Sunday 29 July 2012

Abg Cici Dah Pergi….


Ramadan yang keenam, sementara menunggu waktu berbuka puasa aku melayan anak-anak dalam keadaan yang lelah setelah seharian bekerja. Ketika itu jam menghampiri pukul 7.00 malam. Telefon bimbitku berbunyi… sekali bunyi tak sempat ku angkat. Kemudian berbunyi lagi dan dihujung talian suara Zack cemas…, katanya ayah dah tak bergerak tolong cepat datang. Aku turut cemas, segera memberitahu Mr. Hubby yang sedang bertadarus. Tetapi Mr. Hubby tenang saja dan menyarankan agar berbuka puasa terlebih dahulu ditambah lagi dengan kesesakan jalan. Aku enggan menggesa tetapi hati meronta. Aku hubungi abang Hakim dan sarannya agar aku tidak cemas sebaliknya menguruskan keluarga dan anak-anak terlebih dahulu dengan dia sendiri yang akan berkejar ke sana bersama bapa. Aku lega sedikit.

Selepas sahaja solat maghrib aku dan Mr. Hubby bersegera ke Ampang, dan kemudian abang Hakim menghubungiku. Katanya, abang Cici dah tak ada…. Innalillahiwainnailaihirajiun. Dari Dia kita datang dan kepada-Nya juga kita kembali. Airmataku mengalir dalam keredaan hati dengan pemergian abang Cici apatah lagi setelah melihat sendiri penderitaannya yang berpanjangan.

Sekujur tubuh abang Cici telah tertutup kaku dengan dikelilingi anak-anaknya yang membacakan surah Yassin. Suasana hening, tenang dan syahdu tanpa ada rintihan dan kekesalan. Semua redha dengan pemergian abang Cici ditambah lagi apabila kak Zura dan kelima-lima anaknya, Zack, Zul, Radzi, Aiman dan Amy turut ada ketika nafas terakhir abang Cici dihembuskan. Lebih dari itu, rupanya bapa juga sempat berjumpa abang Cici di saat-saat terakhirnya dan memimpin bacaan syahadah. Abang Cici membuka mata sekali memandang bapa dan kemudian terus pejam selama-lamanya. Ada air mata yang mengalir di wajah abang Cici ketika itu.

Indahnya pemergian abang Cici setelah bertarung dalam penderitaan yang panjang akibat kanser. Malam Jumaat di bulan Ramadhan yang barakah. Dikelilingi isteri dan anak-anak termasuk bapa walaupun siangnya isteri bekerja dan anak-anak bersekolah sementara bapa tinggal jauh tetapi abang Cici sempat bersama di saat-saat akhir. Seakan tiada keperitan berdepan sakaratul maut sedangkan di waktu siangnya sikapnya seperti biasa malah seleranya semasa makan tengahari juga tidak tumpul. Di awal pagi, satu-satu anak-anaknya dipanggil dan ditatap wajahnya. Kebetulan ketika itu giliran Zul yang menjaga bapanya, tetapi tidak ada sebarang kelainan dengan hari-hari sebelumnya. Lebih beruntung, abang Cici dapat menikmati makanan yang diidamkan sebelum itu iaitu rendang daging. Mujur kak Zura mendapatkannya dan tiada rasa terkilan kerana apa yang diminta dapat diberi.  

Cerita kak Zura, malam sebelum abang Cici pergi dia sempat meminta maaf pada kak Zura kalau sepanjang dia sakit banyak menyusahkan, tapi kak Zura kata dia sentiasa ikhlas biarpun memang amat perit, malah mereka saling bermafan ketika itu. Doa kak Zura sentiasa mohon jika abang Cici pergi biarlah di rumah sendiri dan dikelilingi semua keluarga, dan alhamdulillah Allah SWT memakbulkan doa ini.

Alhamdulillah juga, Allah SWT memudahkan segala urusan yang dilakukan. Bermula dengan laporan polis, urusan tempat pengkebumian, mandi, van jenazah hinggalah ke liang lahad. Ramainya saudara mara, rakan taulan dan jiran tetangga abang Cici yang datang. Biarpun abang Cici meninggal selepas maghrib tetapi urusan pengkebumian abang Cici sempurna malam itu juga tanpa perlu bertangguh ke esok pagi. Bukan saja di rumah orang ramai menziarah tetapi mereka mengiringi hingga ke tanah perkuburan walaupun ketika itu sudah tengah malam.

Kali terakhir aku bersua abang Cici ketika aku menjemputnya dari HKL sehari sebelum Ramdhan. Aku memandu kereta sedang ketika itu abang Cici duduk disebelahku. Ketika itu pula hujan lebat turun dan jalan amat sesak yang menjadikan perjalanan dari HKL ke Ampang hampir dua jam. Aku tahu ketika itu abang Cici merasai kepayahan tetapi kami masih boleh jadikan ia sebagai gurauan.

Dalam syahdu aku menyusuri kenangan bersama abang Cici…. Pilunya hati kerana aku sedar inilah abang yang selalu ‘memenangkan’ aku dalam apa jua keadaan malah ketika aku kecil abang inilah yang selalu mendukung dan menyisir rambutku, itu semua cerita dari arwah mak. Sekarang abang Cici dalam usia 51 tahun dah menyusul mak sebagaimana abang Daili dan abang Solo juga.

Damailah abang Cici di alam sana, semoga roh abang Cici akan ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan para anbiya. Al-Fatihah.






No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers