Friday 7 June 2013

Singapura VI - Ke Kota Batam


Ke Kota Batam, dari Singapura. Tujuan utama ke sana adalah untuk mencari mamang Awwab serta bertemu sanak saudara. Mamang Awwab satu-satunya adik arwah mak yang masih ada. Dengan mamang Awwab kerap juga bertemu kerana mamang Awwab selalu ke KL. Biasanya ketika ada keraian maka tentu saja mamang Awwab ada termasuklah ketika aku berkahwin 10 tahun lalu, malah ketika arwah mak sakit-sakit dan ketika kritikal hinggalah penghujung nyawanya, mamang Awwab ada bersama cuma dengan anak-anaknya aku tak biasa lagi. 

Perancangan kami akan bertolak awal pagi namun ia tertangguh kerana masing-masing perut meragam. Entah apa salahnya, antara kami silih berganti ke tandas. Sudahnya, kami bertolak pukul 11 pagi dari rumah Nani di Compassvale Lane. Menaiki MRT ke Habour Point dan membeli tiket feri untuk ke Batam. Urusan mudah biarpun ini kali pertama kami ke Batam. Kami pilih Pelabuhan Batam Central memandangkan abang Kamal ada pengalaman untuk ke rumah mamang dari sini. Tahun lalu abang Kamal dah berkunjung ke rumah mamang yang kebetulannya anak bongsu mamang Awwab, Icha berkahwin. Perjalanan menaiki feri hanya 1 jam dengan tambang untuk dewasa SD47. 








Di Batam Central kami singgah menjamu selera. Alahaiii...berebut pula mereka ini mahukan pelanggan. Aku jadi patah selera melihat tingkah mereka. Kemudian kami menaiki teksi menuju ke Bengkong Harapan II, rumah mamang Awwab. Abang Kamal tahu rumahnya dan kedatangan kami tanpa memberi maklum pada tuan rumah. Sesampainya di rumah mamang sekitar pukul 12.30 waktu Indonesia - masanya lewat sejam dari Malaysia. Dengan jaraknya yang hanya sekitar 20 minit, tambang teksi adalah 55 ribu rupiah. Rumah mamang kosong tidak ada sesiapa, tapi abang Kamal kata mamang ada di kedainya, dekat saja sekitar lima minit berjalan kaki. Maka tentunya mamang terkejut dengan ketibaan kami. 


Apa lagi, pelbagai minuman diberikan pada anak-anakku, soya, cincau dan pelbagai keropok, sementara bibik pula terus ke dapur bergegas menyediakan makanan untuk kami. Ramah orangnya dan sambil tangannya tangkas bekerja dia kesal kerana kami tidak memaklumkan kedatangan kami. Inilah budaya kita yang perlu terus dipelihara. Kedatangan kami amat dihargai dan diberikan layanan sangat memuaskan. Terbit pula rasa bersalah kerana tidak memaklumlkan terlebih dahulu sehingga seakan menyusahkan pula. Namun mamang Awwab dan bibik amat ceria dan direncananya perjalanan kami untuk waktu malam.

Selepas Maghrib, Wiya anak perempuan mamang yang kedua datang (sulung telah kembali ke rahmatullah). Aku pernah bersua Wiya sekitar lebih 10 tahun lalu, tapi kemesraannya ibarat kami sentiasa bersama. Wiya adalah jururawat yang kembali menyambung pengajian untu merealisasikan perancangannya memiliki pusat perbidanan sendiri. Anak-anaknya ada tiga orang, Nanda (11 tahun), Hanif (8 tahun) dan Hakim (6 bulan). Wiya memandu sendiri kerana suaminya keluar kota, katanya. Dengan kenderaannya kami dibawa ke Nagoya Hills, sebuah kompleks yang besar. Makan makan malam di BFC, Wiya juga yang belanja, aku terpaksa alah pada keramahannya. 







Turut ada di rumah mamang ialah kak Jun iaitu anak arwah bibik Tayyibah (adik bongsu arwah mak). Aku pernah bertemunya ketika tahun 1999, iaitu ketika aku masih bergelar pelajar, dan cuma sekali itu saja. Dalam tak sengaja adiknya, Zahid turut berkunjung ke rumah mamang yang menjadi kebetulan kepada kami untuk berkenalan dan beramah mesra. Ini kali pertama bertemu kerana sebelum ini hanya denga nama dan ceritanya saja. 






Keesokkannya pula mamang Awwab ajak kami berjalan-jalan di pasar, tempat letaknya kedai mamang. Pasar Bengkong Harapan amat besar, pelbagai barangan basah hinggalah ke pakaian ada di sini. Kata mamang tumpuan penduduk Kota Batam adalah di pasar ini kerana harganya yang murah jika dibandingkan dengan pasar-pasar lain. 


Opeq (berbaju belang) bersama para pekerjanya melayani pelanggan





Suasananya sibuk dan kesibukan ini akan bertambah apabila hujung minggu atau hari 'libur' (public holiday). Mamang berjualan makanan, kedainya besar dan disebelahnya ada toko jamu yang dijaga oleh Icha. Icha menunggu hari untuk melahirkan anak sulung. Di hadapan kedai mamang pula, menantunya (Opeq) berjualan pelbagai sayuran yang segar-segar, selain beberapa peniaga lain yang berjualan peralatan rumah dan barangan permainan dengan menyewa tapak kepada mamang. Sayuran amat murah iaitu hanya sekitar 1000-2000 rupiah atau dalam 30-60 sen sahaja.
bersama mamang dan Icha di hadapan toko jamunya...
 
Selepas berkeliling di pasar, kami ke rumah Mude (isteri Opeq), juga anak perempuan mamang. Rumahnya tidak jauh dari rumah mamang dan pasar dengan binaannya bersifat kontemporari. Opeq membinanya sendiri selepas habis berjualan di pasar, sementara di keliling rumahnya pelbagai tanaman sayuran dikerjakan, dari kacang panjang, peria dan macam-macam herba lagi. 



Mude melayani anak-anak dengan mesra



Masa suntuk kerana kami perlu berangkat ke pelabuhan dalam pukul 11 pagi. Sebelum itu kami singgah di rumah Wa As'ad dan Wa Sipa, juga saudara yang aku gagal jejaki pangkatnya - aku cuma tahu kami ada pertalian saudara dan dia turut serta ketika majlis perkahwinanku dulu malah turut bersama rombongan ke Kedah menghantar aku. 

Kota Batam padat, rumah kediaman rapat-rapat dan kenderaan juga banyak dengan jalanan dipenuhi motorsikal. Bagi yang mempunyai kereta ia umumnya adalah untuk golongan kelas atasan kerana tidak semua yang berkemampuan. 

Wiya menghantar kami ke terminal feri di Batam Central dengan disertai mamang dan bibik. Indahnya perjalanan kami apabila dapat menjejak dan bermesra dengan saudara yang selama ini ramai tidak aku kenali. Perhatian dari mamang dan keluarganya terhadap kami juga membuat aku rasa terharu. Kalaulah arwah mak masih ada dan dapat turut serta bertemu sanak saudaranya.... apatah lagi wajah mamang, senyumannya dan pandangan matanya amat mirip arwah mak. Terima kasih mamang dan bibik, terima kasih Wiya dan keluarga di Batam, layanan dan kemesraan kalian semua terlalu amat dihargai. Alhamdulillah termakbul hasratku menjejak saudara di Batam dengan Mr. Hubby juga turut ceria dilayan dengan keramahan saudara-maraku. Terima kasih Mr. Hubby yang melayani permintaanku dan merestui perjalanan ini. Insya-Allah, ada niat kami untuk kembali lagi di Kota Batam.  






















  

 

2 comments:

ummiLIN said...

Bestnya samapai ke sana. Dapat jumpa saudara kan, kalau tak berjalan memang tak jumpa kan. Afrina nape sampai duduk kat lantai? Merajuk eh....

airikamalek said...

alhamdulillah...tercapai hasrat lagilah pcik akk baru kena serang semi strok tapi nasib baik tak melarat.
Afrina tu merajuknyer mcm tu la...akk biar jer tapi kakak dia yg memujuk...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers