Tuesday 5 March 2013

Gugurnya Perwira Bangsa Demi Kedaulatan Negara


Minggu ini negara dikejutkan dengan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah yang berpanjangan sehinggakan pertumpahan darah adalah jalan penyelesaiannya. Dalam konteks kemanusiaan tentunya tidak ada sesiapun yang mahu pertempuran berlaku. Bagi angkatan Kesultanan Sulu, mereka masih lagi berpegang dengan sejarah masa lampau sebelum munculnya zaman kolonial sedangkan Sabah sudah berada dalam sekutu Malaysia. Kedaulatan Sabah adalah tanggungjawab kerajaan Malaysia dan tuntutan untuk memiliki kuasa autonomi penuh oleh Kesultanan Sulu sudah tidak relevan. Malah kerajaan Filipina juga menyokong tindakan Kerajaan Malaysia.

Amat menyedihkan apabila jalan diplomasi gagal disepakati sebaliknya taktik 'pengecut’ digunapakai oleh penceroboh ini. Umpan mengangkat bendera putih bagi mengaburi anggota polis sehinggakan dua nyawa yang terkorban. Kemudiannya serang hendap yang dilakukan di Sempoerna juga mengorbankan nyawa. Lebih dukacita apabila pertempuran ini berlaku sesama Islam dan serumpun pula... aduhaiii....

Apa yang lebih mengejutkan apabila dikatakan pencerobohan ini adalah didalangi oleh ketua pembangkang di Malaysia.... benarkah? Inilah hasil risikan daripada pihak berkuasa di Filipina, kemudiaan diterbitkan dalam akhbar di negara terbabait dan beberapa media antarabangsa termasuk Reuters. Tergamaknya insan terbabit melempar onar sedemikian. Adakah demi kedudukan, pangkat dan kuasa maka negara menjadi taruhan dan nyawa sebagai galang ganti. Dangkalnya pemikiran jika ia dijadikan sebagai agenda politik walhal sejarah lampau telah tertulis dengan runtuhnya kota Melaka adalah kerana wujudnya pengkhianat bangsa. Adakah wujud Si Kitul moden yang tidak pernah endah dengan sejarah untuk dijadikan tauladan....

Lebih dari itu, luluhnya hati isteri para pahlawan ini apabila kemudiannya menerima khabar bahawa suami tercinta telah gugur di medan perang. Ketua keluarga yang menjadi tempat bergantung hidup, insan meluah rasa, berkongsi cerita dan mencerna segala kasih dan rindu sudah tiada lagi.... 

Sayunya apabila menatap wajah anak-anak para perajurit terbabit. Apa lagi pilihan yang ada selain meredhakan pemergian insan tersayang walaupun terlalu amat perit. Amat mengharukan apabila semua prajurit terbabit meninggalkan anak-anak yang masih bersekolah dan ada diantaranya masih kecil untuk mengerti erti kematian.... Tentunya kelam pandangan, gelap terasa di sekeliling berdepan kehilangan sedemikian tetapi kuasa Allah SWT melebihi segala-galanya. Memang kita merancang, Allah SWT juga merancang tetapi perancangan kita tidak akan mampu melangkaui perancangan Allah yang Maha Berkuasa. Semoga para prajurit ini ditempatkan bersama golongan beriman disisi-Nya - Al-Fatihah

Wahai perwira,
Gugurmu penuh jasa
Baktimu tidak akan dilupa
Perjuangan dan kedaulatan sebuah nusa
Diganti dengan darah mengalir tanpa noda.

Aduhai para isteri
Tabahlah menempuh dugaan Ilahi
Biarpun hilang namun tidak akan pernah terganti
Kasih suami kekal hingga ke mati
Tiada di mata namun tetap abadi di hati.

Oh anak-anak sekalian,
Hilang ayahanda usahlah tiada karuan
Hindarkan tangis, jangan nestapa, buanglah segan
Tebuslah dengan semangat juang dan pengorbanan
Perkukuh diri, bina minda teguhkan iman
Bela bondamu dan keluarkanlah dari penderitaan
Semoga kelak dirimu jadi contoh juga ikutan
Turut berbakti pada agama, bangsa dan negara sebagai pahlawan.





2 comments:

Engku Artini said...

al fatihah untuk mereka

airikamalek said...

syahdu hati...dua lagi perajurit gugur...semoga jannah tempat mereka...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers