Saturday 4 August 2012

Cerpen - Mencari Taubat Nasuha


hantar pada majalah sinar rohani 26/1/07

Saudara,” bahunya dicuit lembut seiring dengan suara yang memanggilnya.

            Lelaki itu menoleh dan memandang wajah jernih di sebelahnya. Ternyata bahawa lelaki itu amat setia melayan dirinya, mendengar ceritanya dan seketika kemudian memerhatikannya yang hanyut jauh dibawa perasaannya sendiri.
            Lelaki berwajah jernih itu senyum padanya dan secara sepontan juga dia membalas senyuman lelaki berwajah jernih tersebut. Penuh dengan ketulusan dan keikhlasan yang tersemat.
            “Saudara, hanya Allah yang dapat mengembalikan keyakinan dan membawa rasa kebahagiaan dalam diri saudara. Sebagai insan, kita terlalu lemah dan amat mudah untuk terluka. Hanya keimanan yang teguh di samping keluhuran hati melepaskan segala yang telah pergi.”

            Dia cuba menyelami kata-kata yang diucapkan kepadanya. Lantaran kefahaman dari ayat yang dituturkan itu dia mengangguk perlahan-lahan.Terasa sedikit ketenangan meresap masuk ke dalam tubuhnya tetapi masih ada yang belum selesai.
            Dirinya masih belum benar-benar puas hati.
            Hajatnya yang sebenar belum terlaksana dan dia masih belum juga menjalankan tanggungjawabnya seperti yang telah diceritakan kepadanya malah telah diketahuinya juga sejak dia berada di zaman kanak-kanak. Namun tidak dipraktikkan hingga dewasa. Terputus secara perlahan-pahan.
            Malangnya!
            Sekarang dia tidak mahu terus terperangkap dengan dunia yang malang dan hidup mengejar kebendaan semata-mata.
            Disematkan azam yang kukuh di dalam mindanya.
            Diletakkan harapan yang tinggi di sudut hatinya
            Dipadunya janji yang utuh pada perasaannya.
            Dia enggan hanyut lagi!
            “Saudara, seeloknya saudara menjalankan perintah Allah sebaiknya tanpa meninggalkan semua perkara yang wajib untuk dilakukan. Jangan memaksa diri saudara sebaliknya lakukanlah dengan keikhlasan kerana di situlah letaknya kunci kebahagiaan yang sebenar.”
            Lelaki berwajah jernih itu tidak jemu menanamkan kata-kata nasihat yang lembut pada pendengarannya. Semuanya terus menusuk ke tangkai hatinya dan secara tidak langsung dapat menampung titisan darah merah pekat hanyir yang mengalir. Ketandusan dalam mencari persolan juga semakin hilang malah dia semakin dapat menyelami satu persatu punca kemurungan yang muncul di dalam dirinya.
            Memang silapnya juga.
            Betapa...!
            Bukan salah sesiapa dan tidak harus untuk menyalahkan sesiapa.
            Bukan kerana bekas tunangnya yang telah pergi meninggalkan dirinya dan bukan kerana remuk hancur keretanya yang mengakibatkan dirinya tidak lagi berkenderaan. Juga, bukan kerana masalah kerjayanya atau keluarganya atau rakan-rakannya sekali pun yang tidak mahu membantunya.
            Segalanya diakuinya kini. Timbul akibat kelalaian dan akibat kedunguannnya yang terlalu asyik, terlalu leka dengan urusan-urusan dunia.
            Memang bukan itu yang diajar oleh ibu dan bapanya ketika dia masih kanak-kanak dan bukan begitu juga sikapnya semasa dia meningkat remaja. Segalanya datang secara senyap.
            Lelaki itu menarik nafas lembut. Cuba menikmati hembusan angin malam yang berada di sekelilinngnya. Terasa damai dan menyamankan. Meresap hingga ke seluruh tubuhnya. Segalanya dirasakan dengan teliti oleh lelaki itu sedangkan lelaki berwajah jernih di sebelahnya tetap memandang perlakuannya.
            Dirinya pernah jatuh tersungkur, lalu dia terluka dan teramat sangat kesakitan yang dirasakannya. Lantaran itu, perasaannya masih menebal untuk menghadapi hari mendatang tetapi mujurlah kerana insan di sebelahnya datang dan memberikan sedikit kata-kata perangsang yang secara tidak langsung mampu untuk membangunkan dirinya dari terus terleka.
            Suatu ketika dahulu, digantungkan cita-cita, ditanamkan harapan dan disematkan impian tetapi segalanya hancur lebur dalam sekelip mata. Semuanya hanya kerana seorang insan yang juga adalah hamba Allah.
            Yang dikejar tak dapat....
            Yang dikendong berciciran.
            Ikrarnya di dalam hati, kekecewaan yang lalu akan akan diciptakan menjadi impian baru dan mencari arah yang lain. Akhirnya, apa salahnya jika kembali mengutip apa yang telah tercicir dulu..., atau berundur ke belakang dan memilih haluan yang lain agar tidak sesat lagi.
            “Di sebalik ujian dan derita itulah, Allah mentarbiahkan iman dan keyakinan kita terhadap-Nya. Pergantungan hati dan jiwa terhadap sesama makhluk tidak akan membawa ke jalan yang yang sejahtera kerana yang abadi hanya Allah. Untuk hidup di dunia sememangnya kita bergantung sesama makhluk tetapi bagi kehidupan yang kekal selamanya hanya pada Allah. Sesungguhnya Allah tidak mahu hamba-hambanya bergantung kepada selain daripada-Nya. Kerana itulah Rsulullah dilahirkan dan menjadi yatim piatu semasa kecil lagi. Kemudian diikuti dengan pemergian datuknya, Abdul Mutalib. Malah tidak cukup itu dugaan yang diterima oleh Rasulullah, tulang belakang baginda, Siti Khadijah dan bapa saudara baginda Abu Talib, juga turut dijemput Allah ketika dakwah Islam baru bertunas.”
            Lelaki itu bersyukur.
            Amat bersyukur!
            Setidak-tidaknya dirinya telah terlontar ke bumi yang bertuah, ke tempat yang terbaik, ke rumah Allah. Digerakkan Tuhan untuk dia melangkahkan kaki ke masjid tersebut di kala dirinya tidak karuan dan gagal untuk mencari haluan yang sebenar, gagal mencari tujuan yang hendak dihalakan.
            “Saudara, teguhkanlah hati kerana ini hanyalah ujian darinya dan bukannya hukuman. Sesungguhnya Allah akan menduga hambanya yang telah bersedia untuk menghadapi ujian. Semakin banyak ujian yang diperturunkan oleh Allah kepada kita maka sesungguhnya semakin dekat Allah kepada kita dan semakin kuatlah kketakwaan kita kepada Allah.”
            Kata-kata lelaki berwajah jernih itu semakin halus. Terasa kebenaran yang diberikan oleh lelaki berwajah jernih tersebut menjamah masuk dan secara tidak langsung memberi keyakinan kepada dirinya.
            “Saudara, kekecewaan yang dialami oleh saudara adalah sebahagian daripa ujian Allah dan saudara sebagai umatnya haruslah bersabar. Sifat sabar tergolong dalam sifat-sifat terpuji yang sentiasa menjadi pakaian para rasul dan ulamak serta kaum yang benar-benar bertakwa kepada-Nya. Mereka merupakan contoh terbaik, idola insan mulia yang tahan diuji. Bahkan mereka juga sentiasa sabar dalam menjalankan dakwah di jalan Allah. Sebenarnya sabar mentaati perintah Allah bermaksud memelihara ketaatan itu secara berterusan dan berkekalan dengan keikhlasan dalam setiap amalan sehingga ia menepati kehendak-kehendak syarak. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan insan mulia yang menjadi teladan dan contoh betapa baginda memiliki kesabaran yang luar biasa dalam melakukan ibadat seharian.”
            Lelaki itu mengangguk lembut beberapa kali. Sememangnya kata-kata lelaki berwajah jernih di sebelahnya segar masuk dan mendenyut di dada fikirannya. Lantas ia menyentuh lautan rasa yang sejak tadi bergelombang tidak menentu.
            Alangkah tenangnya...!
            Terasa damai meresap...!
            Nyaman seluruh tubuh.
            Angin malam mengusap tubuhnya. Mesra menjamah. Lembut melengkapi keceriaan dan ketenangan malam.
            Lelaki itu mendongak memandang jauh ke langit tinggi. Jelas, keagungan Allah terbukti, kebesaran-Nya tergambar pada langit kukuh yang tidak bertiang, pada bintang-bintang yang bergantungan tanpa ikatan tali serta bulan bersinar indah tanpa berlapik. Sesekali kepingan awan bergerak lembut, tidak mahu ketinggalan untuk turut menyertai keindahan alam.
            Ya Allah, berilah aku kekuatan iman dan ketakwaan untuk menghadapi ujian-Mu. Kau Tuhan Yang Maha Mengetahui. Berilah aku hidayah dalam menuju ke sisi-Mu dan jauhkanlah aku dari kesesatan serta kejahilan!
            Fikiran lelaki itu bergerak sejajar dengan keinginan dan rasa yang terbit dari ketulusan dan keikhlasan di hatinya. Keinginannya untuk mendekati Tuhan serta meninggalkan segala perasaan tidak selesa di dalam tubuhnya.
            Ternyata bahawa kata-kata yang terbit dari hati dan takwa itu menyelusup ke pangkal jiwanya. Pohon keyakinan yang telah kering oleh kegelisahan dan kebosanan yang hadir sebentar tadi kembali segar dan menghijau. Bunga-bunga ketakwaan kembali membenih dan bertunas di dalam dirinya. Perasaan kecewa dan kesakitan semakin berkurangan.
            Darah merah pekat hanyir berhenti titisannya.
            “Saudara, seeloknya saudara bersyukur kehadrat Allah, bukan hanya dengan kata-kata sahaja tetapi ia perlu diiringi dengan perbuatan. Oleh itu, pergilah saudara berwuduk, dirikan solat fardu dan sekiranya mampu dirikan sekali solat sunat. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan akan mengampunkan umatnya yang benar-benar ingin bertaubat dan kembali kepada-Nya.”
            Diakhir kata-kata itu, lelaki berwajah jernih itu menepuk lembut bahunya. Terasa kesegaran dan kemesraan hadir antara mereka.
            Lelaki itu bangkit dari tempat yang didudukinya sejak dari tadi. Lelaki berwajah jernih itu juga turut bangun. Mereka berpandangan. Senyuman lelaki berwajah jernih itu tidak lekang menghias wajahnya.
            Lembut dan menyamankan mata yang memandang!
            Lantas, lelaki berwajah jernih itu menghulurkan salam. Dengan serta merta ia di sambut oleh lelaki itu. Pegangan tangan yang erat dan kejap dan sejurus kemudian, lelaki itu terus memeluk lelaki berwajah jernih dan lelaki berwajah jernih itu membalasnya, menepuk bahunya beberapa kali.
            Erat dan mesra.
            Sesungguhnya tidak ada lafaz terima kasih dari lelaki itu tetapi pelukan yang dibuat melampaui segalanya malah itulah tanda ucapan di atas kata-kata dan nasihat yang telah diberikan kepadanya.
            Terlalu sebaknya rasa hati.
            Rupanya memang tidak semua manusia kaku, tidak semua manusia pentingkan diri sendiri malah masih ada yang sudi untuk mengambil berat tentang dirinya serta menasihatinya.
            Pelukan dilepaskan. Lelaki berwajah jernih di hadapannya dipandang semula. Satu anggukan lembut jelas kelihatan berserta dengan senyuman mesra. Lelaki itu mengerti.
            Lalu dia menoleh mengadap ke arah masjid. Memerhatikan tangga-tangga yang teratur dan terus pandangannya tertumpu ke pintu masuk masjid.
            Syukur, Ya Allah!
            Dia melangkah perlahan, mendaki tangga masuk menuju ke dalam masjid dan  meninggalkan lelaki berwajah jernih itu di luar.         
            Lelaki itu menuju ke bilik air. Dengan ketakwaan yang bersemi dan penghambaan yang bermukim di hatinya, lelaki itu menyempurnakan wuduknya.
            Penuh hati-hati.
            “Kesempurnaan solat bermula dari kesempurnaan wuduk. Sambil lewa dalam solal rukun, syarat serta sunat-sunatnya, pastinya akan memberi kesan terhadap solat yang dilaksanakan. Jangan dilupa bahawa iblis dan syaitan sentiasa mengintai peluang untuk mengganggu amal ibadat kita. Salah satu jalan menyusupnya, yang kita jarang ambil berat ialah penggunaan air yang terlalu banyak dan membazir ketika berwuduk sedangkan perbuatan membazir itu sahabat syaitan. Bagaimanakah solat akan dilaksanakan dengan khusuk, jika ketika berwuduk lagi syaitan telah menjadi sahabat kita?”
            Pesanan lelaki berwajah jernih tadi ditanjap sungguh-sungguh di dalam amalannya. Bimbang jika dirinya tidak sempuna dari awal perlakuan ibadahnya kepada Allah.
***
            Lelaki itu membetulkan kedudukannya mengarah kiblat, istigfar tidak terlepas dari kumitan bibirnya sejak dia mengambil wuduk lagi. Seketika, lelaki itu tenggelam dalam kekhusyukan mengadap Allah. Mengangkat takbir dengan dengan kesempurnaan yang teguh dan keimanan yang kukuh. Tiap patah ayat dibacanya dengan teliti dan hati-hati, diperhatikan maksudnya, setakat mana yang termampu.
            Empat rakaat solat fardu telah selesai dan berlalu dengan sempurna. Lelaki itu telah berusaha melakukannya sesempurna mungkin dalam setiap gerak-geri serta bacaannya.
            “Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakhbar....”
            Perkatan tersebut berulang-ulang, silih berganti dari meniti bibirnya.
            Tenang!
            Perasaan nyaman bersemi di seluruh urat sarafnya.
            Darah merah pekat hanyir telah kering.
            Luka telah terubat.
            Lelaki itu mengangkat takbir, lalu sujud perlahan-lahan hingga dahi menyentuh lantai. Mengulangi tasbih dan salawat sepuluh kali. Kemudian bangun lalu bersimpuh, menadah tangan.
            Memohon kerahiman dan hidayatullah untuk dirinya.
            “...Ya Allah, Kau pandanglah aku dengan rahmat dan kasih sayang-Mu. Kau lebih mengetahui apa yang sedang bergolak dalam jiwaku ini.
            Ya Allah, kepada–Mu aku menyerahkan diri, kepada-Mu aku beriman, atas-Mu aku bertawakal, kepada-Mu aku kembali, ampunilah dosaku yang telah lalu dan dosa-dosaku yang akan datang, dosa yang aku sembunyikan dan yang aku nampakkan.
            Ya Allah, aku mohon kepada-Mu petunjuk sehingga bertaubat terus-menerus atas segala dosa dan kesalahanku, Ya Allah. Jadikanlah aku selau ingat kepada-Mu dan keluarkan aku dari kegelapan ragu-ragu. Kurniakanlah aku dengan sinaran kefahaman, bukankanlah bagiku pintu taubat-Mu, Ya Allah dan hiasilah aku dengan akhlak yang baik dan kasih sayang....”
            Bisikan doa yang penuh berharap dengan taubat dan kesedaran mengiringi serta terayam rapi bersama esak dan sendu. Butiran air mata jernih mengalir berjuraian dari kedua-dua pelupuk matanya.
            Terasa ketenangan yang sangat nikmat.
            Hampir setengah jam barulah kedua-dua tangannya diturunkan, dan gerak bibirnya berhenti.
            Lelaki itu teramat puas. Tidak pernah merasakan nikmat yang sedemikian, nikmat berdoa seumpama ini.
            “Alhamdulillah.”
            Selesai segalanya!
            Semoga kecemerlangan akan diperoleh hasil daripada apa yang telah dilakukan.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers