Friday 28 December 2012

Impian Tertangguh lagi...

Menjelang 2013... imbas semula apa impian yang telah terlaksana dan gagal dilunaskan sepanjang tahun 2012 ini. Secara keseluruhan alhamdulillah, perjalanan hidup lancar dengan dikelilingi insan-insan tersayang yang sihat walafiat sedang diri sendiri turut dikurniakan kekuatan berdepan hari-hari yang sememangnya mencabar. Kesihatan dan kesejahteraan adalah anugerah paling indah dan terpenting, dengan keluarga tercinta, direstui suami, dikelilingi anak-anak, mempunyai kerjaya yang baik dan mampu berfikir dengan akal yang waras....alhamdulillah.

Namun masih ada impian yang gagal terlunas... sesuatu yang amat diinginkan untuk digengam sehinggakan acapkali juga menjadi igauan.


Ijazah Sarjana Penerbitan masih belum sempurna lantaran tebengkalai dengan tesis yang masih di takuk lama selepas sesi pembentangan tajuknya pada Mei lalu. Ketika itu azam dalam diri akan melaksanakan penulisan berdasarkan perancangan yang telah dilakarkan. Malangnya ia tidak menjadi realiti kerana sebagai wanita yang berkerjaya maka pelajaran jatuh ditangga kedua tetapi apabila berdepan dengan keluarga dan anak-anak maka keutamaan kepada mereka ditempat teratas.

Jika dikira pada masa aku seharusnya telah tamat pengajian tetapi tuntutan pada keluarga, anak-anak dan kerjaya adalah cabaran utama untuk dibahagikan, sementelah ruang yang ada amat sempit dengan aku sendiri gagal memanfaatkannya. Walau bagaimanapun aku masih terus memanjatkan kesyukuran kerana masih mampu menilai antara perkara yang harus didahulukan iaitu keluarga dan anak-anak, justeru biarlah impian sendiri tertangguh asal saja anak-anak mendapat perhatian yang sempurna dalam mereka berdepan suasana menimba ilmu dalam bimbingan aku sendiri.

Insya-Allah, akan ada peruntukan masa dengan kekuatan dalam minda dan tenaga untuk melunaskan tuntutan terbengkalai bagi gengaman M.A yang aku idamkan....



Ada seperkara lagi yang sangat diidamkan malah telah diusahakan hampir lima tahun yang lalu. Namun perancangan manusia gagal menjangkau kuasa Allah SWT yang teramat besar kurnia-Nya, maka aku sedar bahawa Allah SWT tidak memperkenakan impian tersebut kerana itu bukan milikku, malah barangkali ada yang lebih baik akan digantikan-Nya kepadaku kelak sebagaimana keredhaanku menerima dugaan ini. Betapa... dari aku masih mengandungkan anak kedua sehinggalah kini Ameer memasuki usia lima tahun ia masih dalam angan-angan yang akhirnya tidak kesampaian biarpun telah diusahakan pelbagai cara. Bukan kewangan menjadi soal, tetapi ia bermula dengan masalah teknikal, dokumentasi dan akhirnya melarat kepada janji dimungkiri oleh pemilik asal... aduhaiii, luluh sungguh rasanya.


Impian memiliki rumah sendiri tertangguh lagi... Biarpun segalanya telah hampir menjadi realiti, dokumentasi kewangan telah pasti, kunci sudah bertukar ganti dan Mr. Hubby sendiri telah menyemai pepohon buah-buahan dengan pelbagai perancangan selain ukuran untuk ubahsuai juga dilakukan oleh kontaktor terpilih namun kuasa Allah SWT mengatasi kemampuan sendiri.

Sesungguhnya aku pasrah dengan ketentuan Ilahi dengan menjadikan apa yang berlaku sebagai ukuran muhasabah diri.

1. Tidak semua yang kita impikan akan tertunai dengan mudah malah berdepan dugaan yang akhirnya belum tentu menjadi kenyataan. Berserah kepada Allah SWT kerana Dialah segala-galanya....
2. Barangkali juga Allah SWT tidak memperkenankan impian ini kerana mungkin aku akan bersifat angkuh, riak atau lebih bersifat negatif atas apa yang aku miliki maka seeloknya aku perbetulkan niat untuk merealisasikan impian ini dengan kerendahan hati dan sepenuh keinsafan atas rahmat-Nya kepadaku dan keluarga selama ini.
3. Allah SWT limpahkan kita dengan pelbagai anugerah dan kurnia yang sangat hebat maka impian ini hanyalah sekelumit yang tidak diperkenankan oleh-Nya.
4. Allah SWT saja yang mengetahui apa yang tersirat kerana yang dilimpahkan-Nya adalah yang terbaik untuk para hamba-Nya.
5. Konsep muamalat sesama manusia - memaafkan atas kesalahan insan lain walaupun ternyata janjinya telah dimungkiri dan angkuh dalam perhubungan insani. Mahukan keuntungan yang lebih biarpun sebelum ini telah berjanji, dibantu dan diangkat menjadi sahabat namun akhirnya ia semua terlerai lantaran nilai wang yang jauh melangkau nilai kemanusiaan.
6. Kita adalah apa yang kita lakukan, apabila kita dekatkan diri pada-Nya, maka Allah SWT akan lebih dekat pada kita. Semoga tidak alpa dalam memenuhi segala tuntutan sebagai muslimah sejati. Allahuakhbar!!!



No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers