Monday 11 June 2012

Abang Cici, Pilu Insan Disayang Terlantar Uzur…


Suatu ketika dahulu abang Cici adalah insan yang sihat, kuat bekerja dan rajin membantu sama ada dalam kenduri-kendara atau kesusahan namun hari ini keadaannya amat jauh berbeza. Keuzurannya terlalu amat, kesakitan yang dialami tidak tertampung dengan tubuhnya yang kini hanya tingga tulang sedangkan suatu ketika dulu,tubuh inilah yang pernah mencempung diriku diusia remaja ketika aku kemalangan.

Istimewanya abang Cici sebagai abang aku yang sangat ringan tulang, membantu sesiapa saja yang kesusahan dan bersifat melindungi padaku biarpun wajahnya seringkali serius. Aku akui, diusia kecilku abang Cicilah yang paling aku takuti kerana ketegasannya tetapi apabila aku remaja beliau semakin terbuka dan dalam dewasaku masih terasa belasnya untuk memanjakan aku sebagai adik bongsu dan tunggal perempuan.

Tidak sampai dua minggu aku menziarahinya, namun mesej tengah malam yang diterimanya amat memilukan hati dan meruntun jiwa untuk segera bersua dengannya. Tulisnya “Dik, jika ada kelapangan jenguklah abang, abang dah makin teruk.”

Lantas, bersama suami aku berkunjung ke rumahnya. Aduhaiii...pilunya hati melihat keadaannya lantas kami berpelukan dan bertangisan tanpa tertahan rasa emosi yang terpendam. Ucapnya sayu “disangkakan tidak akan bersua lagi dengan adik-beradik....”

Keadaan abang Cici telah membayangkan keperitan dirinya yang tidak tertanggung lagi, wajahnya yang dulu berisi terserlah cengkung dengan tulang pipi sudah tersembul dan mata terperosok jauh ke dalam. Pada hening matanya aku terbayangkan pandangan mata arwah mak. Air mata berlinangan tanpa tertahan, tidak mampu membayangkan kesakitan ditanggung.

Sememangnya, aku sedar... penyakit barah adalah musuh paling bahaya ditambah lagi dengan komplikasi kencing manisnya. Abang Cici sudah semakin parah. Itu perlu aku akui, apatah lagi tubuhnya sudah tidak mampu berdiri sendiri dan yang terdaya hanya terbaring lesu menahan kesakitan.

Apalagi mampu aku lakukan selain doa dan pasrah dengan ketentuan-Nya.... sedang isterinya tidak pernah kering airmata, walhal anak-anaknya seramai lima orang yang kesemuanya lelaki masih di alam persekolahan dengan yang sulung bakal berdepan SPM dan bongsu baru menjangkau tiga tahun.

Pada-Mu Ilahi,sesungguhnya hanya Engkaulah yang tahu rahsia setiap kejadian itu dan semua yang berlaku adalah atas perancangan-Mu jua namun, aku bermohon pada-Mu, perkuatkanlah semangat abangku ini untuk menempuh liku-liku kehidupan dengan terus tabah dan sentiasa mengingati-Mu, Ya Allah....

2 comments:

ummiLIN said...

semoga abg cici sembuh dan dilindungi Allah selalu...

airikamalek said...

tqvm Ummi...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers