Thursday 14 November 2013

Mengharap Terbaik Bermula Dari Diri Sendiri

Apa yang kita harapkan dari sekeliling kita? Pada keluarga, pada sahabat handai, pada rakan-rakan dan keseluruahnnya untuk orang di sekeliling. Tentunya yang terbaik menjadi harapan, perlukan layanan yang positif, kata-kata yang mesra dan wajah yang manis namun sesungguhnya ia perlu dimulakan oleh diri sendiri. Melakukan perubahan, melaksanakan impian dan mahukan kejayaan. Bukan semudah berkata tetapi perlu ada tindakan untuk mendapat kesudahan yang diinginkan. Apa jua yang diharapkan pada orang lain perlulah dimulakan dengan keupayaan diri sendiri. Inginkan kesempurnaan pada keluarga tetapi terlupa kesempurnaan pada diri sendiri tidak dilaksana. Memang, kesempurnaan itu tidak akan dapat diperoleh tetapi sekurang-kurangnya kita berupaya untuk menambahbaik dan mengurangi kelompongan yang ada. Berusaha untuk menjadi lebih baik dari yang sebelumnya.



Menyedari hakikat yang berlaku sepanjang lebih 36 tahun usia berlalu, sememangnya perjalanan masa adalah pengajaran terbaik untuk menghargai setiap apa yang kita ada. Dalam kehidupan, seringkali kita alpa untuk mensyukuri, mengharapkan sesuatu yang tak terjangkau sedangkan dalam masa yang sama terlupa untuk mensyukuri apa yang kita miliki. Kembali kepada fitrah manusia, kembali kepada diri sendiri, bermuhasabah dengan menginsafi kekurangan lantaran daripada kelemahan diri sendiri. Bukan tidak mahu memperbaiki tapi selalunya gagal mengawal nafsu, lebih suka berseronok, bermalas-malasan dan gemar pada kealpaan... Lantas, apabila memiliki anak-anak yang semakin membesar, maka tentunya diri sendiri menjadi ukuran untuk keadaan bagaimanakah kehidupan mereka pada masa hadapan.... Segalanya adalah bermula dari ibu bapa untuk mencorakkan anak-anak. Mahukan anak-anak menjadi terbaik maka kita sebagai ibu bapa adalah contoh terbaik kepada mereka. Bagaimana diri kita, pemikiran kita, ibadah kita dan kehidupan kita sehari-hari menjadi tauladan penting untuk dicontohi oleh anak-anak. Semoga kita semua tidak alpa dalam melaksanakan tanggungjawab dan menjadikan anak-anak kita soleh dan solehah. Allahuakhbar

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers