Friday 29 June 2012

Suatu ketika...

Dalam berkemas aku terjumpa kembali video yang aku pernah cuba buat untuk Amira & Ameer, tapi tak siap dan kemudian terbengkalai begitu saja.... Setelah 3 tahun berlalu, aku menyelami kembali apa yang pernah berlaku ketika usia Amira baru meniti empat tahun, sangat pemalu... pendiam dan terlalu pasif.

 

Wednesday 27 June 2012

Kelas Piano Amira di Ars Nova Music

Ketika usia Amira empat tahun, dia pernah minta untuk belajar piano tetapi ketika itu Mr. Hubby tak beri kebenaran lagi pun Amira masih terlalu mentah. Kemudian hujung tahun lalu apabila usia Amira hampir memasuki enam tahun, aku mula mencari sekolah muzik yang sesuai. Paling penting tidak jauh dari rumah

Amira begitu teruja untuk belajar kelas piano dan semuanya dimulakan pada kadar yang segera. Walaupun pada mulanya Mr. Hubby seakan keberatan namun ia kendur lantaran sikap Amira yang begitu excited. Kelas Amira bermula pukul 8.00 malam setiap Selasa, 45 minit kelas teori dan praktikal seterusnya 15 minit adalah latihan persendirian yang melengkapkan jumlah masa satu jam.

Anganan Dunia Penulisanku

Suatu ketika dulu aku pernah memasang impian untuk berkarya dalam penulisan kreatif apatah lagi pengkhususan aku dalam Ijazah Sarjana Muda adalah Penulisan. Ketika itu menjadi kelaziman bagiku untuk menulis cerpen, puisi, skrip drama, rencana malah kritikan sastera juga pernah aku cuba. Namun hari ini aku terkesimpang jauh dari genre asal penulisanku. Biarpun masih juga menulis sebagaimana ia mencerna minda tetapi motif dan arah haluanku telah berbeza.

Apabila membaca kembali tulisan-tulisanku yang lalu aku sedar bahawa aku lebih gemar bermain dengan bahasa dan lebih terarah kepada karya berat daripada bentuk popular. Sebagaimana aku pernah menghasilkan sebuah novel bagi memenuhi kursus penulisan tersebut, dengan tajuknya 'Miopia Hati'. Ketika itu jika ada sesiapa yang bertanya maksudnya maka jawabku carilah di dalam kamus kerana aku bersandarkan seluruh perkataan kepada buku tebal Kamus Dewan....

Tuesday 26 June 2012

Cerpen – Kognisi Pengemis Tua


KOGNISI PENGEMIS TUA- terbit dalam Majalah Tunas Cipta Disember 2005
           Kaki lima kedai yang terletak berhampiran dengan jalan raya disusurinya. Langkahnya perlahan. Lambat-lambat tetapi masih segak. Sebenarnya dia tidak tahu arah haluannya. Dia sekadar berjalan untuk menghilangkan kebosanan yang menghurung sebentar tadi.
            Kesibukan yang dilaluinya sepanjang kaki lima deretan kedai di bangunan lima tingkat tersebut seakan tidak meninggalkan kesan. Ternyata percubaannya untuk menghilangkan kecamuk di dalam fikirannya tidak berjaya.
            Orang ramai yang lalu-lalang di sekelilingnya tidak dihiraukan langsung. Kepanasan suasana juga tidak diendahkan lagi. Tanpa tahu apa yang akan dilakukannya dan tempat untuk ditujunya. Akhirnya dia kehilangan punca.

Friday 22 June 2012

Ayahandaku - Lafaz Yang Tersimpan


Dalam usia tua ayahandaku, amat sayu menatap wajahnya yang penuh dengan kedut-kedut di wajah. Matanya redup, pandangannya sayu... tiada ucapan yang dapat dilafazkan sebagaimana lirik lagu Lafaz Yang Tersimpan

Thursday 14 June 2012

Abang Cici Sakit, Insafi Kealpaan Diri


Kita hanya akan menghargai kesihatan 
apabila melihat kesakitan insan lain
Kita hanya akan akui betapa mewahnya kita 

apabila berkongsi kesusahan insan lain
Kita akan merasakan kebaikan 

apabila melihat keburukan yang dilakukan insan lain
Kita akan menyedari betapa mewahnya kita 

apabila menyelami kedaifan insan lain
Kita akan sedar betapa bertuahnya kita 
apabila melihat keuzuran insan lain
Kita akan mensyukuri setiap detik yang kita ada 
apabila sedar nyawa melayang tanpa mengira usia.

Betapa kita seringkali gagal menginsafi apa yang telah kita lakukan dan mempunyai hasrat untuk memperbaiki kekurangan kita

Monday 11 June 2012

Abang Cici, Pilu Insan Disayang Terlantar Uzur…


Suatu ketika dahulu abang Cici adalah insan yang sihat, kuat bekerja dan rajin membantu sama ada dalam kenduri-kendara atau kesusahan namun hari ini keadaannya amat jauh berbeza. Keuzurannya terlalu amat, kesakitan yang dialami tidak tertampung dengan tubuhnya yang kini hanya tingga tulang sedangkan suatu ketika dulu,tubuh inilah yang pernah mencempung diriku diusia remaja ketika aku kemalangan.

Istimewanya abang Cici sebagai abang aku yang sangat ringan tulang, membantu sesiapa saja yang kesusahan dan bersifat melindungi padaku biarpun wajahnya seringkali serius. Aku akui, diusia kecilku abang Cicilah yang paling aku takuti kerana ketegasannya tetapi apabila aku remaja beliau semakin terbuka dan dalam dewasaku masih terasa belasnya untuk memanjakan aku sebagai adik bongsu dan tunggal perempuan.

Saturday 2 June 2012

Hatyai…Sawadikappp…

Percutian kali ini berbeza kerana ia menyeberang sempadan. Sebagaimana musim cuti persekolahan, kami sekeluarga pulang ke kampung halaman Mr. Hubby... menjenguk bapa mertua yang uzur, berkunjung ke rumah sanak-saudara dan kemudian merancang percutian sendiri.

Memandangkan Pulau Pinang sudah dijelajah, Perlis telah diteroka dan Kedah juga sudah dikenali; ditambah dengan kami anak beranak mempunyai pasport antarabangsa maka kali ini kami menyeberang sempadan Utara.

Turut serta Ijan, Puteri dan Kak Mah. Perjalanan dirancang teliti, dengan pasport semua dibawa selain Ijan dan Kak Mah yang membuat pas sempadan. Semuanya di urus di Changlun, bermula dengan cukai jalan Thailand dan juga ‘booking’ hotel Grand Plaza di Hatyai. 
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers