Friday 8 February 2013

Menganyam Impian



Dalam ruang yang terhad masih ada kekosongan yang perlu dimampatkan untuk diisi dengan impian tertangguh yang boleh direalitikan. Nampak payah, terasa sukar tetapi apabila dianyam amat terasa keindahannya dengan akhirnya bergaul harmoni menciptakan satu kepuasan yang payah diluah....

Aku mengejar ruang yang sempit dengan mendisiplinkan diri untuk mematuhi setiap aturan yang ada. Tuntutan pada keluarga, tanggungjawab pada kerjaya dan impian yang masih belum terlaksana. Biarlah, walaupun sesekali aku harus lewat beransur dari pejabat tetapi matlamat perlu disempurnakan. Kesibukan kerjaya aku manfaatkan dalam ruang bekerja sementara selebihnya aku isi dengan agenda melaksanakan disertasi yang masih tertangguh. Prinsip yang tersemat masih terus terpatri untuk tidak sesekali mengaplikasikan masa bekerja bagi ruang manfaat diri atau agenda peribadi, malah sekiranya perlu pun waktu rehat ditengahari aku turut manfaatkan agar tidak terasa beban tergalas. Sesukar mana sekalipun tugasan pejabat tetap aku mahu laksanakan tanpa tertangguh apatah lagi aku seringkali mendapat tugasan dari orang atasan yang aku harus junjung sebagai kepercayaan tanpa ada calar apatah lagi gagal.


Aku tidak mahu ada alasan ‘sibuk’ kerana masa yang ada amat banyak sedangkan tugasan yang perlu aku selesaikan tidaklah sesusah mana (anggapanku), malah itulah juga kuasa psikologi yang perlu sentiasa ada semangat positif dalam diri. Aku mengejar tarikh 5 Februari untuk tiga bab disertasi diserahkan sedangkan dua bab yang ada masih banyak kecacatan. Dalam ruang yang ada aku masih banyak bernasib baik apatah lagi temujanji dengan penyelia disertasi amat mudah aku peroleh walaupun Dr. Saleeh seringkali sibuk. Hasilnya memudahkan aku memandu arah disertasi seterusnya biarpun banyak pembetulan yang perlu aku lakukan.

Hujung minggu pula, selain aturcara bersama Amira dan Ameer yang perlu dihantar dan diambil bagi mengikuti kelas tertentu, maka aku cari ruang yang ada dengan berteleku di medan ilmu Perpustakaan Universiti Malaya. Berada di dalamnya amat terasa masa terlalu pantas sehinggakan ruang empat jam amat cepat berlalu. Mengulit disertasi sememangnya memerlukan penelitian, pembacaan dan kepekaan tetapi dalam masa yang sama aku menuntut kepantasan dalam pemikiran. Setiap ruang yang ada aku memikirkan yang terbaik dalam kehidupan malah kata-kata Dr. Saleeh terus tersemat iaitu: ‘fikirkanlah tajuk disertasi ini sekalipun dalam mimpi’.

Aku berkesempatan berjumpa Dr. Saleeh dua kali dan ia memberi peransang kepada aku untuk lebih ghairah dalam penulisan. Apa yang pasti ruang kerja, penulisan dan keluarga perlu seiring dengan emosi aku sendiri kerana kejayaan terbaik adalah yang berlandaskan luahan secara matang, menggunakan akal waras dan pertimbangan terbaik dalam menentukan masa hadapan. Biarpun aku tidak meletakkan sebarang target berlandaskan Sarjana yang aku impikan tetapi melalui disertasi ini sendiri memberikan aku lebih pemahaman terhadap tanggungjawab yang tergalas dalam kerjaya. Beruntungnya aku kerana kajian aku adalah berkait rapat dengan tugasan di pejabat maka aku dapat menyelami apa yang tersirat dalam penulisan dan dalam ruang kerjaya. Sebagaimana tajuk kajianku yang berteraskan amalan etika dan kajian fungsi aku memahami bahawa banyak ruang yang aku perlu perbaiki untuk kesinambungan perjuangan kepada wadah utama ‘payung’ bangsa Melayu. Barangkali itulah sumbangan yang mampu aku berikan....



Lukisan hasil karya Datuk Ib (Tokoh Melayu Terbilang UMNO 2007) di perpustakaan

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers