Saturday 25 May 2013

Ke Pameran Uniform, Festival Belia


Cuti sempena hari wesak, aku bersama anak-anak berkunjung ke Putrajaya sempena Festival Belia Putrajaya 2013. Tiada dalam perancangan tetapi Angah ingin memulangkan kad pelancongan kepada rakannya memandangkan dia sudah tidak lagi bekerja di kementerian terbabit. Lantas akau membawa bersama anak-anak menemai Angah dan kemudian berkunjung ke Festival ini. Biarpun ini kali kedua festival tersebut berlangsung tetapi ini kali pertama aku datang ke sini.

Dengan menaiki tram, kami mengelilingi kawasan sekitar festival yang sangat luas, dari Presint 2 hinggalah ke presint 4. Kemudiannya berkunjung ke tempat unit beruniform. Ingatkan hanya anak-anak yang akan teruja tetapi rupanya aku lebih lagi. Dapat melihat dan menikmati dalaman kenderaan tentera dan polis membuat aku rasa ghairah. Membayangkan keadaan perwira negara yang berada dalam ruang sempit, berdepan situasi tegang dan terpaksa pula melaksanakan tugas sebagai benteng pertahanan. Aduhai...

Kemudian kami berkunjung ke booth pameran. Satu persatu paparan diteliti, penjelasan diminta hasil daripada penerangan yang diberi. Dengan info berkenaan, aku semakin memahami tanggungjawab yang tergalas pada mereka.

Aku amat tertarik dengan tugas bomba dan penyelamat. Barangkali dalam kesemua anggota badan beruniform, anggota bomba tenggelam jika dibandingkan dengan polis dan tentera namun tugasnya masih sama, amat mencabar dengan masa yang tidak menentu. Pameran yang dibuat berkaitan tugas semasa berlaku kemalangan jalan raya, bagaimana pentingnya anggota bomba untuk menyelamatkan nyawa mangsa.

Dengan kekuatan seramai lima petugas dan seorang penyelia, anggota pasukan akan melaksanakan tanggungjawab dengan memastikan keselamatan mangsa yang tersepit dalam kenderaan dikeluarkan pada kadar yang segera. Tugas memotong kenderaan adalah satu keutamaan dengan melihat kepada keperluan, dan keselamatan mangsa. Peralatan yang ada juga cukup canggih yang memudahkan tugas anggota bomba menjadi mudah.

Sememangnya tugas anggota keselamatan bukan mudah. Dari segi fizikal dan mental mereka mestilah sentiasa bersedia dengan apa jua kemungkinan termasuklah menggadaikan nyawa sekalipun. Apatah lagi anggota keluarga mereka yang tentunya juga perlu sentiasa kental dan bersemangat. Banyak info berguna aku perolehi dan semakin memahami amanah dalam tugasan.






 








No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers