Monday 25 March 2013

Huda Dijemput Ilahi... Jagalah Kesihatan, Hindar Penyakit Kronik


Hari Jumaat lalu, di tengah malam menjelang pukul 12.00 aku menerima panggilan dari abang Bullah. Memang mengejutkan untuk panggilan telefon di tengah malam apatah lagi ia tidak pernah berlaku kecuali kerana kecemasan…. Benar, khabar yang diberi amat memeranjatkan. Huda meninggal dunia. Innalillahiwainnaialhirajiun… dari Dia kita datang dan kepada-Nya kita kembali.

Huda anak buahku, anak sulung kak Piah. Jarak umur antara kami memang berbeza, dia tua tiga tahun dari aku, sebaya dengan Hakim malah rakan sekelasnya semasa dalam tingkatan 4 dan 5 di SMTT. Benar kematiannya amat mengejutkan kerana tanpa sakit kronik atau diketahui berpenyakit. Lebih menyedihkan kerana dia hanya diketahui telah meninggal dunia setelah lebih seharian tidak keluar dari bilik tidurnya. Perginya tanpa sesiapa di sisi walaupun Huda tinggal bersama dengan mak dan adik-beradiknya.

Huda memang suka mengusikku, malah ramah dengan sesiapa saja termasuklah Mr.Hubby juga. Kali terakhir kami bertemu semasa kenduri arwah abang Cici, tapi ketika itu dia hanya menyalami aku dan berpamit untuk pulang, tanpa gurauan seperti sedia kala. Ketika aku mengadakan majlis bersama adik-beradik pada 1 Muhrram lalu pun dia tidak hadir biarpun kak Piah dan adiknya turut bersama, begitu juga dua minggu lalu ketika kak Piah bertandang ke GJC, Huda tidak turut serta.  

Hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati Huda meninggal dunia kerana tahap kolestrol yang terlalu tinggi hinggakan saluran darah tersumbat. Sememangnya serangan jantung adalah antara pembunuh utama di dunia. Dalam senyap ia hadir dan terus merentap. Kuasa Allah tiada siapa mampu menghalangnya tetapi sebagai manusia, kita perlu sentiasa berusaha untuk memastikan tahap kesihatan kita berada dalam keadaan yang baik. Apa yang berlaku pada tubuh kita adalah hasil daripada pemakanan kita sendiri.

Dalam amalan seharian, ditambah dengan kehidupan moden, pemakanan dan aktiviti tidak seimbang. Makanan menjadi terlalu mudah, terhasil daripada bahan proses dan lebih mudah makanan segera yang mengandungi lebih banyak mudarat daripada manfaat. Belum lagi diambil kira dengan makanan awet, berasid, sayuran yang mengandungi bahan kimia malah memakan daging juga boleh menjadi racun lantaran proses penternakannya yang lebih cepat daripada biasa. Makanan yang manis, dan kurangnya minum air suam, barangkali nampak remeh tetapi pelbagai perkara kecil jika diabaikan akan mengundang kemudaratan.

Gaya hidup terkini juga amat sibuk, rutin tidak sempurna sebagaimana kitaran hidup tanpa senaman lantaran terbeban dengan perangkap kerja, kesesakan lalu lintas dan pelbagai lagi alasan. Sekiranya demam atau pening maka berkunjung sahaja ke klinik untuk bekalan ubat atau telan sahaja panadol…. Pemeriksaan kesihatan bukan rutin wajib dan sekiranya ada dilakukan bukanlah secara berkala.

Seorang pakar pernah memberitahu: sekiranya kita tidak mempunyai masa untuk melakukan senaman dan menjaga kesihatan maka kita perlu bersedia menyediakan ruang masa untuk masa sakit kita….

Untuk Allahyarham Huda, perginya dalam usia 39 tahun dan semoga Allah SWT menempatkan rohnya bersama-sama orang-orang yang beriman di sisi-Nya. 








No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers