Sunday 16 June 2013

Hari Bapa


Ahad, 16 Jun adalah sambutan hari bapa. Pastinya anak-anak yang teruja untuk meraikannya dan Ameer sendiri sepulangnya dari Smart Reader Kids Jumaat lalu telah menyediakan sekeping kad untuk hari bapa. Amira lebih teruja dan memohon agar diberikan sesuatu untuk Mr. Hubby sempena hari bapa. Sudahnya, sekeping kad kecil dan magnet untuk bapa dimuatkan dalam kotak kecil saja. Memadai untuk anak-anakku meraikannya bersama Mr. Hubby dan melafazkan kata-kata 'selamat hari bapa'.

aku (di atas meja), abang Bullah, Pipah, abang Hakim & abang Kamal
Bagi aku pula..., tiada sambutan apa-apa untuk bapak. Sedari kecil aku tak pernah mengerti hari bapa dan bapak sendiri tidak pernah mengambil peduli tentang sambutan yang pelbagai berkaitan hari-hari tertentu sedemikian. Namun pada bapak, penghargaannya tanpa lafaz kata, tiada ucapan tetapi penuh dengan perhatian... malah dalam usia emas bapak, bukan sanjungan yang diinginkan selain dari bicara dan kasih sayang dari anak-anaknya yang ramai.

Abang Maili pegang tanganku, abang Kamal, Pipah, abang Hakim & abang Bullah
Bapak bukan orang senang. Hidup bapak penuh dengan cabaran tapi pastinya bapak amat mewah dengan usaha. Usia muda bapak banyak dihabiskan untuk keluarga, kerja, kerja dan kerja. Kerja bapak adalah buruh. Berpanas tentunya adalah sebahagian dari rutin bapak yang melaksanakan kerja pelbagai sebagai buruh kasar. Gaji bapak pula bergantung kepada bilangan hari bekerja, mungkin juga ketika itu mengikut jumlah jam bekerja. Entah... aku pun tidak pernah tahu berapa tapi tentunya dalam tahun 80-an hanya belasan ringgit sehari dan pada 90-an tentunya ada perubahan. Saban hari, bapak pergi kerja menaiki basikal. Itulah satu-satunya kenderaan yang bapak ada. Ada juga baju hujan yang akan bapak pakai andaikata hujan turun semasa dalam perjalanan. Bapak gigih... sentiasa bekerja, amat jarang aku nampak bapak tak bekerja. Kalau bapak cuti gaji bapak akan kena potong. Kalau bapak kerja tak cukup lapan jam pun gaji bapak tak penuh. Sesekali aku nampak juga kerunsingan di wajah bapak, kalau-kalau hujan turun nanti bapak tak boleh bekerja dan tentunya gaji juga akan ditolak.

Biarpun adik-beradik bapak ramai dan 'senang' tapi bapak tak pernah mohon bantuan sesiapa kerana bapak selalu usaha sendiri. Bapak tak pernah membeli-belah, biasanya arwah mak yang uruskan segala keperluan kami sekeluarga. Tak pernah aku dengar keluhan bapak. Hari-hari bapak kerja dengan membawa bekalan nasi yang arwah mak sediakan. Arwah mak akan sediakan bekal untuk bapak, lengkap dengan air minuman. Juga tak pernah aku dengar teguran atau kesah bapak berkaitan makanan yang arwah mak sediakan. Bapak tak cerewet.

Pulang kerja bapak akan berehat seketika, jika masih awal bapak akan berbaring melepaskan lelahnya. Berbasikal entah berapa batu berkayuh bergantung kepada lokasi tempat kerja bapak. Jika hari sudah lewat senja bapak akan bergegas mandi dan bersiap. Biasanya solat maghrib kami akan berjemaah dengan berimamkan bapak. Ruang tamu jadi tempat kami berkumpul, dan lepas maghrib bapak akan berwirid panjang sementara aku dan abang-abang mengaji dengan diajar arwah mak. Kemudian solat Isyak akan berjemaah juga dan selepas itulah baru bapak makan malam bersama arwah mak. Aku dan yang lain seringkali akan makan lebih awal.

Bapak tidak banyak bercakap, tidak banyak bersuara dan kebanyakannya arwah mak yang jadi perantara. Tapi bapak tak sombong, dengan jiran tetangga sentiasa dijaga. Jemputan kahwin dan kenduri kendara bapak tak pernah uzur malah kad laporan kami adik-beradik pun bapak tak pernah tertinggal untuk ambilnya.

Itu semua cerita dulu. Kisah aku di zaman persekolahan. Ketika bapak masih tegap dan arwah mak masih ada. Hari ini bapak sudah tidak sesihat dulu. Banyak makanan yang bapak perlu pantang dan pergerakan bapak juga tidak lagi cergas. Mohon pada-Mu Ilahi, semoga aku dan adik-beradikku diberikan limpahan kasih untuk disiramkan kepada bapak sebagai penghargaan atas tanggungjawabnya kepada anak-anak tanpa sebarang keluhan. Semoga dalam ruang yang ada ini juga aku akan terus diberikan kesempatan bersama-sama bapak dalam segala duka laranya. Allahu Akhbar!
Bersama arwah mak dengan Didi, Puteri, Achik & Amira yang baru menjangkau setahun



No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers