Thursday 12 December 2013

Sedekad Berlalu...

Genap 10 tahun, suatu waktu yang bukan sekejap... Melalui kehidupan dalam satu perkongsian, sepanjang sedekad bersama-sama. Dalam kedukaan, dalam kepahitan, dalam penderitaan... apabila berjaya melaluinya maka itulah kemanisan, kegembiraan dan kebahagiaan. Kepercayaan yang diberikan adalah satu pengiktirafan terindah buat seorang isteri juga kepada Sang Suami. Memberi dan menerima, tanpa ada salah sangka, apatah lagi untuk mengharapkan yang sempurna kerana akur bahawa inilah pasangan terbaik dari Ilahi. Alhamdulillah.

Syukur pada-Mu Ilahi. Kesejahteraan bukanlah hidup tanpa masalah. Kebahagiaan bukanlah ada tanpa sengketa sebaliknya kematangan dalam berdepan krisis, berkongsi derita dan bersama mengharung duka adalah bukti bahawa dia dan aku saling memerlukan. Untuk Mr. Hubby, sememangnya antara kita tidak ada yang sempurna tetapi kita bersama saling melengkapi, menutup kekurangan, membuang kekotoran dan seboleh mungkin, kita mencipta momen indah untuk kehidupan bersama. Selagi kita saling berkongsi kedukaan dan kesusahan maka selagi itulah kebahagian masih ada bersama kita. Untuk sedekad lagi, sedekad lagi, sedekad lagi dan lagi dan hinggalah penghujung usia kita.

Sedekad bersama, tiga cahayamata yang amat bererti mengisi ruang hidup kita, menjadikan perkongsian kita semakin bermakna, bertambah ceria dan sangat indah. Pada-Mu Ilahi, jadikanlah putera puteri kami ini insan berguna, berbakti pada  nusa dan bangsa tanpa lalai dengan tuntutan agama. Allahu ahkbar!!!


No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers