Monday 20 August 2012

Aidilfitri Ke Hospital

Tanggal 1 Syawal 1433 bersamaan dengan 19 Ogos 2012, amat berbeza bagiku dan keluarga apabila hari raya kali ini dirasakan tidak semeriah tahun-tahun lalu lantaran bapak terlantar sakit di hospital. Tiga hari terakhir Ramadan, bapak tak sihat hinggakan dia terpaksa dirujuk ke Hospital Selayang dan hasil laporan, penyakit lama bapak iaitu ulser perutnya kembali lagi. Perut bapak berdarah dan perlu rawatan khusus. Bapak tak dibenarkan makan dan minum sebaliknya hanya drip air garam yang masuk ke dalam tubuhnya.
Walaupun selepas sehari dimasukkan ke wad bapak sudah tidak sakit tapi bapak perlukan pemantauan rapi. Daripada penyakit bapak melarat maka kami sepakat untuk bapak terus dirawat biarpun Aidilfitri tak dapat dirai....

Lantas, rutin hari raya kami semua berubah. Mood untuk memasak pelbagai makanan dan kuih muih juga terasa hambar. Dalam bergema takbir raya, hati terasa amat syahdu... memasuki bilik bapak amat terasa kekosongannya apatah lagi bila terkenangkan arwah mak. Kebiasaannya arwah mak akan mengaji di hujung kepala katil sedangkan bapak berwirid panjang disejadahnya. Pada usia remajaku, aku gemar baring di sisi emak sambil mendengar emak mengaji dan menatap wajah tuanya....

Keceriaan Aidilfitri dirai dengan anak-anak yang sangat teruja. Maklumlah baju baru sedondon warna biru, tapi sayangnya bapak tak dapat memakainya. Biarpun kami bergambar di hari raya namun keghairahannya tidak sebagaimana tahun lalu kerana sedar bahawa bapak tak berhari raya.

Selepas ke kubur arwah abang Daili dan anaknya Nurul Farahana di Danau Kota, kami mengunjungi pusara arwah mak di Taman Selasih. Indahnya perkuburan arwah mak, terletak ditepi jalan dan dibawah pohon rimbun sehinggakan kami anak beranak seakan-akan berkelah menziarahi pusara mak.

Seterusnya kami ke Hospital Selayang. Rasa terharu melihat bapak yang terlantar biarpun katanya tidak ada apa-apa kesakitan. Tidak ada juga sebarang bekalan yang kami bawa kerana bapak masih tidak dibenarkan makan dan minum apa-apa. Luka diperut bapak dirawat dengan sebaiknya oleh doktor. Selepas meluangkan masa bersama bapak, kami terus ke pusara abang Cici di Taman Kosas, Ampang dan kemudian ke pusara Obek Daud di Cheras. Ini saja aktiviti untuk Aidilfitri ini kerana lewat petang aku perlu bersiap dan bertolak ke Kedah untuk meraikan berma keluarga Mr. Hubby. Telah aku maklumkan pada bapak dan bapak amat memahami. Sebagaimana bapak, di Kedah juga menanti seorang lelaki tua yang mahu menyambut kepulangan anaknya – Mr. Hubby.

Sesungguhnya kesayuan di hati amat terasa dengan keadaan bapak yang terlantar di hospital dan ketiadaan abang Cici yang menyusul mak awal Ramadan lalu. Namun kesedihan aku kesampingkan lantaran keutamaan pada Mr. Hubby dan anak-anak. Seboleh-bolehnya apa saja yang diminta mereka mahu aku tunaikan biarpun lumrah perangai aku yang cenderung memberikan komen dan banyak bertanya.

Bergambar di lobi hospital Selayang
 







2 comments:

ummiLIN said...

Kak, bapak cmne? Dah ok ke? Semoga dia sehat selalu.

Selamat hari raya ye kak...

airikamalek said...

Alhamdulillah, bapak dah ada kat rumah cuma bak kata org...'sihat org tua...'

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers