Tuesday 26 June 2012

Cerpen – Kognisi Pengemis Tua


KOGNISI PENGEMIS TUA- terbit dalam Majalah Tunas Cipta Disember 2005
           Kaki lima kedai yang terletak berhampiran dengan jalan raya disusurinya. Langkahnya perlahan. Lambat-lambat tetapi masih segak. Sebenarnya dia tidak tahu arah haluannya. Dia sekadar berjalan untuk menghilangkan kebosanan yang menghurung sebentar tadi.
            Kesibukan yang dilaluinya sepanjang kaki lima deretan kedai di bangunan lima tingkat tersebut seakan tidak meninggalkan kesan. Ternyata percubaannya untuk menghilangkan kecamuk di dalam fikirannya tidak berjaya.
            Orang ramai yang lalu-lalang di sekelilingnya tidak dihiraukan langsung. Kepanasan suasana juga tidak diendahkan lagi. Tanpa tahu apa yang akan dilakukannya dan tempat untuk ditujunya. Akhirnya dia kehilangan punca.
Gagal menemui tujuan pokok yang diingini oleh jiwanya sendiri.
            Lantas lelaki itu berdiri di hadapan sebuah kedai menjual pakaian harian. Longgokan pakaian di tengah-tengah kedai. Di sampingnya gantungan tanda harga bersama dengan pakaian yang beraneka jenis, corak dan warna dipandangnya. Patung-patung yang berdiri kaku seakan model manusia lakunya disusun sepanjang jalan masuk ke dalam kedai.
            “Mari bang, masuk tengok baju. Semua murah saja,” gadis manis menyapa ramah mengajak lelaki itu menjengah ke dalam kedai pakaian tersebut.
            Lelaki itu sekadar mengangguk perlahan. Lambat-lambat kakinya melangkah masuk ke dalam kedai pakaian tersebut. Manusia yang ramai di dalamnya membantutkan langkah lelaki itu untuk maju ke hadapan.
            “Kau lari dari kesibukan yang kononnya menghukum diri kau tapi sekarang kau dekati pula keriuhan,” jerkahan suara hatinya menghalang lelaki itu untuk meneroka ke seluruh perut kedai pakaian yang dimasukinya.
            “Apa kau ingat ia boleh menenangkan hatimu!”
            “Tidak,” lelaki itu menjawab perlahan.
            “Jadi?”
            “Aku cuma menjengah saja.”
            “Untuk apa?”
            “Aku tak tahu.”
            “Jangan menambahkan kebosanan!”
            Benar!
            “Atau kau memang sengaja memjemput kebosanan itu agar lebih bertambah, bersemi dan bertunas di dalam hatimu!”
            “Tidak!”
            “Jadi?”
            Lelaki itu membalikkan badannya dan kembali melangkah keluar dari kedai pakaian tersebut. Suara ramah gadis manis yang menjadi jurujual di kedai itu tidak lagi diendahkannya.
            Dia mendengar suara hatinya. Itu lebih baik baginya. Dia memang tidak mahu menambahkan kebosanan yang telah sedia wujud di sekelilingnya.
            Lelaki itu berdiri sejenak di luar kedai. Dia memandang malas manusia yang berjalan di sekelilingnya. Ada yang berjalan menuju ke hujung jalan di simpang kaki lima deretan kedai tersebut dan ada pula yang berjalan bertentangan dengan haluan yang lain. Memang tidak ada seorang pun yang dikenalinya.
            Kemudian lelaki itu melangkah perlahan. Dan kemudian berhenti lagi. Memikirkan tempat yang hendak ditujunya. Namun semuanya kontang, fikirannya kering dan enggan mencambahkan sebarang idea atau memberikan sedikit pandangan kepadanya.
            Kosong!
            Lelaki itu menyandar malas ke dinding kedai bunga yang terletak hanya bersebelahan dengan kedai pakaian yang dimasukinya tadi. Dia menarik nafas dalam-dalam, menyedut udara yang kurang bersih di sekitarnya dan kemudian melepaskan nafasnya dengan perlahan-lahan.
         Sedikit ketegangan yang dirasakannya sebentar tadi keluar bersama dengan nafas yang dihembusnya. Perlahan-lahan juga namun masih bersisa. Ketegangan dan kebuntuan fikirannya masih lagi bertakung.  Dia masih tidak tahu akan arah yang perlu ditujunya.
            Ke mana harus pergi?
            Pulang ke rumah?
            Ya!
            Memang dia ingin pulang segera ke rumah, membaringkan badannya yang kurus tinggi di atas tilam. Memejamkan matanya sambil merenggangkan otot-otot dan urat sarafnya yang tegang. Setegang urat saraf dalam fikirannya. Mungkin, urat-urat dan saraf-saraf yang ada di dalam kepalanya bersimpul-simpul, berselirat dan kusut-masai. Saling mengait dan saling bertindih serta sukar untuk dihuraikan. Memang terlalu sukar untuk dihuraikan.
            Bagaimana untuk dihuraikan?
            Dengan kata-kata?
            Dengan perbuatan atau dengan suara lantang yang akhirnya diikuti dengan jeritan nyaring...?
            “Gila!” jerkahan suara dari dalam dirinya kembali datang.
            “Aku bukan gila!”
            “Kau memang gila!”
            “Tidak!” lelaki itu menjawab tegas.
            “Kau gila kerana kau sudah tidak mampu untuk berfikir lagi.”
            “Aku sedang berfikir....”
            “Tapi kau tak tahu apa yang kau fikirkan....”
            “Aku sedang berfikir tentang apa yang aku fikirkan.”
            “Itu gila namanya!”
            Di akhir kata-kata yang dilampaskan kepadanya ada ketawa kecil. Memperkecilkan dirinya.
            Lelaki itu membiarkan saja dirinya diketawakan. Lama berkeadaan begitu tapi masih juga tidak dilayannya. Dibiarkan sahaja. Dan akhirnya ketawa itu hilang.
            “Biarkan....”
            Mungkin sudah penat. Lantas dia kembali berfikir tentang arah yang akan ditujunya.
            Ke mana harus pergi?
            Jika pulang ke rumah....
            Memang dia ingin segera sampai ke rumah. Membersihkan dirinya yang telah diselimuti debu-debu kotor dan asap kenderaan yang bertali arus. Dia ingin menyegarkan tubuhnya yang layu dan tidak bersemangat. Segar apabila terkena siraman air sejuk yang akan menjamah tubuhnya.
            Atau, berendam saja di dalam tab mandi yang dipenuhi dengan buih-buih yang wangi. Tambah menyegarkan!
            Memang harus segera sampai ke rumah!
            Tapi....
            Tidak mungkin untuk pulang ke rumah dalam keadaan begini. Ketika jalan raya sedang sesak. Tambahan pula bas awam yang akan membawanya pulang terlalu penuh. Terlalu sesak. Kenderaan di atas jalan raya semakin bertambah.
            Bosan!
            Terlalu ramai rupanya manusia yang menghuni kawasan perumahan tempat tinggalnya. Baru dia sedar kerana selama ini dia hanya bersendirian memandu keretanya. Tanpa ada orang yang menumpang atau dipelawanya untuk bersama dengannya kecuali bekas tunangnya.
            Bekas tunangnya?
            Itu dulu!
            Bekas tunangnya yang sesekali akan dibawanya datang ke rumahnya. Bertemu dengan ibu bapanya atau sekadar singgah seketika untuk mengambil barang. Tetapi memang terlalu jarang dia membawa bekas tunangnya itu datang. Bukan sahaja datang ke rumahnya malah dia amat jarang untuk membawa bekas tunangnya itu keluar bersiar-siar, menonton wayang atau membeli-belah seperti pasangan-pasangan yang lain. Malah dia amat jarang untuk bertemu dengan bekas tunangnya. Bukan dia tidak mahu tetapi masanya yang amat terhad tidak mengizinkan.
            Alasan!
            Itu bukan alasannya atau sengaja mencipta alasan tapi bekas tunangnya yang memberikan kenyataan begitu. Mungkin bekas tunangnya sengaja mencipta alasan apabila berubah hati. Apabila sudah ada pengganti yang lebih baik.
            Dan mungkin juga salah dirinya sendiri yang tidak pernah memperuntukkan masa untuk bersama dengan bekas tunangnya. Melayan karenahnya dan memenuhi permintaannya.
            Parah lagi hatinya apabila kenangan melandanya.
            Sakit!
            Bosan semakin bertambah.
         Dan dia tidak mahu memikirkan tentang perkara itu. Dia mahu melupakan semua peristiwa yang berlaku kepadanya tetapi mungkinkah dia mampu?
            Pulang ke rumah?
            Bagaimana?
            Untuk pulang menaiki teksi juga tidak mungkin kerana kenderaan awam itu juga telah ada penantinya sendiri, mempunyai penumpang masing-masing yang setiap petang akan menunggu. Dan dia tidak sanggup untuk menunggu bersama-sama dengan mereka. Menjadi patung bernyawa yang kaku. Menyertai kelompok manusia yang ramai, berbaris rapat panjang dan menunggu tanpa sebarang bicara.
            Memang dia tidak sanggup. Malah tidak pernah dia berbaris panjang seperti itu semata-mata untuk menaiki kenderaan awam. 
            Jemu!
            Jika tidak pulang ke rumah ke mana akan pergi?
            Buntu!
            “Kau buntu?” Suara itu datang lagi.
            “Aku sedang berfikir sekarang ini.”
            “Tapi kau buntu!” Kemudian ketawa kecil. Memang mentertawakan dirinya dan kebuntuan yang dirasakannya.
            Dibiarkan saja suara itu. Tidak dilayannya. Ejekan serta ketawa yang dilontarkan kepadanya juga tidak diendahkan. Seakan tidak langsung didengarnya.
            Biarkan!
            Lelaki itu hanya berfikir. Terus juga berfikir. Berfikir akan arah yang akan ditujunya.
            Mencari idea.
            Mencari punca.
            Mencari tempat-tempat tertentu untuk dia singgah seketika sementara suasana bosan yang ada di sekelilingnya hilang.
            Untuk berpeleseran....
            Dia tidak pernah berpeleseran dan membuang masa dengan sia-sia tanpa arah dan tujuan.
            Bosan lagi!
            Dia melepaskan keluhan pendek. Pandangannya beralih dari satu sudut ke satu sudut yang lain. Satu persatu tingkah manusia diperhatikannya. Mereka berjalan tanpa memandang ke kiri dan ke kanan. Kaku. Terus saja berjalan seolah-olah tidak lagi mempunyai hati dan perasaan.
            Kemudian dia memandang ke sudut bersebelahan pintu masuk kedai bunga. Kelihatan seorang wanita tua yang sedang duduk bersimpuh dengan hanya beralaskan sekeping kotak. Sebuah gelas plastik terletak di hadapannya dan di dalamnya terdapat beberapa sen duit syiling yang telah dihulurkan oleh manusia-manusia kaku yang lalu-lalang di sekitar kaki lima kedai tersebut.
            Tidak semua yang menghulur.
            Cuma segelintir saja.
            Cuma beberapa orang.
            Bukan menghulur sebenarnya. Mereka memberi dan mungkin juga mencampak. Sambil lalu, berjalan tanpa berhenti, menghulurkan tangan dan meletakkan duit ke dalam gelas plastik di hadapan wanita tua itu.
            Semuanya diperhatikan saja.
            Lelaki itu memerhatikan wanita tua tersebut. Wajah wanita itu juga cuba untuk diperhatikannya tetapi tidak jelas kerana wanita tua itu asyik tunduk memandang gelas plastik yang ada dihadapannya.
            Manusia yang lalu-lalang di sekitarnya memang kaku.
            Benar-benar kaku.
            Langsung tidak mengendahkan wanita tua itu malah seakan-akan wanita tersebut tidak wujud ditempat yang di dudukinya. Walaupun ada yang menghulurkan wang ke dalam gelas plastik di hadapan wanita tua itu tetapi tidak menegurnya. Malah langsung tidak memandang wanita tua itu apa lagi untuk melemparkan senyuman.
            Kaku!
            Satu persatu perasaan halus menerjah ruang rongga lelaki itu. Perasaan belas terhadap wanita tua itu lahir secara perlahan. Betapa malangnya dia sehinggakan terpaksa duduk bersimpuh sedemikian rupa di kaki lima sambil mengharap huluran dari tangan manusia kaku yang lalu-lalang di hadapannya.
            Mungkinkah wanita tua itu kecewa seperti dirinya  juga?
            Terlalu amat kecewa.
            Kecewa yang membawa diri wanita tua itu terlontar jauh dari khalayak masyarakat dan keluar dari rutin harian seperti insan-insan yang lain. Lalu menjadi seperti ini, menjadi pengemis dan mengharapkan huluran dari tangan-tangan manusia kaku yang lalu-lalang di situ.
            “Kasihan,” tanpa sedar perkataan tersebut keluar dengan perlahan dari bibir lelaki itu.
            Pandangannya tetap tidak lari dari memerhatikan wanita tua yang masih tidak berubah tingkahnya sedari tadi. Wanita tua itu tetap tunduk memandang ke bawah. Memandang gelas plastik yang terletak di hadapannya. Tidak bergerak langsung malah samalah seperti model patung di dalam kedai pakaian sebentar tadi.
            Perasaan belas yang muncul di benaknya semakin menebal. Lantas lelaki itu menyeluk poket seluarnya. Sehelai kertas bernot RM 1 sahaja yang ada. Selebihnya adalah wang kertas yang bernilai lebih tinggi. Bukan RM 5 atau RM 10 tetapi lebih tinggi dari itu. Memang jarang dia menyimpang wang kecil. Di dalam dompetnya selalu ada wang kertas yang bernilai tinggi sahaja malah wang yang bernilai RM 1 itu juga sebenarnya adalah untuk digunakan sebagai tambang jika menaiki bas.
            Wang kertas bernot RM 1 dikeluarkan dari poket seluarnya dan dipandangnya seketika. Niatnya adalah untuk meletakkan wang kertas tersebut ke dalam gelas plastik di hadapan wanita tua itu.
            “Ish, takkanlah nak beri kepada wanita tua itu RM 1 sahaja sedangkan gaji kau beribu-ribu”
            Tersentak lelaki itu mendengar teguran yang diberikan oleh suara halus di dalam dirinya. Dengan pantas juga lelaki itu memasukkan wang kertas yang ada di tangannya ke dalam poket seluarnya semula. Niatnya untuk memberikan wang kertas tersebut mati tiba-tiba.
             Lantas dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Bimbang jika perlakuannya dilihat atau diperhatikan oleh orang-orang tertentu yang lalu-lalang di sekelingnya. Namun manusia yang berlegar di situ memang benar-benar kaku. Perasaannya kembali lega dan kebimbangan akibat takut perlakuannya diperhatikan oleh orang lain hilang.
            Memang manusia di sekelilingnya benar-benar kaku. Mereka langsung tidak mempedulikan orang lain. Tidak menghiraukan tentang apa yang dilakukan oleh orang lain. Tidak mengambil kira tentang kesibukan yang berlaku di sekelilingnya malah langsung tidak saling memandang apatah lagi untuk bertegur sapa. Manusia yang ada di situ hanya berjalan dengan langkah yang pelbagai. Ada yang perlahan, ada yang melangkah biasa, laju dan ada pula yang seakan berlari-lari anak.
            Mungkin mengejar sesuatu.
            Lelaki itu kembali memandang wanita tua yang duduk bersimpuh di sudut kaki lima kedai bunga. Kedudukan wanita tua itu masih juga tidak berubah. Masih duduk bersimpuh dengan kepala yang tunduk sahaja.
            Simpati lelaki itu menjalar memenuhi seluruh urat sarafnya. Seluruh anggotanya. Perasaan belasnya juga semakin lama semakin menebal.
            Kemudian lelaki itu melangkah dengan perlahan menuju ke arah wanita tua di sudut kaki lima kedai bunga. Dia berhenti di tepi wanita tua itu seketika. Memandang wanita tua tersebut secara dekat. Ternyata bahawa wanita tua tersebut langsung tidak menghiraukan tentang apa yang berlaku di sekelilingnya.
            Begitu juga sebaliknya. Manusia kaku yang berjalan di kaki lima deretan kedai tersebut juga tidak menghiraukan wanita tua tersebut.
            Lelaki itu mendekatkan lagi dirinya kepada wanita tua tersebut. Berdiri seketika di situ lantas mencangkungkan badannya di sisi wanita tua yang sedang duduk bersimpuh.
            “Mak cik...,” lelaki itu menyapa lembut tetapi tidak ada apa-apa balasan yang diterimanya dari wanita tua itu.
            Beberapa saat masa berlalu sepi.
            “Mak cik...,” lelaki itu memanggil sekali lagi dengan nada yang lebih kuat dari panggilan yang sebelumnya.
            Lambat-lambat wanita tua itu menoleh dan memandang ke arah lelaki itu. Pelbagai persolan yang tergambar di raut wajah wanita tua itu. Matanya yang bulat jauh terperosok ke dalam menampakkan kecengkungannya. Tidak ada sinar yang terbit dari matanya.
            Suram.
            Pudar.
            Kerut di dahi wanita tua itu menambahkan lagi kedut-kedut yang telah banyak tergaris di wajahnya. Semuanya diperhatikan dengan teliti oleh lelaki itu.
            Hatinya semakin dipagut rasa belas, rasa simpati, rasa kasihan.
            “Mak cik, rumah mak cik di mana?” lelaki itu bertanya dengan penuh sopan dan lembut kepada wanita tua tersebut.
            Wanita tua yang sedari tadi menentang pandangan lelaki itu kembali menundukkan wajahnya. Tidak ada sepatah perkataan pun yang keluar dari bibirnya dan soalan yang diajukan oleh lelaki itu dibiarkan sahaja tidak berjawab.
            Sepi lagi.
            “Mak cik...,” lelaki itu memanggil lagi.
            Tidak ada jawapan yang diterimanya malah perlakuan wanita tua itu seakan tidak mendengar panggilan dari lelaki yang masih mencangkung di sisinya.
            “Mak cik, kenapa mak cik duduk di sini?” lelaki itu terus menyoal wanita tua tersebut.
            Tidak ada jawapan yang diterimanya. Dia tidak putus harap. Dia mengajukan terus persoalan yang bermain dibenaknya walaupun tidak mendapat sebarang layanan dari wanita tua itu. Namun dia yakin bahawa wanita tua itu mendengar soalan yang diajukan kepadanya.
            “Mak cik,”
            Wanita tua itu kembali mengangkat wajahnya dan merenung lelaki yang ada di sebelahnya. Wanita tua itu cuba untuk mencari pengertian di sebalik soalan-soalan yang telah diajukan oleh lelaki itu kepadanya.
            Renungan wanita tua itu ditentangnya. Kesempatan untuk menatap wajah wanita tua di hadapannya tidak dilepaskan. Simpati lelaki itu semakin bertambah melihat raut wajah yang terlalu daif, terlalu sengsara, terlalu menderita.
            “Anak ni siapa?” wanita tua itu bertanya dengan suara yang perlahan. Di perasaannya timbul persoalan yang dalam akibat hairan dengan soalan-soalan yang diajukan oleh lelaki itu.
            Memang hairan.
            Malah lelaki itu juga sebenarnya hairan.
            Kenapa dia perlu bertanya soalan-soalan yang sedemikian kepada wanita tua yang langsung tidak dikenalinya?
            Kenapa dia perlu mengetahui tentang kekecewaan dan penderitaan yang ditanggung oleh wanita tua itu?
            Wanita tua itu masih menentang pandangan lelaki itu. Menanti jawapan dari persolan yang diajukannya sebentar tadi.
            “Saya bukan siapa-siapa. Saya cuma orang biasa dan sekadar ingin berbual dengan mak cik.”
            Wanita tua itu senyum sedikit lantas mengalihkan pandangannya. Kembali menundukkan wajahnya. Masa dibiarkan berlalu.
            Dan sepi!
            Lelaki itu terbiar sendiri
            “Mak cik....”
            Diam.
            “Mak cik,”
            “Apa yang nak dibualkan?” wanita tua itu berkata tanpa memandang lelaki yang masih lagi mencangkung di sebelahnya.
            “Apa-apa saja mak cik.”
            Dan sepi lagi.
            Beberapa ketika suasana tetap sepi.
            Lelaki itu menanti.
            “Mak cik ni dah tua. Otak dah berkarat, fikiran sudah rosak, akal sudah mati. Tak ada apa yang nak dibualkan. Apalah yang mak cik tahu. Anak ni masih muda, tenaga masih kuat, otak masih cergas, fikiran masih waras, akal masih bijak. Tentulah tak layak nak berbual dengan mak cik,” wanita tua itu berkata sayu. Ada makna yang tersirat di sebalik kata-katanya.
            Lelaki itu sedikit terpempan.
            Terperanjat mendengar bahasa sayu yang terlontar dari mulut wanita tua di sisinya. Kehibaan yang amat sangat terkandung di sebalik kata-katanya. Kekecewaan juga lahir berserta dengan kehancuran yang ada di dalamnya.
            Perasaan ingin tahu lelaki itu terhadap kisah kehidupan wanita tua yang duduk bersimpuh di sisinya semakin menebal. Mungkin kecewa yang dialami oleh wanita tua ini sama seperti kecewa yang dialaminya atau mungkin juga lebih dari itu.
            “Mak cik...,” lelaki itu memanggilnya kembali.
             Wanita tua itu tidak menjawab. Wajah lelaki itu juga langsung tidak dipandangnya. Lelaki itu dibiarkan lagi.
            Dan sepi pun kembali lagi.
            “Mak cik....”
            “Hidup.... Macam nilah hidup ni. Sekejap di atas dan sekejap kemudian di bawah. Dulu senang dan sekarang susah. Sebab itulah, bila tibanya waktu senang ingatlah orang yang susah dan janganlah hairan kalau nanti kita dapat susah. Itu semua lumrah namanya.”
            Diam lagi.
            Lelaki itu memang terdiam mendengar kata-kata dari mulut wanita tua tersebut. Dia cuba mencari pengertian di sebalik kata-kata yang dilafazkan oleh wanita itu. Terlalu mendalam. Mengandungi maksud yang tersirat tetapi lelaki itu cuba mengaitkan kata-kata tersebut dengan dirinya.
            Kehidupan, sekejap susah dan sekejap kemudian senang. Suka dan duka memang silih berganti dalam hidupnya. Dia juga begitu. Memang tidak terlepas dari lumrah kehidupan.
            Selama ini dia memang merasakan bahawa dia telah menjalankan segala tugas dan tanggungjawabnya dengan betul. Tanpa ada yang tertinggal atau ada yang dibiarkan. Tetapi ternyata bahawa sangkaannya meleset sama sekali. Sangkanya, dia akan dapat mengecapi segala impiannya seperti yang pernah dirancang.
            Tetapi itu juga salah. Semuanya memang perlu perancangan tetapi tidak semua yang dirancangnya akan benar-benar terjadi. Malah apa yang terjadi dalam hidupnya ketika ini memang amat mengecewakan.
            Amat menyakitkan.
            Hatinya hancur.
            Perasaannya lumat
            Jiwanya berkecai.
            Dia tidak pernah merasa sedemikian rupa. Tidak pernah terasa sakit. Sesakit yang dialaminya sekarang.
            Parah, memang terlalu parah.
            Dia kembali memandang wanita tua yang masih tidak berubah kedudukannya. Tetap duduk bersimpuh dengan wajah yang masih tunduk. Gelas plastik juga masih berada di hadapannya. Ternyata bahawa wanita tua itu tidak mempedulikan keadaan di sekelilingnya. Termasuk dirinya juga.
            Tetapi lelaki itu masih juga tidak berganjak dari tempat dia mencangkung.
            “Mak cik, kenapa Mak cik berkata begitu?”
            Wanita tua itu mengangkat wajahnya. Memandang jauh ke hadapan. Menembusi segala objek yang ada di hadapannya. Sedikit tersenyum dan kemudian menoleh memandang lelaki itu.
            “Apa-apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan sekaranglah yang akan menentukan arah dan tujuan yang seterusnya. Kita ini sedang hidup. Hidup ini satu pencarian....”
            “Satu pencarian...,” lelaki itu mengulangi ayat yang disebut oleh wanita tua itu. Dia tertarik untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang ungkapan yang disebut oleh wanita tua itu.
            “Memang satu pencarian,” wanita tua itu mengulanginya semula dan menekankan dengan lebih mendalam. Kemudian pandangannya dialihkan lagi. Kembali memandang jauh ke hadapan.
            “Kita ini hidup dan sedang mencari. Mencari apa yang kita hajati. Mencari apa yang ada di dalam rongga kita. Mencari apa yang dimahukan oleh sanubari kita. Mencari apa yang diimpikan oleh jiwa kita, oleh perasaan kita, oleh nafsu kita, nafas kita dan seluruh..., seluruh apa yang terkandung dalam jasad kita.”
            “Saya kurang faham, mak cik,” lelaki itu meminta kepastian.
            Dia inginkan penjelasan yang lebih lanjut dari wanita tua yang begitu khusyuk bercakap. Kata-katanya terlalu sukar untuk dimengertikan oleh lelaki itu. Cakapnya bukan sembarangan. Kata-katanya juga bukan kata-kata biasa. Terlalu sukar untuk ditafsirkan dan jika ditelusi dengan lebih mendalam mungkin akan menjadi makna yang lain, makna yang berbeza dan jauh menyimpang dari definisi yang asalnya.
            Berkerut-kerut dahi lelaki itu memikirkan kata-kata wanita tua yang ada di sisinya. Tafsiran yang bagaimana harus dilakukan bagi memperoleh makna yang sebenarnya. Tanpa lari landasan yang asal. Tanpa hilang kesinambungan kata-kata yang terjalin dan tanpa membuang waktu yang terlalu lama kerana cuba untuk mentafsir kata-kata yang terlontar sebentar tadi.
            Gagal!
            Lelaki itu memandang wajah wanita tua yang masih terus memandang jauh ke hadapan. Mungkin memikirkan sesuatu. Mungkin juga memikirkan tentang peristiwa-peristiwa lalu yang pernah dialami olehnya.
            “Mak cik,” lelaki itu memanggil semula wanita tua tersebut apabila terasa bahawa dirinya sudah tidak diendahkan lagi.
            Wanita tua yang khayal sebentar tadi sedikit terperanjat mendengar panggilan lelaki itu. Dia menoleh dan memandang wajah lelaki itu. Lama pandangannya di situ. Kemudian dia senyum sedikit. Garisan-garisan tua yang terlukis di wajahnya bertambah akibat senyuman tersebut.
            “Saya tak faham kata-kata mak cik tadi.” Lelaki itu jujur berterus-terang.
            Wanita tua itu senyum lagi. Lebih lebar dari tadi seyumannya. Seyuman yang menampakkan beberapa batang giginya. Kuning dan sedikit kehitaman.
            “Kau takkan faham,” jelas wanita tua tersebut menjawab lambat permintaan lelaki itu. Senyumannya telah hilang. Wajahnya kembali sayu.
            Kemudian wanita tua itu kembali menundukkan wajahnya. Duduknya dialihkan sedikit. Simpuhnya diperbetulkan. Dikemaskan. Kain batik yang terselak di hujung kakinya ditarik menutup kembali hujung kakinya.
            Lelaki itu sempat menjeling ke hujung kaki wanita tua tersebut. Hitam dan berkeladak. Mungkin akibat berjalan tanpa menggunakan kasut atau selipar. Ternyata bahawa wanita tua ini hanya berkaki ayam sahaja. Perasaan lelaki itu tersentuh lagi. Terasa kedaifan wanita tua itu telah turut menyelubungi hidupnya.
            “Kau masih muda kerana itu kau tidak faham apa-apa. Kau belum mencari lagi,” wanita tua itu menyambung kata-katanya dengan sebaris ayat. Penuh dengan tanda tanya.
            “Mencari apa mak cik?”
            “Kau baru hendak memulakan pencarian sebenarnya.”
            “Pencarian?”
            “Ya. Kau baru mula hendak memburu.
            “Memburu?”
            “Ya, lebih tepat lagi memburu kerana kau tidak pernah tahu akan apa yang terbentang di depanmu. Kau cuma ada impian sekarang ini. Tidak tahu apa yang akan berlaku malah tidak ada sesiapa yang tahu apa yang bakal dihadapinya. Apa yang terjadi semalam berbeza dengan hari ini. Hari ini juga tentu tidak sama dengan apa yang bakal berlaku esok. Itu pun jika sampai ke esok. Jika tidak maka tamat saja hari ini,” wanita tua itu kembali menyambung kata-katanya. Menjawab pertanyaan lelaki itu dengan persoalan juga.
            Lelaki itu tidak berkata apa-apa. Dia hanya mendengar sahaja ayat-ayat yang tertumpah dari mulut wanita tua itu. Namun fikirannya ligat. Ligat mencari punca dari kata-kata yang disebutkan oleh wanita tua tersebut.
            Di tidak mengerti.
            Kehidupan?
            Mencari?
            Memburu?
            Semuanya dia tidak pasti.
            Tapi lelaki itu tahu bahawa kata-kata yang keluar dari mulut wanita tua itu adalah kehidupannya. Pengalamannya dan juga kenangannya. Dia memang yakin bahawa kata-kata tersebut adalah lahir dari rasa kekecewaan yang terlalu dalam. Rasa sedih yang amat sangat. Memendam rasa akibat kejadian-kejadian yang telah menimpanya pada masa lalu. Semuanya memilukan. Memang terlalu memilukan.
            Lelaki itu ingin menyelaminya.
            “Bolehkah mak cik jelaskan apa maksud kata-kata mak cik tadi,” lelaki itu meminta kepastian dari wanita tua itu.
            Fikirannya yang memang sedia telah bercelaru semakin bertambah lagi apabila memikirkan kata-kata yang memang amat susah untuk ditafsirkan olehnya. Kata-kata wanita tua itu.
            Payah!
            Wanita tua itu kembali memandang wajah lelaki itu. Direnungnya seketika dan kemudian pandangannya dialihkan ke sekelilingnya. Memandang manusia-manusia yang berjalan di kaki lima deretan kedai. Seketika cuma dan seterusnya dia kembali memandang kepada lelaki itu.  Juga cuma beberapa detik lantas terus mamandang jauh ke hadapan.
            Semuanya diperhatikan oleh lelaki itu. Memerhatikan perlakuan wanita tua tersebut. Manusia yang lalu-lalang di hadapannya tidak diendahkan.
            Mereka Kaku.
            Hanya wanita tua itu yang dipandangnya.
            Kasihan.
            Benar-benar kasihan.
            “Semua orang tak sedar. Tak sedar bahawa masa akan berlalu dan tak akan tetap kekal seperti apa yang ada sekarang. Hari ini berbeza dengan hari-hari yang sebelumnya tapi mereka mengandaikan bahawa hari ini dan bila-bila juga sama. Itulah perkara yang menjadikan kita ini lalai. Tidak terikut dengan peredaran. Kononnya ada pembaharuan tapi mana kalau kita sendiri yang tidak sedar dengan kata-kata yang diucapkan oleh mereka.”
            Diam lagi.
            “Tapi mak cik bukankah kita merancang?”
            Lelaki itu tidak mahu lagi membiarkan masa berlalu dengan sepi tanpa ada sebarang bicara diisi. Wanita tua itu tersenyum mendengar protes yang dituturkan oleh lelaki itu. 
            “Hari ini kita memang boleh merancang macam-macam tapi belum tentu jawapan pada kenyataan yang kita peroleh hari esok adalah sama dengan apa yang kita kehendaki. Sebenarnya hari ini merupakan hari yang paling penting, paling penting bagi aku, kau yang masih muda dan semua manusia-manusia yang ada di sekeliling kita. Semua orang tak sedar tentang kenyataan tersebut.”
            Persoalan yang terkandung di fikiran lelaki itu semakin bertambah.
            “Apa yang pentingnya hari ini? Saya tak faham,” lelaki itu menunjukkan ketidakmatangannya secara langsung kepada wanita tua tersebut.
            Wanita tua itu membiarkan sahaja. Namun kadang-kala dia senyum sedikit. Gelagat lelaki itu menggelikan hatinya sendiri. Lelaki yang masih mentah dan tidak mengenal apa-apa. Persis bayi yang baru nak mengenal dunia.
            “Kenapa hari ini penting?” wanita tua itu mengulang semula pertanyaan lelaki itu sambil memandang wajahnya. Lalaki itu mengangguk. Mengiakan soalan yang dikemukakannya.
            Wanita tua itu senyum lagi. Kesayuan yang terkandung di wajahnya semakin pudar. Keceriaan mula terlihat sedikit demi sedikit.
            “Sebenarnya hari ini merupakan hari yang paling penting kerana bermula dengan hari inilah perancangan untuk hari esok akan dilakukan. Perancangan perlu dibuat setelah melalui pengalaman semalam kerana titik-titik kesedaran inilah yang akan memberi ruang dan peluang untuk membaiki diri. Kalau manfaatkan hari ini sebaik mungkin, maka pelbagai masalah akan dapat dikurangi esok.”
            Wanita tua itu berhenti berbicara. Memandang wajah lelaki itu yang sedang khusyuk mendengar.
            “Faham?” wanita itu bertanya sepatah. Meminta kepastian dari lelaki yang berada di sisinya.
            Lelaki itu mengangguk.
            Wanita tua itu senyum lagi.
            “Kita mungkin akan menghadapi tekanan dan berada dalam kebingungan hari ini tetapi selagi hari ini adalah lebih baik dari semalam maka tentulah esok dan hari-hari yang mendatang akan menjanjikan sesuatu yang terbaik juga. Tapi jika sebaliknya, maka bangkitlah dari kegagalan.”
            Lelaki itu mengangguk-angguk perlahan. Bersetuju dengan kata-kata yang disuarakan oleh wanita tua itu. Tetapi ada sesuatu yang tidak kena.
            Lelaki itu berfikir semula. Kata-kata wanita tua itu memang benar, bernas dan tidak ada yang salah tetapi kenapa kata-kata yang dihujahkan oleh wanita tua itu tidak sama dengan apa yang dilakukannya.
            Kata-kata wanita tua itu penuh dengan semangat tetapi perlakuannya menggambarkan sebaliknya. Patah harapan, kecewa dan hidup dalam terasing.
            “Tapi mak cik, kenapa mak cik di sini?” pertanyaan asal lelaki itu muncul semula.
            Sejurus dengan soalan yang diajukan oleh lelaki itu, wanita tua tersebut pantas menoleh dan memandang tajam wajah lelaki itu.
            Keceriaan yang tergambar sebentar tadi hilang serta merta. Wajah wanita tua itu bertukar merah. Matanya juga turut dicerlangkan.
            “Kau siapa nak tahu macam-macam pasal aku!” wanita tua itu berkata kasar lantas bangkit dari simpuhnya, mencapai gelas plastik yang ada dihadapannya tadi dan terus pergi dari situ. Tanpa membetulkan kainnya, tanpa mempedulikan keadaan di sekelilingnya, tanpa memandang kepada lelaki itu dan berjalan laju tanpa menoleh lagi ke belakang.
            Lelaki itu tergamam dengan perlakuan wanita tua tersebut. Dia tidak berbuat apa-apa.
            Kaku.
            Pandangannya menyorot langkah laju wanita tua tersebut. Persoalan yang ada di dalam kepalanya tidak terjawab. Malah semakin bertambah. Nyata bahawa kecewa wanita tua itu lebih parah dari kekecewaannya hinggakan dia tidak mahu ada sesiapa yang cuba untuk menyelami masa lalunya.
            Lelaki itu bangkit dari cangkungnya. Berdiri di situ. Kakinya terasa sedikit lenguh kerana terlalu lama mencangkung. Memang baru dirasanya. Beberapa orang yang lalu dihadapannya menoleh melihat perlakuannya yang memicit-micit kepala lututnya. Lantas lelaki itu berdiri semula. Tegak dan meluruskan badannya. Bimbang jika dirinya menjadi perhatian.
            “Kau bodoh!” suara itu menjelma semula.
            “Kenapa?”
            “Kau memang bodoh!” tuduhan yang semakin keras.
            “Kenapa kau kata aku bodoh?”
            “Patutnya kau tak perlu bertanya apa yang dia tak suka.”
            “Apa yang dia tak suka?”
            “Apa yang kau tanyalah, bodoh!”
            “Apa yang aku tanya?”
            “Kau tanya pasal dia!”
            “Jadi?”           
            “Itu tak perlu”
            “Tapi....”
            “Tapi apa?”
            “Aku cuma nak tahu saja.”
            “Sebenarnya, kau tak perlu pertikaikan siapa dirinya tetapi kau perlu ambil kira tentang apa yang telah diperkatakan olehnya. Kata-kata wanita tua itu semuanya betul. Tidak ada yang salah. Kau memang perlu tahu tentang itu semua tetapi kau menyimpang. Kau memang bodoh!”
            “Tapi apa yang dia kata tak sama dengan apa yang dia buat. Dia bercakap pasal harapan, pasal perancangan, impian dan macam-macam lagi sedangkan dia sendiri tak ada harapan, tak ada perancangan, tak ada impian. Hanya duduk di sini saja,” lelaki itu cuba membela dirinya.
            Dia tidak mahu dirinya dianggap bodoh lagi. Dia benar-benar terasa.
            “Tak payah kau nak tahu pasal orang lain tapi yang paling penting kau fikirkan apa yang dia cakap.”
            “Aku tak mahu jadi macam orang lain”
            “Apa?”
            “Aku tak mahu jadi kaku. Aku bukan patung.”
            “Kau rasa kau begitu?
            “Aku tak mahu jadi begitulah!”
            “Itulah yang sebenarnya kau kena faham.”
            “Apa ?”
            “Kau perlu mempunyai tujuan sendiri. Bukan bingung dan tidak tahu arah dan haluan.”
            Lelaki itu terdiam. Dia tidak menjawab.
            “Sekarang, apa perancangan kau, sudah kau buat? Sudah kau fikirkan arah dan haluan kau selepas ini? Sudah kau pahatkan impian di dalam hatimu untuk hari-hari esok. Seperti yang wanita tua itu katakan, sudah kau lakukan semuanya?”
            “Bukankah aku sedang berfikir?’
            “Berapa lama kau nak berfikir?
            Diam.
            “Terlalu susahkah memikirkan haluan dan tempat untuk dituju sedangkan masa tidak pernah mahu untuk menunggu kau!”
            Lelaki itu terpana mendengar persoalan-persoalan yang dikemukakan kepadanya. Memang dia terlupa pada tujuan asalnya.
            Keluhan pendek dilepaskan. Dia meraup wajahnya dengan kedua belah tapak tangannya
            Ah!     
            Lelaki itu kembali memandang ke sekelilingnya. Suasana tetap tidak berubah. Manusia yang kaku masih lagi ada tetapi sudah tidak seramai tadi. Cuaca juga telah semakin suram. Baru disedarinya.
            Lalu, dia melangkah. 

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers