Sunday 17 February 2013

16 Februari… Happy Birthday Nina…muahhhs


Tiga tahun lalu, selepas subuh aku melahirkan seorang bayi perempuan bernama Nur Afrina Farisha (Nina). Alhamdulillah, mudahnya melahirkan Nina... tanpa perlu menanggung sakit yang lama dan tak ada sebarang kerumitan. Mudahnya aku mengandungkannya dan mengeleknya ke sana ke mari selama sembilan bulan, begitu jugalah kelahirannya.

Jika diimbas, aku mula mendapati kelainan pada diriku ketika sambutan Hari Keluarga di ILMU, Janda baik pada tahun 2009. Dalam perjalanan pulang, Mr. Hubby terpaksa berhenti di tepi jalan kerana aku merasa mual selepas turun dari Kg. Janda Baik. Ketika itu usia Amira empat tahun dan Ameer pula baru setahun setengah malah masih menyusu badan tetapi rezeki dari Allah SWT amat besar.

Dalam masa yang sama aku terpaksa akur pada tuntutan kerjaya dengan dalam keadaan berbadan dua aku bersama-sama bertugas di Pilihan Raya Kecil Manik Urai kemudiannya aku ke Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir dan Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang. Alhamdulillah aku dikurniakan kesihatan dan dapat bergerak aktif sebagaimana ligatnya Nina hari ini yang tidak ‘makan’ dengan istilah takut waima dalam gelap.

Keletah Nina sangat menghiburkan, celotehnya tanpa henti dengan pelat menutur kata dan sentiasa menuntut perhatian. Bezanya Nina enggan berenggang denganku berbanding Amira dan Ameer yang akan akrab dengan Mr. Hubby selepas bercerai susu badan. Barangkali kerana Nina tidak menyusu badan sehingga usia dua tahun sebagaimana Amira dan Ameer - juga terpaksa aku lakukan kerana batasan tugas yang membawa aku ke serata pelusuk negeri malah ke luar negara.  Barangkali kerana suasana dalam pilihan raya yang ada disekelilingku semasa aku mengandungkannya menjadikan Nina anak yang kental, tetap berpegang dengan kemahuannya malah tidak gentar sebarang ugutan....


Biarpun sepanjang hamil dan kelahirannya amat mudah tetapi Nina telah melalui keperitan yang teramat sangat ketika usianya baru 32 hari apabila dikejarkan kehospital lantaran keuzurannya. Tidak aku salahkan sesiapa malah mungkin kerana kelalaianku terhadap Nina sehinggakan Nina ditahan tiga hari di ICU dan selama sembilan hari kemudiannya di wad. MasyaAllah, hanya tuhan yang tahu keperitan dan keharuan ketika itu, anak kecil berselirat dengan pelbagai wayar sehinggakan ada ketika terpaksa diberi susu menggunakan tiub...

... dan hari ini, Nina amat ceria... gelak tawa dan riang tawanya menceriakan suasana. Apatah lagi ligatnya berkejaran dengan Ameer yang selalu mengusik sementara Amira selalunya amat serius dan jarang sekali memanjakan adik-adiknya.

Ulang tahun kelahiran Nina diraikan bersama Achik yang hanya berselang sehari tarikhnya dan seakan telah menjadi rutin tahunan untuk sambutan bersama dengan kemeriahan keluarga dan bacaan doa selamat oleh bapak sebagai pembuka.

Semoga dengan usia Nina yang ke-3 tahun ini, Allah SWT akan terus mengurniakan kesejahteraan, kesihatan dan kesempurnaan akal fikiran serta kelak dapat berbakti kepada agama, nusa dan bangsa – Amin...







Nota dari Achik mengingatkan tentang hari kelahirannya
Imbasan wajah Nina pada usia lapan bulan dalam kandungan

imbasan wajah Nina pada usia kandungan lebih 4 bulan


No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers