Sunday 29 July 2012

Abg Cici Dah Pergi….


Ramadan yang keenam, sementara menunggu waktu berbuka puasa aku melayan anak-anak dalam keadaan yang lelah setelah seharian bekerja. Ketika itu jam menghampiri pukul 7.00 malam. Telefon bimbitku berbunyi… sekali bunyi tak sempat ku angkat. Kemudian berbunyi lagi dan dihujung talian suara Zack cemas…, katanya ayah dah tak bergerak tolong cepat datang. Aku turut cemas, segera memberitahu Mr. Hubby yang sedang bertadarus. Tetapi Mr. Hubby tenang saja dan menyarankan agar berbuka puasa terlebih dahulu ditambah lagi dengan kesesakan jalan. Aku enggan menggesa tetapi hati meronta. Aku hubungi abang Hakim dan sarannya agar aku tidak cemas sebaliknya menguruskan keluarga dan anak-anak terlebih dahulu dengan dia sendiri yang akan berkejar ke sana bersama bapa. Aku lega sedikit.

Selepas sahaja solat maghrib aku dan Mr. Hubby bersegera ke Ampang, dan kemudian abang Hakim menghubungiku. Katanya, abang Cici dah tak ada…. Innalillahiwainnailaihirajiun. Dari Dia kita datang dan kepada-Nya juga kita kembali. Airmataku mengalir dalam keredaan hati dengan pemergian abang Cici apatah lagi setelah melihat sendiri penderitaannya yang berpanjangan.

Monday 23 July 2012

Kesihatan: Punca dan Muhasabah Diri


Sejak dua minggu lalu tahap kesihatan aku menurun. Bermula dari demam, selsema dan batuk yang berpanjangan. Sangat tidak menyelesakan. Aku ambil MC sehari dan sepanjang hari itu aku rehat sepenuhnya dengan tidur yang panjang. Demam kebah tetapi batuk dan selsema berlarutan. Jika diingat-ingat sudah amat lama aku tidak merasai sakit sedemikian sehinggakan tidur malamku pun terganggau dengan batuk berkahak. Peritnya....

Klinik pula, sudah tiga kali aku kunjungi, hingga akhirnya doktor yang merawatku turut membekalkan ubat asma dan beberapa ubat lain yang lebih ‘kuat’ kerana katanya kahak terlalu banyak dalam paru-paru aku.

Friday 20 July 2012

Cerpen: Buntu

TERBIT DLM DEWAN SASTERA JUN 2007
______________________________________________________________________
APABILA yang berlaku tidak sama dengan apa yang dirancang, semuanya hancur berderai. Pilunya rasa. Bukan hanya jatuh terduduk tetapi telah tersungkur mencium tanah dan luka.
            Bagaimana untuk bangkit semula? Bagaimana untuk meneruskan langkah jika tidak bangun?        Tetapi, jika bangun sekalipun kemana langkahnya hendak dihalakan? Tidak tahu arah yang akan dituju, tidak pasti haluan yang akan dibawa dan entah ke mana kaki akan dilangkahkan.

Tuesday 17 July 2012

Kondisi Terkini Abang Cici...


Pagi tadi aku berkunjung lagi ke HKL di Institut Radioterapi & Onkologi yang menempatkan abang Cici di  sini. Sudah lebih sebulan abang Cici menghuni wad 4B yang menempatkan para pesakit kanser dan aku adalah pengunjung setianya. Biarpun tidak banyak yang dapat aku lakukan tetapi sekurang-kurangnya aku dapat bercakap dengan abang Cici.

Alhamdulillah, keuzuran abang Cici tidak separah sebelum ini. Aku melihat perubahannya biarpun aku akui tubuhnya yang kurus semakin melidi. Tulang tubuhnya tampak tersembul tanpa disaluti isi menggebu.

Friday 13 July 2012

Hobi Mr. Hubby Di Rumah

Hobi Mr. Hubby amat berbeza dengan aku yang lebih gemar membaca novel, menulis, berjalan dan menonton. Aku hanya mengetahui hobi Mr. Hubby selepas kami berumahtangga biarpun aku mengenalinya dua tahun sebelum itu dan kemudian ditambah dengan ikatan pertunangan selama 10 bulan. 

Sepanjang hidup bersama, tanah di depan rumah kami telah acapkali berubah landskapnya. Bermula dari kawasan kontang kemudian ia merimbun dengan pepohon menghijau, lengkap dengan air pancut dan batuan mengelilingi. Terbaru, ia berubah lagi dengan semaian pepohon berbunga, merah warna mawar dan beberapa pohon orkid turut diborong semasa Pesta Flora 2012 lalu. 

Friday 6 July 2012

Ulang Tahun Kelahiranku


Tarikh 2 Julai genap usiaku 35 tahun. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana aku terus diberi kesempatan menikmati kesejahteraan hidup dengan kesihatan, keluarga, saudara mara dan rakan taulan yang sangat membahagiakan. Pertambahan usia bukanlah satu masalah buatku kerana apa yang lebih penting adalah pengisian untuk sepanjang usia tersebut dengan pengalaman dan kematangan fikiran.

Alhamdulillah, dalam menyusur usiaku ini, aku sempurna sebagai insan yang tidak cetek pengetahuan, mempunyai keluarga, berkerjaya dan tidak merempat, justeru apa yang penting buatku adalah mencanai kesemuanya dalam kesempurnaan kehidupan seorang insan tanpa perlu menyusahkan sesiapa tetapi sebaliknya memberi bantuan sepenuhnya.

Thursday 5 July 2012

Jakarta Oh Jakarta....


Aku berkesempatan berkunjung ke bumi Jakarta, kota metropolitan yang amat terkenal dengan kesibukan dan kesesakannya. Bersama para delegasi aku merasai layanan bertaraf VIP, berkenderaan mewah Alphard siap dengan polis pengiring dan menghuni hotel mewah Four Seasons, Jakarta.

Aku tidak mengambil mudah tugasan ke Kota Jakarta ini kerana aku sedar bahawa aku terpilih atas tanggungjawab yang bukan kecil. Tentunya, selain liputan pemberitaan pasti aku perlu membuat laporan atas apa yang berlaku sepanjang kunjungan tersebut. Tentunya ia bukan tugas yang mudah apatah lagi ia membabitkan urusan bersama dengan partai-partai campuran di Indonesia. Dalam kecetekan akalku menjangkau situasi politik di Indonesia aku merasai betapa berbezanya pandangan mereka dengan suasana masyarakat Malaysia. Namun paling penting, hubungan serumpun dua negara menjadi pengikat, budaya dan agama yang sama tidak akan dapat memisahkan dua negara bersempadan.
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers