Monday 16 September 2013

Wanita: Kisah dan Tauladan

Telah lama niat untuk dikongsi kisah para wanita di sekelilingku yang mempunyai kisah hidup memeritkan, kecewa dan derita namun hidup tetap diteruskan. Bagi mereka, hidup adalah satu perjuangan... dan kekuatan utama adalah anak-anak yang menjadi azimat. Berat mata memandang manakan sama dengan berat baru yang memikul. Dalam kepayahan melalui liku-liku kehidupan, keluhan tidak pernah diluah, airmata jarang sekali dihambur malah di bibir tetap senyuman yang tersulam. Sebagai wanita, sebagai isteri dan sebagai ibu.... sungguh aku amat terharu melihat penderitaan para wanita ini. Dalam kehidupanku sendiri, aku merasa syukur atas limpahan kurnia-Nya padaku. Aku insaf, barangkali nikmat kesenangan yang dilimpahkan padaku perlu dikongsi dengan mereka... aku perlu bersama-sama mereka, memberi sokongan dan menghulur pertolongan agar beban tergalas mampu jua dibantu serba sedikit. Mohon pada-Mu Ilahi, kuatkanlah iman para wanita ini dan tabahkan hati mereka atas segala ujian yang diberi....

Kisah 1
Dia...wanita desa, amat naif dengan kehidupan yang melarat. Berhijrah ke ibu kota dalam usia lewat belasan tahun atas hasrat untuk mencari nafkah bagi membantu keluarga di desa. Ibu yang telah tua dan adik-adik yang juga hidupnya susah. Enggan memilih nilai kerja asal saja dapat membantu keluarga yang jauh di desa. Namun hati wanita, mudah tergoda dan cair dengan kasih sayang lelaki. Lantas seluruh perhatian dilampiaskan kepada lelaki tersebut dengan harapan dia akan menjadi teman hingga ke akhir hayat dalam ikatan perkahwinan.

Tiada keluhan, tiada kekesalan. Hidup dalam pasrah dan redha atas apa jua sifat suami waima sang suami terlalu cerewet dan amat berkira dalam pelbagai soal. Biarlah... apa jua sikap suami diterima sahaja. Layanan terbaik diberikan, ikatan perkahwinan menjadi keutamaan. Makan dan minum sentiasa sedia terhidang apabila suami ada di rumah. Pakaian kemas dengan stokin dipakaian dan kasut tersedia di depan pintu acapkali sang suami mahu keluar.  Seluruh hidupnya adalah pada alam rumahtangga, dengan maruah suami sentiasa terjaga.

Dikurniakan sepasang cahaya mata yang sihat dan sempurna. Namun sikap sang suami masih sama, suka berkira termasuklah dengan anak-anaknya juga. Biarlah... tetap beralah atas tingkah sang suami. Namun kemudian, sang suami meminta wanita ini kembali ke desa atas pelbagai alasan. Dituruti saja kerana sangkanya cuma seketika namun rupanya berlarutan sehingga hampir dua tahun. Aduhai... sudahlah berjauhan dengan sang suami namun kemudiannya anak-anak juga turut terpisah. Manakan mampu nenanggung rindu.

Memang sang suami sering berhubung dan mengirim khabar tetapi manakan sama dengan menatap wajah anak-anak saban hari. Pintanya agar dijemput untuk kembali ke rumah sendiri tidak dipenuhi. Namun kemudiannya, sang suami menyatakan hasrat untuk beristeri lagi.... luluh rasa hati namun keizinan tetap diberi dengan syarat dia dibawa kembali untuk bersama-sama dengan anak-anak. Namun hampa apabila syarat tidak dipenuhi sebaliknya dia diceraikan hanya melalui panggilan telefon. Hancur segalanya, kesabaran dalam ikatan rumahtangga selama 20 tahun menjadi debu. Mudahnya diceraikan ibarat diri tiada harga, bagai sampah yang dibuang lantaran tiada lagi nilainya. Airmata menjadi teman saban hari malah diri yang gebu sudah semakin melidi. Namun hidup harus diteruskan. Kasihan anak-anak yang telah remaja dan kasihan pada ibu tua di desa yang sentiasa bersama.

Hari ini, atas apa jua alasan...wanita ini tetap teguh dan ampuh untuk terus berdiri. Ada rasa tersirat, naluri kehinaan yang dicampakkan oleh sang suami mahu dilupakan. Enggan lagi berhubung dengannya biarpun dengan mendengar suara apatah lagi untuk bertentang mata. Segala-galanya demi anak-anak dan kelangsungan hidup hari muka. Biarlah lelaki itu yang melakukan penghinaan sedemikian malah sehingga ke hari ini biarpun sudah menghampiri dua tahun penceraian namun lelaki itu masih belum bernikah lagi.... Anak-anak sudah besar, sudah bijak melakukan penilaian dan wanita ini, tidak mahu lagi memikirkan soal lelaki....

Kisah 2
Dalam alam rumahtangga, kehidupan sederhana. Dikurniakan suami yang penyayang dan anak-anak seramai lima orang yang semuanya masih bersekolah. Kasih sayang melimpah-ruah dengan anak-anak sentiasa menjadi keutamaan. Kehidupan bersama dalam rumahtangga dilayari dengan tabah. Namun kedukaan melanda saat anak-anak masih kecil dan kehidupan terlalu banyak tanggungan apabila sang suami disahkan mengidap kanser dengan tahap kronik.

Wanita ini, pasrah dalam keterpaksaan dan menerima ketentuannya dengan dia sendiri perlu menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk keluar mencari nafkah. Sejak sekian lama, hanya ketika mempunyai anak sulong dia bekerja dan apabila anak kedua dilahirkan dia sudah menjadi surirumah sepenuh masa dengan kehidupan sepenuhnya adalah untuk keluarga hinggalah dikurniakan anak seramai lima orang.

Keperitan terasa dengan sang suami terlantar namun masih ada tempat berkongsi rasa, bercerita permasalahan anak-anak dan mengadu perihal semasa. Namun kuasa Allah SWT penentu segala. Suami dikasihi mengadap Ilahi saat anak yang sulung berdepan SPM sedang yang kelima baru berusia lewat tiga tahun. Redha atas ketentuan-nya apatah lagi selama dua tahun menatap kesakitan sang suami yang terlalu amat payahnya.

Perjuangan tetap diteruskan biarpun sakit, biarpun perit, biarpun terlalu amat payah. Berdepan dengan anak-anak yang semuanya lelaki, masih kanak-kanak dan mahu menjengah alam remaja tentunya terlalu banyak kerenah. Manakan mampu untuk ditangani satu persatu namun dia tidak boleh mengalah. Sebagai ketua keluarga dia perlu mencari nafkah secukupnya untuk anak-anak yang bersekolah dan memerlukan pelbagai kesempurnaan. Anak-anak pula....aduhai, mohon pada Ilahi agar dilembutkan hati mereka untuk mamahami naluri ibunda namun dalam usia yang masih muda masih ada juga yang gagal menyelaminya.

Sukarnya, berdepan dengan kerumitan, berdepan dengan kecelaruan minda anak-anak yang mencari jati diri apatah lagi untuk berjuang mencukupkan perbelanjaan dalam ruang kerja yang melarat. Lebih perit, tiada lagi tempat bergantung kasih, tiada lagi ruang untuk mengadu pada sang suami kerana yang ada hanyalah keutamaan pada kesempurnaan anak-anak berdepan hari muka.

Kisah 3
Wanita ini terasuh dalam keluarga yang sederhana dan kasih sayang keluarga dengan didikan agama yang sempurna. Sebagai gadis kampung, ketentuan hidupnya diserahkan kepada ayahanda dan bonda termasuklah memilihkan jodoh untuknya. Sangkanya, lelaki yang diharapkan untuk menjadi peneman hingga ke akhir hayat mampu mengimamkan dirinya dalam solat dan menjadi pemandu hidupnya menuju kesyurga, namun malangnya lelaki tersebut terbabit dengan gejala negatif. Tanpa siapa pun tahu latar belakangnya yang sememangnya telah terlibat dalam gejala penagihan dadah sejak zaman bujang dan perkahwinan tersebut adalah jalan mudah bagi keluarganya untuk mengubah sifat buruk lelaki terbabit.

Sebagai wanita yang bergelar isteri, keutamaan adalah untuk menjaga maruah suami dengan segala sifat buruknya dirahsiakan. Lebih dari itu, tubuhnya juga turut menjadi sepak terajang sang suami yang seringkali menghamburkan kemarahan selain caci nista yang pelbagai. Dia hanya mampu berdoa, momohon sang suami akan diberi hidayah dan kembali ke jalan yang lurus. Lelaki itu juga berjanji demikian, mohon diberi ruang dan waktu untuk berubah namun dari hari ke hari...minggu bertukar bulan dan kemudian tahun berganti tahun sikap lelaki tersebut masih sama. Dari anak seorang hinggalah kepada anak empat orang sikap negatif lelaki ini masih juga sama. Kecewa namun masa yang pergi tidak akan mampu diulang kembali.

Caci maki sudah menjadi kebiasaan. Lebih menyakitkan apabila anak-anak juga turut menjadi tempat melampiaskan marah, turut dipukul dan diherdik bagai binatang jalanan. Sayunya rasa hati hinggakan diri tidak tertahan untuk menanggungnya lantas jalan perpisahan dipilih. Selama lebih 10 tahun bertahan lantaran mengenangkan anak-anak yang enggan terpisah dengan bapanya namun apabila layanan diberikan amat memeritkan maka lebih baik tiada saja apa-apa ikatan. Biarlah anak-anak tidak merasa kasih bapa jika ada pun hanya tahu menimbulkan kegusaran dan rasa gerun anak-anak padanya. Biarlah anak-anak tidak merasa kasih bapa daripada ada hanya membawa sengsara. Lebih baik tiada jika ada pun hanya bagai bangkai bernyawa, tiada nafkah untuk saraan keluarga dan tiada kasih sayang untuk dikongsi bersama.

Wanita ini bangkit, menjadi berani menempuh kehidupan demi membesarkan empat orang anak-anak yang masih amat memerlukan perhatian. Wanita ini berusaha saban hari, bekerja untuk menyara anak-anak dan enggan menyusahkan sesiapa. Baginya, kejayaan anak-anak adalah keutamaan dan tekad tersemat untuk memastikan semua anak-anak terasuh dengan baik dan dapat menyemai budi suatu hari kelak.... Biarlah tanpa suami dan anak-anak tanpa kasih bapa kerana sedaya upaya akan dipastikan segala keperluan anak-anak mencukupi....

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers