Thursday, 17 October 2013

Menu Kulit Lembu

Hari Raya Korban maka sembelihan lembu dilaksana. Sebelum ini aku hanya mendengar menu kulit lembu namun kali ini berkesempatan melihat sendiri proses pembersihan. Abang Bullah memang gemar dengan makanan eksotik malah saban tahun ada saja yang dibuatnya. Berkunjung ke rumahnya tahun lalu abang Bullah sibuk dengan kaki lembu dan kali ini sibuk pula dengan kulit lembu. Pernah juga dengan perut lembu dan entah apa-apa lagi. Memang sedari kecil abang Bullah tidak cerewet tentang makanan, apa sahaja terhidang dia akan makan. Jauh berbeza jika dibanding dengan abang Hakim yang sedari kecil amat memilih soal ikan dan dewasanya langsung tak makan ikan pula. Aku... belasah saja apa yang ada.

Wednesday, 16 October 2013

Aidiladha 1434H

Hari Raya Korban...tiada apa yang istimewa untuk diraikan tahun ini. Kamu sekeluarga pulang ke Gombak selepas perancangan untuk balik kampung terbatal lantaran aku tidak ada cuti. Kasihan Mr. Hubby yang tentunya syahdu kerana tidak dapat berkumpul bersama adik-beradiknya yang menyambut korban di rumah sebagaimana tahun yang lalu. Kebetulannya Mr. Hubby dan aku sendiri turut sama berkorban, namun pengorbanan Mr Hubby yang memahami kerjaya aku lebih bererti. Sokongan dan dorongan yang tidak pernah padam. Sememangnya, bagi seorang isteri yang berkerja, restu dan keredhaan suami akan memudahkan lagi urusan dalam kehidupanku seharian. Aku melalui hari-hari tanpa rasa resah dan gelisah hanya kerana aku akur bahawa Mr Hubby sentiasa di sisiku.

Cuti hari raya haji aku habiskan dengan bermalas-malasan di hadapan tv sedang anak-anak mengikut abang Hakim ke surau. Di sebelah petangnya barulah kami ke Padang Balang berkunjung ke rumah mamang Dollah dan kemudian ke Ampang sebelum pulang ke rumah. Cukuplah untuk Aidiladha ini kerana aku perlu terus bekerja.

Wednesday, 2 October 2013

Labbaikallahumma Labbaik...

 Alhamdulillah. Kegembiraan berganda-ganda mengiringi perjalanan suci kakak Yeye ke tanah suci Mekah. Sekian lama menanti akhirnya berpenghujung apabila khabar gembira dimaklumkan kepadaku. Sememangnya, aku teruja untuk bersama-sama mengahantar kakak dan abang ke Kompleks Tabung Haji. Tugasan di pejabat aku langsaikan dengan segera dan bersama Mr. Hubby kami berkumpul mengiringi perjalanan kakak dan abang.