Saturday 31 August 2013

Lipatan Kenangan Aidilfitri

Semakin bertambah usia, terasa pelbagai kenangan lalu amat berharga. Setiap detik terasa mahu diulit satu persatu. Indah-indah belaka. Dari alam kanak-kanak, usia remaja dan meniti dewasa hinggalah ke alam rumahtangga dan dunia kerjaya. Kesemuanya mempunyai nilai yang amat tinggi. Setiap saat adalah memori yang bermain difikiran. Tatapan pada foto yang ada tidak cukup untuk melepaskan kerinduan kerana setiap saat, ada sahaja peristiwanya yang tetap segar diingatan.


Di alam kanak-kanak, aku terasuh dalam keluarga yang amat sederhana, namun penuh dengan kasih sayang dan keutamaan pegangan agama tidak pernah diabaikan. Aidilfitri sentiasa meriah. Rumah kami dikunjungi oleh ramai tetamu, sanak saudara dan jiran tetangga. Biasanya emak sediakan semua juadah untuk hari raya. Semua kuih-kuih tradisional, ada bahulu, kacang, bipang, lempeyek, kuih siput, kuih bijan, kulit macan, layang-layang dan macam-macam lagi. Penuh meja. Makanan berat lontong ketupat tapi disediakan dengan pelbagai lauk-pauk. Antara adik-beradik ada tugasan masing-masing termasuklah bahagian untuk berbelanja, ada yang beli air, ada yang beli ayam, ada yang beli daging dan macam-macam lagi. Ketika itu, amat jarang kami ada baju baru sendiri kerana biasanya kami pakai pemberian orang. Tapi antara kami tak cerewet. Begitu juga dengan aku tetapi aku selalunya akan ada bahagian daripada saudara mara yang ada di Singapura, sama ada obek Amanah, obek Esah atau dari abang Solo.

 Saban tahun kehidupan berubah. Ada peningkatan dan perubahan yang bertambah baik apabila abang-abang aku semakin ramai yang bekerja. Aidilfitri masih tetapi meriah. Disambut dengan sederhana tetapi ikatan kekeluargaan amat kukuh. Abang Cici gemar pasang pelita di sekeliling rumah, juga gemar tanam bunga-bungaan. Sesekali ada juga bunga api dan mercun. Selepas habis kunjungan saudara mara, biasanya abang Daili bersama abang Cici akan bawa kami adik-beradik ke Zoo Negara. Jika tidak pun menonton wayang di Ampang Park. Ada juga ke Taman Tasik Titiwangsa. Dikala perayaan sebeginilah kami adik-beradik akan merasa berjalan ke tempat-tempat peranginan yang dekat-dekat memandangkan kos yang tinggi dan jumlah kami yang ramai. Bapak pula, tiap kali Aidilfitri....entah Syawal yang keberapa... kami akan dibawa berkunjung ke Masjid Negara, dari Zuhur hinggalah Asar dan menziarah kuburan para pahlawan. Pernah juga kami ke Masjid Shah Alam yang ketika itu sangat masyhur sebagai antara masjid termoden di Ibu Kota. Biasanya singgah di Masjid Shah Alam bersama abang Kamal selepas berkunjung ke rumah abang Maili.

Masa berlalu, usia remajaku mula diluangkan bersama rakan-rakan. Aku akrab dengan rakan sekolahku dan kami mula mengikat silaturrahim kembali setelah masing-masing tamat alam sekolah menengah. Ketika itu antara kami sudah ada yang berkereta dan bermotosikal. Ruang bersama keluarga sudah menjadi amat terbatas ditambah pula antara adik-beradikku sudah ramai yang berumahtangga. Aidilfitri, aku bersama rakan-rakan. Kami merancang pelbagai perjalanan. Berkunjung dari rumah ke rumah rakan taulan, walaupun aku sudah berpindah ke Gombak namun ia tidak menghalang perjalanan ukhwah kami. Terasa indah, saling bergelak ketawa dan ceria bersama mengimbau alam persekolahan. Gurau senda memenuhi ruang.




Tingkat hidup terus berubah. Aku melalui Aidilfitri saban tahun dengan ceria kecuali pada Syawal 1999 yang amat menyayat hati. Abang Daili dan anak bongsunya kembali kerahmatullah tiga hari sebelum kami menyambut Syawal akibat kemalangan. Luluhnya hati ketika itu menatap wajah mak dan bapak penuh kesyahduan. Dikala takbir raya berkumandang, rumah kami diisi dengan tahlil arwah. Sudahlah ketika itu pun abang Bullah masih lagi parah akibat kemalangan yang berlainan. Berjahit di wajahnya dengan kaki masih tempang. Sambutan Aidilfitri berubah menjadi kenduri arwah abang Daili. Semoga roh abang Daili dan anaknya Farahana yang berusia enam tahun ketika itu damai di alam sana di sisi-Nya.

Hidup umpama putaran roda, duka dan ceria silih berganti. Aidilfitri sekian kalinya tetap dirai namun dengan baki gundah mak dan bapak yang masih ada. Mak sudah tak ceria lagi sebagaimana sebelumnya dan selepas itu mak mula sakit-sakit, tapi mak masih kuat. Tidak uzur sepenuhnya.

Di alam rumahtangga, aku melalui perubahan sebagai isteri yang menyambut Aidilfitri bersama suami. Kehidupan berubah sepenuhnya lantaran ada insan lain yang perlu lebih diutamakan daripada kehendak nurani sendiri. Berpasangan dengan insan yang berkampung halaman di Utara juga satu kelainan. Bayangkan, sepanjang 26 tahun kehidupanku, aku hanya bersama keluarga sendiri, meraikan Aidilfitri tanpa kemana-mana apatah lagi untuk merasai suasana 'balik kampung', namun ianya bertukar. Aku tidak gayat, juga tidak merasai canggungnya bersama keluarga Mr. Hubby; terutamanya ketika arwah mak mertua masih ada kerana dia tidak pernah membiarkan aku sendiri waima Mr. Hubby menghabiskan waktu bersama rakan-rakannya hingga lewat tengah malam. Syawal 2006 di kampung rupanya menjadi Aidilfitri yang terakhir bersama mak mertuaku. Biarpun sekejap mengenalinya namun kasihnya meresap dan tetap terasa hingga hari ini.

Di alam kerjaya juga, Aidilfitri terus meriah bersama rakan taulan. Aku merasai sambutan Aidilfitri yang amat meriah ketika bertugas di Pusat Penerbitan UKM. Ketika itu bukan hanya jamuan Aidilfitri direncana bersama malah masak-memasak pun dilaksana dalam suasana kekeluargaa. Bermula dari membuat ketupat, memasak rendang dan kemas-mengemas. Ketika itu, aku bergaul dengan rakan sekerja yang kebanyakan usianya sudah pun melebih 40-an sedang aku masih dipertengahan 20-an.

Kemudiannya aku berhijrah bertukar kerjaya di tengah-tengah Ibu Kota dan meraikan Aidilfitri saban tahun bersama-sama rakan yang lebih ramai sebaya denganku. Juga penuh dengan kemanisan lantaran ukhwah terjalin bersandarkan ikatan luhur tanpa melihat latar belakang dan perbezaan yang ada. Inilah Aidilfitri, penuh dengan kenangan yang akan tetap terpakat disanubari. Semoga ikatan bersama sanak saudara dan rakan taulan akan berkekalan hingga ke akhir hayat.










No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers