Friday 7 June 2013

Singapura - Perjalanan dan Jalinan Ukhwah

Sepanjang usia perkahwinan selama hampir 10 tahun malah semenjak aku berkerjaya, ini adalah kali pertama buatku melayan impian dan menyusur akar mencari punca ikatan yang ada. Alhamdulillah Mr. Hubby memahami hasratku dan bersama-sama menyokong perjalanan menjejak akar umbi ini. Sememangnya banyak yang bertunas difikiran tetapi ini adalah satu permulaan kerana masih ramai saudaraku yang masih aku belum kenali. Bagi anak-anakku ini adalah percutian tapi bagiku ini adalah pencarian. Sebagai anak bongsu dikalangan adik beradik yang ramai maka tentunya aku hanya mendengar banyak cerita berbanding merasai sendiri apa yang pernah diperkatakan. 

Niat bertemu dengan orang-orang tua yang bersaudara termakbul dengan melihat sendiri kesihatan mereka yang makin merudum. Antara tiga negara, Malaysia - Singapura - Indonesia, sememangnya ia adalah amat akrab. Ada pelbagai persamaan, sifat mesra, santun bahasa dan keramahan tetap menjadi keutamaan. Inilah budaya kita dari Timur yang perlu sentiasa dikekalkan. Aku belajar menghargai erti kehidupan, menilai kepayahan insan di sekeliling yang sememangnya berbeza, tapi saling berusaha untuk terus mencapai impian.

Hidup perlu diteruskan. Biar payah tapi saling memberi sokongan. Merasai kerumitan, lelah dan memeritkan tapi masih ada kemanisan dalam kemesraan. Tiada rasa canggung dalam pertemuan biarpun ada diantaranya baru kali pertama bersua. Terasa dihargai dan dikasihi. Pesan bibik pada Mr. Hubby ketika ada di Batam, jika terdengar khabar antara mamang dan bibik yang sakit maka datanglah menjenguk, katanya. 

dollar - Singapura
rupiah - Indonesia
Begitu juga di Singapura, berada di Compassvale Lane ibarat ada di rumah sendiri. Dapat bertemu kali pertama dengan cucu baru, Uwais dan melihat sendiri kehidupan anak-anak saudara yang saling berkerjaya. Lebih indah, dapat bersama Nani dalam usia kandungannya yang makin sarat. Biarpun masa yang ada amat suntuk tetapi masih ada ruang antara kami bercerita dan bersenda. Enam hari menikmati perjalanan tanpa kerunsingan memikirkan kerja maka tentunya amat bermakna. Terima kasih semua atas kenangan terindah yang memberi pengajaran bahawa nilai masa dan wang tidak setimpal dengan jalinan ukhwah yang tersimpul dalam saudara. Semoga jalinan ini akan terus tersemai dengan wujudnya kelestarian dalam kesinambungan antara generasi seterusnya. Kata Mr. Hubby, wang boleh kita cari lagi sebagai ganti tetapi orang-orang tua yang ada di sekeliling kita mesti terus dihargai selagi mana mereka ada dan pada yang pergi hanya doa akan dikirimkan.





 

 




 


2 comments:

Tetamu Istimewa said...

Salam ziarah. Rupanya Puan pernah menulis ya.

airikamalek said...

Salam Tetamu Istimewa. Saya masih juga menulis tapi menyimpang dari genre impian... masih juga ada angan-angan untuk kembali, insya-Allah. Terima kasih berkunjung

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers