Sunday, 3 November 2013

Sungai Limau...

Esok, genap dua minggu berkampung di Sungai Limau... Dewan Undangan Negeri yang berdepan dengan pilihan raya kecil lantaran kematian penyandangnya, allahyarham Tan Sri Azizan. Tugasan tergalas diterima dengan senang hati apatah lagi Mr. Hubby turut teruja lantaran diakhir tugasan beliau dan anak-anak akan menyusul aku ke negeri kelahirannya. Sungai Limau, nama yang bukan asing bagi aku. Menyebut nama kampung ini maka akan terimbas kenangan wawancara dengan allahyarham seniman, Datuk Ibrahim Hussein yang tersohor dengan karya seninya. Lukisan beliau merentas seantero dunia. Juga abang-abangnya yang turut terbilang melalui karya mereka, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein - aku pernah berguru ilmu penulisan dengan beliau di UM - dan Budayawan Prof. Tan Sri Ismail Hussein yang kesemuanya dilahirkan di Kampung Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah.

Sungai Limau, aman dan tenteram. Tidak banyak pembangunan yang ada di sini. Pada pandangan aku, kawasan ini amat mendamaikan. Panorama desa terserlah dengan rumah-rumah berciri kekampungan masih terpelihara dikelilingi sawah padi yang luas terbentang. Saujana mata memandang, menghijau sawah bendang berlatar Gunung Jerai yang gah menyapu awan.

Biarpun pilihan raya kecil namun Sungai Limau tiada tercemar dengan apa-apa insiden yang negatif. Antara dua parti bertanding seakan sepakat untuk mengekalkan budaya desa dengan kesejahteraan dan keamanan terus dipelihara. Semoga budaya terukir terus terpelihara dan dapat diwariskan kepada generasi seterusnya...

Tugasan di luar, tanpa keluarga dan sanak saudara maka hubungan dengan rakan-rakan terasa amat akrab. Saling bergurau-senda, berkongsi duka ceria dan menjadikan setiap permasalahan yang wujud seakan terlalu mudah. Kesepakatan bersama disemai dalam melestarikan hubungan dan memudahkan tugasan di perantauan....











No comments: