ke-11, aduhai... antara kami terlalu sibuk menguruskan kemasan rumah kerana akan menghuni kediaman sendiri dalam beberapa hari lagi... 

Tuesday 9 December 2014

Minggu Terakhir Ameer Di Smart Reader Kids

Sesi persekolahan Ameer dan Afrina masih berbaki dengan minggu ini adalah minggu terakhir. Untuk Nina, dia akan melalui fasa pembelajaran awal kanak-kanak untuk dua tahun lagi kerana usianya baharu empat tahun sementara Ameer akan melalui fasa baharu. Minggu ini minggu akhir bersekolah bermakna inilah kali terakhir Ameer di alam pendidikan awal kanak-kanak kerana pada 2015, Ameer akan memasuki darjah satu.

Tuesday 2 December 2014

Menghitung Hari

Melalui hari-hari sambil membilang jari, menanda tarikh dari sehari ke sehari dengan rasa teruja merealitikan cita-cita. Biarpun tidak sama dengan apa yang diimpikan namun memiliki kediaman sendiri adalah cita-cita sejak seabad yang lalu. Memang ada sahaja laluannya yang mendatangkan kesukaran untuk mencapai apa yang dimahu, dari permulaannya berlangsung lancar namun tergantung atas satu keputusan insan lain, menanti... lama... berharap dan kemudian terluka. Cuba merawat dengan pelbagai keadaan, masa berlalu tanpa sedar dari tahun ke tahun dan suasana berubah.

Monday 24 November 2014

'Throwback 2014' Bersama Geng 69

Terlalu istimewa satu-satu hubungan yang berlangsung atas rasa tulus ikhlas, tiada melihat perbezaan dan kekurangan sebagai satu sandaran untuk jalinan akrab, enggan menilai sesama insan baik atau buruk, hodoh atau jelita semuanya diketepikan kerana yang ada adalah keceriaan dan perkongsian apa-apa sahaja. Ya, nilai apa-apa sahaja terlalu mendalam namun bukan dibuat-buat sebaliknya berlaku tanpa sedar yang mengiringi perhubungan berlangsung lancar dari sehari ke sehari, minggu berlalu, bulan menjelma dan kemudian tahun berganti tahun.

Saturday 22 November 2014

Menyusur Akar Di Kembara: Hati Emas

Dalam kesibukan sempat juga mencuri masa, menyusun jadual meluangkan masa menonton konsert 'Kembara: Hati  Emas' yang berlangsung di Istana Budaya. Selepas 28 tahun, M. Nasir bersatu kembali dengan S. Sahlan dan A. Ali dalam satu konsert yang amat gah dengan lagu-lagu kemasyarakatannya. Lagu-lagu yang didendangkan aku hayati bait liriknya, terasa amat dekat dengan jiwa aku. Rasanya akulah dikalangan mereka yang hidup mencari hati emas dalam erti kata sebenar sebuah keikhlasan dan kejujuran dalam kehidupan. Ya, hidup ini adalah satu kembara di bumi yang luas.

Thursday 13 November 2014

Rheumatic Fever Lagi

Hari ini aku dan Mr Hubby menemani Amira yang melakukan pemeriksaan susulan di hospital untuk Acute Rheumatic Fever yang dihidapinya. Rawatan susulan kali keempat di hospital sejak dia didiagnos mendapat rheumatic. Bermula dari pemeriksaan setiap bulan selepas discaj dari hospital bulan Februari lalu, kemudian dua bulan sekali, empat bulan sekali dan syukur hasil perkembangan kesihatan Amira yang amat positif, pertemuan bakal menyusul enam bulan sekali.

Sunday 9 November 2014

Amer & Afrina: Graduation & Concert 2014

 
 Seharian melayan kerenah Ameer dan Afrina yang menjayakan konsert graduasi Smart Reader Kids Taman Puncak Jalil. Konsert berlangsung di Cyberjaya dengan Ameer dan Afrina amat teruja sejak dua minggu lalu apatah lagi kerap latihan dibuat di sekolahnya yang kemudian menjadi bahan ceritanya apabila pulang ke rumah. Tema kali ini 'my hero' maka tentunya hero bagi anak-anak adalah ibubapa mereka. Ameer tahun terakhir di Smart Reader selepas berada di sini sejak usianya empat tahun, maka sewajarnya dia mendapat graduasi... lebih menarik apabila dia turut menerima tempat ketiga untuk Anugerah Pelajar Cemerlang. Senyum lebar Ameer menerimanya.

Saturday 8 November 2014

Majlis Iktifal 2014 Bersama Amira

Julung kali Amira menyertai Majlis Iktifal 2014 Kafa Ibnu Sina yang dibuat oleh pengetuanya yang juga pemilik Firzana Edukids Centre. Sebelum ini ada sahaja acara kami yang menggagalkan Amira untuk menyertainya. Acara kali ini dibuat bertempat di Auditorium Fakulti Kejuruteraan UPM. Amira sangat bersemangat untuk bersama-sama rakan-rakannya melakukan persembahan. Dikir Lakonan untuk para pelajar darjah 3 yang dibuat dengan mengubah suai lagu Dikir Puteri nyanyian Noraniza Idris dan digabungkan dengan lakonan. Dikir barat yang dibuat memberangsangkan sedang lakonan pula lebih banyak yang mengundang ketawa kerana watak serius yang menjadi hambar. Ameer dan Nina juga teruja menunggu persembahan kakaknya. Syabas untuk Amira dan rakan-rakannya malah aku melihat keyakinannya dalam melakukan persembahan berbanding beberapa tahun lalu yang amat kaku dan tidak mesra dengan orang ramai.

Saturday 1 November 2014

Amira Nak Buku Cerita Baru

Menunaikan janji pada Amira sebagaimana permintaannya untuk membeli buku-buku cerita baru selepas selesai dia menduduki peperiksaan. Perkara yang baik tidak mungkin akan dihampakan maka aku membawa Amira berkunjung ke kedai buku. Aku biarkan dia sendiri menjelajah setiap ruang yang ada dan memilih buku-buku cerita bersesuaian dengan citarasanya. Aku minta dia pilih mana-mana buku cerita yang dia mahu dan kemudian aku akan beleknya, jika lulus baru dibeli. Bagaikan mendapat kuasa penuh, Amira memilih banyak buku cerita yang sememangnya menarik tapi aku berikan bajet untuk dia sendiri lakukan anggaran. Biar dia sendiri memilih, menilai dan mengira lantas akhirnya empat buah buku dibeli. Dua buah novel menambah koleksi Ana Muslim dan dua buah lagi kisah haiwan menurut al-quran.

Monday 27 October 2014

Pulau Pangkor Kami Datang...

Percutian tiga hari dua malam ke Pulau Pangkor. Semuanya direncana oleh Mr Hubby yang sangat beria untuk ke sana, sangka ku percutian ini akan terbatal lantaran anak-anak yang bakal berdepan peperiksaan namun semuanya lancar. Memujuk bapa untuk bercuti juga tidak rumit walaupun pada awalnya beberapa kali juga bapa seakan enggan. Sememangnya niat untuk berjalan menikmati perbezaan suasana kota dengan tempat lain amat bermakna. Sebagaimana kebiasaan percutian ini bersama abang Hakim dan abang Bullah sekeluarga berserta Syafik dan Razi.

Sunday 19 October 2014

Selamat Pengantin Baru Hamidah-Rahman

Selamat pengantin baru kepada anak buahku, Hamidah. Anak abang Maili yang tengah telah mendirikan rumahtangga pada 11 Okt lalu. Acara pernikahan yang berlangsung di rumahnya telah dilaksanakan sendiri oleh abang Maili. Syahdu rasa jiwa mendengar suara abang sambil menjabat tangan pengantin lelaki, dan alhamdulillah semuanya berlangsung lancar. Majlis resepsi pula telah diadakan di Perbadanan Putrajaya seminggu kemudian yang juga berlangsung dengan meriah dan sempurna. 

Saturday 11 October 2014

Teater Lagenda Tan Sri P.Ramlee

Tan Sri P. Ramlee, nama besar yang tiada tolok bandingnya. Dari kecil hingga kini aku tiada pernah pernah jemu menontong filem-filemnya terutamanya ketiza zaman kegemilangannya dengan trio Bujang Lapok. Pementasan teater lagenda P. Ramlee kali ini masuk dalam jadual aku, ditambah lagi dengan permintaan Angah yang baru pulang dari Manchester. Dia ingin menikmati teater di negara sendiri setelah berkelana selama setahun di London dan memahami budaya negara maju yang lebih mengutamakan pementasan langsung berbanding tanyangan filem di pawagam. 

Monday 6 October 2014

Ke Muzium Padi, Kedah

Negeri Kedah tersohor sebagai 'Negeri Jelapang Padi' maka sewajarnyalah mempunyai sebuah muzium yang khusus untuk padi. Uniknya muzium ini menerangkan kegiatan penanaman padi dan penuaiannya di negeri terbabit selain turut memberikan pelbagai info berkaitan negara-negara pengeluar beras dunia serta kegiatan yang boleh dilakukan di kawasan penanam padi.

Menjelajah Gunung Keriang, Kedah

Tanpa dirancang, aku sekeluarga mendaki Gunung Keriang yang seringkali dilihat dari kejauhan. Gunung Keriang setinggi 217.92 meter dijelajahi setelah kami gagal mencari idea lokasi untuk berekreasi bersama anak-anak. Menariknya, gunung ini terletak di tengah-tengah kawasan jelapang padi yang meluas, dengan diliputi pepohon menghijau serta lakaran batu kapur yang terhakis maka satu kelainan kepada anak-anak dan aku sendiri.

Sunday 5 October 2014

Berkorban di Kg Mempelam

Meraikan Aidiladha di Kg Mempelam dengan perancangan untuk berkorban bersama-sama bapa mertua dan ipar-duai. Kali ini kami pulang ke Utara lebih awal berikutan hari raya jatuh hari Ahad dan menjelang tengah malam Jumaat kami telah menghuni rumah kelahiran Mr Hubby; itu pun selepas lapan jam meredah lebuh raya yang sesak. Hujan menggamit kepulangan kami dan berlanjutan sehinggalah ke hari raya. Alhamdulillah, rezeki melimpah di pagi Aidiladha dengan titisan hujan membasahi bumi. Syahdu terasa mengerjakan solat subuh berjemaah dan mendengar tazkirah ringkas dari bang Leh. Antara pengisiannya betapa perlunya kita melawan nafsu untuk kepentingan dunia dengan mengutamakan kepentingan akhirat yang teramat nikmatnya kelak.

Friday 3 October 2014

Sekali Lagi Hati Terguris...

Aduh... sakitnya rasa apabila yang sampai ke pendengaran kisah-kisah yang tidak sewajarnya dijadikan bahan sandaran. Masih ada lagikah persoalan itu dalam keterujaan aku mengatur pelbagai tugas tanpa mengambil kira soal orang lain. Dalam apa yang aku lakukan, ada yang memerhati lantas iri hati dan mencari kelemahan diri untuk dijadikan sebagai satu pertikaian.

Sunday 28 September 2014

Amira & Taekwando

Apa yang aku tahu tentang seni mempertahankan diri? Jawapannya tiada malah semasa di alam kanak-kanak emak tidak memperkenankan permintaan aku untuk menyertai kawan-kawan sekampung yang kebanyakannya bermain silat. Hanya aku yang jadi penonton dengan hati alpa, namun kini aku memahami kerana emak bimbang aku berperangai kasar apatah lagi aku hidup dikelilingi adik-beradik lelaki. Untuk Amira pula, permintaannya untuk menyertai taekwando ketika darjah satu tiga tahun lalu aku perkenankan walaupun ketika itu Mr Hubby agak keberatan. Amira bersungguh dan aku memahaminya kerana aku juga teruja untuk anak-anak terlibat aktif lagilah seni mempertahankan diri, elok juga untuk melindungi dirinya dan membentuk sahsiah keperibadian tersendiri.

Monday 22 September 2014

Colombo: Menambah Rasa Syukur

Semakin banyak berjalan, semakin jauh pandangan, semakin bertambah pengalaman maka semakin tebal rasa syukur yang ada dalam diri. Betapa beruntungnya diri ini, malah secara umum betapa beruntungnya rakyat Malaysia, bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini. Aku menjejaki bumi Colombo yang majoriti masyarakat dan pemimpinnya adalah beragama Budha biarpun berbangsa Tamil. Bagi masyarakat Islam pula, mereka adalah minoriti kecil yang hanya sekitar 11 peratus dari populasi warga Sri Lanka. Apa rasanya menjadi bangsa minoriti di negara sendiri dengan agama yang berbeza?

Sunday 21 September 2014

Kongres Di Colombo, Sri Lanka

Menjejak bumi Sri Lanka seakan jadi satu pengiktirafan, dipilih menyertai delegasi bersama 14 orang yang lain adalah satu keberuntungan. Perjalanan ini ibarat membawa satu misi besar kepada sebuah pertubuhan Melayu dalam menampakkan kebolehupayaannya di persada antarabangsa. Inilah satu kebanggaan menjadi warga Malaysia kerana negara ini telah dikagumi, malah menjadi contoh kepada negara-negara lain.

Monday 8 September 2014

Kenang-kenangan Singapura

Kesempatan meluangkan masa ke Singapura kami gunakan sebaik mungkin, berkunjung ke kawasan persekitaran dengan berkenderaan awam. Menaiki bas dan MRT sebagaimana kebiasaan kepada warga kota Singa. Memang dari awal aku dan Mr Hubby merancang, kami akan bergerak semudahnya sebagaimana kebiasaan orang tempatan. Kami seramai 13 orang, enam dewasa dan tujuh kanak-kanak berkeretapi ke Woodlands CIQ, Singapura dengan Senandung Sutera untuk bersama-sama memeriahkan majlis perkahwinan Yayan. Dua tahun lalu abang Hakim dan Mr Hubby bersama anak-anak turut ke Singapura berkeretapi bersama-sama anak-anak meraikan perkahwinan Hafiz namun tanpa aku yang sibuk dengan kerjaya. Kali ini keterujaan aku ibarat satu percutian bersama keluarga.

Sunday 7 September 2014

Walimatul Urus Suriyani & Razihan

Selamat pengantin baru kepada Yayan dan Razi yang memasuki alam perkahwinan. Yayan anak ketiga arwah abang Solo yang sangat manja dan 'mendayu-dayu' suaranya. Aku bersama Mr Hubby sekeluarga telah merancang perjalanan bagi menghadiri majlis tersebut sejak awal tahun ini lagi, malah sejak tarikh perkahwinan ditetapkan, kemudian disertai oleh abang Hakim sekeluarga, abang Kamal dan kak Hasanah yang turut serta. Abang Bulla tidak dapat bersama kerana Ziela bakal menduduki UPSR. Majlis berlangsung di Ang Mo Kio, Ave 6, Singapura dengan kehadiran sanak saudara yang bergabung dari tiga negara - Indonesia, Singapura dan Malaysia - masih tetap serumpun dan akrab biarpun berlainan negara.

Sunday 31 August 2014

57 Tahun Merdeka: Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta

31 Ogos, tarikh kemerdekaan dan tahun ini ulang tahun yang ke 57. Tema kali ini 'Malaysia, Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' aku anggap amat sesuai walaupun pada mulanya terasa terlalu panjang. Memang, di bumi bertuah inilah bermulanya sebuah cinta biarpun ini bukan tanah tumpah darahku namun seluruh kehidupanku bermula di sini. Walaupun aku lahir di negara jiran, tetapi di Malaysia segalanya bermula, dari usiaku belum tahu membezakan antara yang baik dan buruk, hinggalah aku mendapat pendidikan awal dari tadika Kemas yang mula-mula diwujudkan, kemudian bersekolah rendah, sekolah menengah dan menjejakkan kaki di menara gading. Tiada keterasingan dalam usaha memburu impian dan merealitikan cita-cita malahan aku lebih teruja. Di sini bermulanya kehidupanku, masa depanku termasuklah masa laluku juga, semoga kuburanku kelak juga di bumi bertuah ini.

Monday 25 August 2014

Amer & Nina: Syawal di Sekolah

Ceria Ameer dan Nina yang bakal meraikan sambutan merdekaraya di sekolahnya. Awal pagi bangun dari tidur dengan bersemangat malahan bersiap sendiri lantaran keterujaan untuk bergaya riang.

Friday 22 August 2014

MH17: Kami Bersatu Dalam Kehibaan

Allahuakhbar... sememangnya tiada kata-kata untuk dilafazkan, tiada cara untuk menghuraikan bagaimana gundahnya rasa hati, pilu menakluki setiap rongga tubuh, syahdunya amat menyengat dan air mata yang mengalir seakan tiada mahu berhenti. Betapa tragedi MH17 amat memilukan. Terlalu besar dugaan yang menimpa, bukan hanya dirasai ahli keluarga mangsa yang kehilangan malah kami seluruh rakyat Malaysia sehinggalah masyarakat antarabangsa merasai bagaimana peritnya kehilangan ini.

Sunday 17 August 2014

Amira Berdepan Peperiksaan ABRSM

Peperiksaan ABRSM, teori muzik yang julung kali dilalui Amira. Rupanya banyak juga laluan belajar muzik dan Amira tidak pernah mengeluh. Memang keinginannya ketika usia sekitar empat lima tahun ialah untuk belajar bermain piano dan aku penuhi apabila usianya mencapai tujuh tahun. Bermula level satu & dua kemudia masuk ke gred 1. Belajar teori muzik tentunya tidak sama dengan melakukan praktikal malah ini diakui sendiri oleh Ms Ow.

Thursday 14 August 2014

Impian jadi nyata

Alhamdulillah... lama menunggu akhirnya impian menjadi nyata.
Bertahun menanti, dengan debar tanpa sabar namu redha atas takdir-Nya.
Untuk merealitikan impian ini, ada duka, ada sendu, ada kesal dan mujur tiada dendam.
Penantian bukan sahaja satu penyiksaan, tapi penderaan yang mengundang kerinduan.
Ada usaha tanpa jemu, biar lelah namun bertahan; ada gundah namun masih mampu ceria.
Kesukaran yang merapatkan hubungan, menduga jalinan, membadai seketika namun reda jua.
Syukur, syukur dan syukur pada-Mu Ilahi.
Tiada terjadi sebarang perkara tanpa keizinan-Mu Ya Allah dan semoa impian yang nyata ini menjadi penguat kepada kami untuk terus mendekati-Mu.

Wednesday 13 August 2014

Victoria Station, Ada Nostalgia Di Sini

Berkunjung ke restoran Victoria Station, Jalan Ampang... ada keterujaan, ada rasa ceria dan selebihnya menyelinap nostalgia lampau. Akulah anak hingusan itu yang acapkali melalui jalan Ampang untuk ke Ibu Kota, sedari usia masih anak-anak telah aku melalui jalan tersebut dan entah berapa ratus kali pula aku mengangankan berada di dalam restoran ini.  Menerusi bas mini 34 yang seringkali aku naiki setiap kali ke Ibu Kota maka tentunya jalanan berdepan Victoria Station menjadi santapan mata, maka pastinya perhatian aku akan lebih tertumpu di restoran ini. Kemudiannya menambah rasa ghairah aku untuk bersama sebahagian Victoria Station adalah reka bentuknya yang ditambah dengan gerabak kepala keretapi yang ketika itu aku terbaca di akhbar bahawa ia dibeli dari KTM oleh pemiliknya. Sebagai anak kecil yang wujudnya dari keluarga susah maka tentunya memasuki Victoria Station yang bagiku salah satu ikon mewah adalah antara angan-anganku.

Saturday 2 August 2014

Cerita Hari Raya 1435H - Di Kg Mempelam

Rutin tahunan sejak berpasangan dengan Mr. Hubby akan berbahagi masa untuk pulang ke kampung halamannya. Antara kami tidak pernah berlaku pertelingkahan atau bermasam muka berkaitan giliran berhari raya, sebaliknya persefahaman yang terjalin memudahkan perjalanan kami. Sebagaimana biasa, lewat petang Aidilfitri kami akan bergerak memulakan perjalanan membelah lebuhraya Utara-Selatan. Tiada lagi kesesakan jalan raya dan laluan lancar sepanjang perjalanan selama lima jam.

Tuesday 29 July 2014

Cerita Hari Raya 1435H

Tanggal 1 Syawal jatuh hari Isnin. Alhamdulillah kali ini persediaan berlangsung lancar dan secara sederhana. Pastinya keterujaan untuk meraikan Aidilfitri adalah anak-anak sementara bagi aku keutamaan kepada keluarga ditangga teratas. Terasa syahdunya hati apabila mengucup tangan suami di pagi hari... mohon keampuan atas segala salah dan silap, mohon keredhaan hatinya terhadap segala tingkah laku selama ini, memohon sepenuh hati dan berdoa agar jalinan antara kami akan terus berkekalan hingga ke akhir hayat.

Thursday 24 July 2014

Lagi... Susulan Rawatan Acute Rheumatic Fever

Hari ini ke klinik kesihatan lagi untuk cucuk Amira. Maknanya dua kali untuk bulan puasa ini memandangkan tarikh berikutnya kebetulan jatuh pada hari ketiga Syawal. Jika diikutkan perancangan hari terbabit kami akan berada di Kedah dan tentunya untuk cucuk juga perlu dilakukan di sana. Namun kata doktor yang merawat Amira di hospital minggu lalu, tidak semua hospital mempunyai ubat ini dan bukan semua klinik kesihatan juga mempunyai stok ubat tersebut kerana ia memang terhad. Maka tarikh baru dibuat iaitu jadual untuk cucuk dilakukan seminggu awal. Kata doktor sepatutnya ia dibuat pada minggu ketiga atau keempat selepas cucuk yang terakhir.

Tuesday 22 July 2014

Allahuakbar...

Tiada kata-kata yang dapat diucapkan bagi menggambarkan kesyahduan yang teramat sangat. Dalam bulan Ramadan ini, pelbagai dugaan dilalui oleh umat Islam di seluruh dunia. Musibah juga melanda negara kita apabila pesawat MAS MH17 terlibat dalam tragedi angkara manusia. Pesawat komersial dibedil di di udara. Aduhai...luluhnya rasa hati memikirkan bagaimana gambaran dalam pesawat tersebut yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Malaysia. Memanglah Wilayah Ukrane bergolak namun laluan yang dilalui oleh MH17 masih lagi laluan yang dilaporkan selamat malah dilalui oleh beratus-ratus penerbangan lain juga.

Saturday 19 July 2014

Iftar Ramadan 1435H

Permintaan anak-anak untuk berbuka puasa di luar ditunaikan. Sepanjang Ramadan ini saban hari kami berbuka puasa di rumah sahaja dan pada hujung minggu pulang ke Gombak berbuka puasa bersama keluarga di sana, yang utama meraikan bapak.

Perancangan dibuat dan anak-anak teruja terutamanya Ameer yang penuh ceria. Kami tidak buat pilihan yang banyak terus sahaja aku ikut cadangan Mr Hubby untuk berbuka puasa di Kelab Sultan Sulaiman, KL. Kata Mr Hubby makanannya banyak dan ruang yang selesa untuk anak-anak juga.

Monday 7 July 2014

Penghargaan Berpuasa, Pertama Kali Ameer Puasa

Ameer dah enam tahun. Dia amat bersemangat untuk berpuasa walaupun usianya masih kecil. Ditambah lagi dengan cerita dari kakaknya yang memberikan banyangan macam-macam hasil keseronokan berpuasa. Bukan sahaja soal cerita tentang pahala, tapi tentang keenakan makanan waktu berbuka puasa, menu kegemaran akan ditunaikan dan ditambah lagi dengan hadiah penghargaan dari abah dan mama.

Wednesday 2 July 2014

37 Tahun, Nikmat Apa Lagi Yang Aku Dustakan

Hari ini, genap hari kelahiranku... sudah 37 tahun aku dikurnikan Allah SWT rahmat yang tidak terhingga. Dengan tubuh badan yang sihat dan akal yang waras aku mendapat kesejahteraan yang tidak terhingga, maka apa lagi yang aku mahu nafikan dalam kehidupan ini? Jika pangkat dan kedudukan, maka cukuplah aku bergelar isteri dan ibu... alhamdulillah. Panggilan dan gelaran yang sangat-sangat tinggi nilainya untuk seorang wanita kerana aku akui bukan semua wanita dikurniakan menjadi isteri malah jika ada yang bergelar isteri pun, ada yang tidak berpeluang bergelar ibu.

Thursday 26 June 2014

Mak... Kerinduan Menjelang Ramadan

Menjelang Ramadan, jika dihitung Ramadan ini genap enam tahun emak tiada di sisi lagi. Rasanya masih baru sedangkan sudah bertahun-tahun rupanya. Kelibat arwah mak masih tetap ada di depan mata, senyum dan raut wajah tenangnya mengiringi setiap langkah. Rasanya, semakin bertambah usia semakin mendalam ingatan pada arwah mak apatah lagi menjelang bulan puasa.

Monday 23 June 2014

'Explore' Johor Bahru

Program di Johor Bahru membawa kesempatan kepada ku untuk menikmati bandaraya tersebut. Biarpun aku 'kaki jalan' namun Johor bukanlah destinasi yang biasa aku kunjungi memandangkan tumpuan aku dan keluarga lebih terhala ke Utara, sambil balik kampung dapatlah juga berjalan-jalan. Pembangunan Johor Bahru amat memberansangkan, namun yang paling menarik adalah makanannya yang enak-enak. Cuaca yang cerah membawa kami menjelajah persekitaran tempat-tempat menarik, bersesuaian dengan penjelajahan yang dibuat.

Monday 16 June 2014

Ilmu dan Kemewahan

Kebaikan tidak pernah bernoktah... mudah dilakukan walau dimana-mana malahan peluang bersama mereka yang sememangnya telah terserlah hebat amat menyenangkan. Perwatakan tenang, kata-kata yang lembut dan tutur yang penuh santun seakan memujuk jiwa untuk turut sama menyemai rasa sedemikian. Tiada keangkuhan dan rasa riak sebaliknya lahir rasa luhur dengan wajah mulus mengatur kata-kata. Luluh rasanya hati dapat berbicara dengan para ilmuwan sedemikian. Sememangnya kekayaan ilmu di dada menjadikan mereka lebih zuhud dan amat menghormati masyarakat sekelilingnya.

Thursday 12 June 2014

China II: Islam Dimana-mana

Bandaraya Shanghai ditinggalkan dengan menuju wilayah Islam di Ningxia. Kesyukuran dipanjatkan kerana saudara sesama Islam ada dimana-mana dan lebih menarik apabila makanan Islam mudah didapati tanpa perlu rasa was-was dan kurang senang. Wilayah ini cuacanya lebih panas berbanding Shanghai dengan wajah etnik Hui yang beragama Islam juga lebih menarik. Yang lelaki berhidung mancung walaupun masih bermata sepet manakala golongan wanita wajahnya jernih kemerah-merahan, dengan tubuh kecil molek dan halus.

Saturday 7 June 2014

China I: Mencicip Ilmu Di Shanghai

Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China... kata-kata ini tersemat di minda sejak aku tahu membaca dan kemudian apabila aku dapat menjejakinya, ternyata terlalu banyak ilmu yang terhampar di bumi bertuah ini. Dapat juga aku menjejakkan kaki ke tanah kuasa besar dunia ini setelah beberapa kali asyik terbatal walaupun perancangan yang rapi dibuat. Aku akur, jika belum sampai jodoh dan rezeki dari-Nya maka merancanglah bagaimanapun tentunya tidak akan menjadi realiti.

Saturday 31 May 2014

Pengakhiran Mei Yang Macam-macam...

Macam-macam. Cerita yang kurang enak banyak tersaji. Enggan dilapah namun tetap terhidang jua. Mahu tidak mahu tetap ada di depan mata dengan macam-macam rencah yang membusukkan. Aku tidak mahu menjamahnya kerana bimbang banyak penyakit akan singgah sekiranya aku alpa. Aku sedar, dalam kehadiran diri dengan ilmu yang sekelumit cuma, bisa benar rasanya badan menanggung akibat. Ada suara-suara yang tidak mahu aku dengar, cuba memekakkan telinga dan membutakan mata. Di sekelilingku ada mereka yang mahu mengambil kesempatan...barangkali. Namun aku lebih banyak bersangka positif kerana mereka adalah rakan-rakanku yang sentiasa memberi harapan, menyemai rasa sayang dan bertunaslah rasa kasih... sandaran atas keyakinan untuk terus memperkukuh diri dalam kerjaya yang dibuat untuk agama, bangsa dan negara. Allahuakhbar... semoga dibersihkan hati ini dan dipermudahkan perjalanan hidupku demi jalan-Mu Ya Allah!!!

Tuesday 20 May 2014

Teater Di Bawah Lindungan Kaabah

Aku amat teruja sebaik sahaja  mendapat tahu novel Di Bawah Lindungan Kaabah akan diadaptasi kepada persembahan teater. Sebaik sahaja tiket persembahannya mula dijual maka satu permintaan kepada Mr Hubby dibuat untuk menemai aku. Alhamdulillah Mr Hubby setuju dan tarikhnya ialah pada 12 Mei 2014 (Isnin). Aku anggap ini sebagai temu janji kami berdua apatah lagi amat sukar untuk kami dating dalam keadaan anak-anak masih kecil. Terima kasih Mr Hubby yang sudi melayan kerenah dan permintaan ini, satu penghargaan atas masa yang diberi dalam kesibukan yang pelbagai.

Friday 16 May 2014

Rawatan Susulan Acute Rheumatic Fever

Menangani penyakit acute rheumatic fever bersama-sama anak yang semakin meningkat usianya. Sejak bulan Februari lalu, baru tiga kali Amira mendapat injection  di klinik kesihatan sementara sudah tiga kali juga berulang ke hospital untuk rawatan susulan. Sememangnya aku merasai kesakitan Amira setiap kali menerima cucukan apatah lagi dia bukanlah seorang yang berani untuk berdepan dengan kesakitan sedemikian. Injection perlu diambil setiap 28 hari tanpa gagal dan rawatan susulan di hospital dengan pakar kanak-kanak dibuat selepas 6 minggu. Seminggu sebelum tarikh dia mendapatkan injection dia selalu mengadu sakit-sakitnya di bahagian kaki kembali berulang namun tidaklah sampai melarat sebagaimana sebelum ini. Hari ini sakit di bahagian tumit, esok di bahagian sebelah tapak kaki, lusa pula di bahagian lutut dan berulang-ulang, adakalanya di bahgian pergelangan tangan juga. Hati terasa gundah, meminta dia untuk kuat dan tabah.

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers