Monday 22 July 2013

Ramadan di Perantauan, Kuala Besut

Bermula 2 Ramadan hinggalah memasuki pertengahan bulan mulia ini, aku terpaksa bertugas di Terengganu. Sememangnya satu negeri yang asing bagi aku malah kali terakhir aku ke sini rasanya ketika masih zaman persekolahan lagi. Terasa syahdu untuk berada di luar Ibu Kota, berjauhan dengan keluarga apatah lagi dalam bulan Ramadan. Untuk meninggalkan anak-anak pelbagai persoalan yang dilontarkan mereka sebelum aku ke luar bandar. Aku akui, Mr. Hubby mampu menguruskan anak-anak dengan baik apatah lagi kak Hamdah juga ada bersama.

Pengisian sepanjang Ramadan di Kuala Besut ini sememangnya tidak banyak yang dilakukan sebagaimana lagaknya Ramadan yang mulia. Selain daripada berpuasa dan berbuka bersama-sama, pengisisn kerohanian gagal dimanfaat sepenuhnya. Aku terikat pada tugas selain lelahnya badan untuk meniti setiap ruang yang ada. Perancangan saban hari perlu dibuat selain gerakan turun padang dan mengikuti program-program yang ada untuk kesinambungan kejayaan di sini. Tugasan dan pelaksanaan tanggungjawab yang sempurna juga adalah satu ibadah....

Bersama rakan-rakan setugas di sini, tanpa keluarga di sisi... terasa amat perit sebenarnya. Saban hari antara kami, dalam keupayaan melunas kerja tentunya terus-terusan menghitung masa. Rindu bertakung, sarat dan padat. Ruang waktu terasa cukup besar dengan peredaran yang seakan terlalu lambat. Syahdu dan kasih pada keluarga disembunyi dengan tawa dan senda antara kami. Keakraban dalam jalinan persahabatan, saling memberi sokongan, saling membantu, berkongsi pengalaman dan menyemai persaudaraan. Kami juga adalah satu keluarga yang besar dalam himpunan sepejabat, satu bahagian yang saling bergantungan. Memang ada kerumitan, sesekali timbul permasalahan, ada juga yang tercuit rasa, bertingkah dan tidak sependapat namun pada akhirnya ada persefahaman dengan penyelesaian diambil atas satu muafakat.

Kebersamaan melalui rasa sendu, ingatan pada keluarga dalam ruang yang ada, dimanfaat dengan pengisian untuk kejayaan bersama. Benar, kemenangan di Kuala Besut ini akan memberi impak besar, kepada agama, bangsa dan negara. Manfaat kepada semua, menyemai semangat perjuangan untuk hari-hari seterusnya... Insya-Allah























No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers