Tuesday 22 May 2012

Antara Kerjaya, Pelajaran, Isteri, Ibu & Anak...


LELAH... masa pantas berlalu tanpa sekelumit pun bersimpati padaku namun aku tidak pernah mengalah atau bersifat pasrah atas apa saja yang terbentang di depanku. Aku ada cita-cita, aku punya cinta dan aku mahu merasai bagaimana nikmatnya berjaya. Walaupun aku acapkali dihidangkan dengan tugasan yang dianggap penting di pejabat tetapi aku tidak pernah mahu menolaknya malah aku anggap ia sebagai cabaran. 

Namun demikian aku perlu berdepan dengan status sebagai pelajar yang masih belum lengkap ekoran tesis yang terbengkalai.... Lebih rumit apabila pembentangan tajuk tesis perlu dilakukan sejurus Hari UMNO ke-66 selesai yang mana aku masih lagi tidak ada persediaan untuk proposal. Tekad di dada tersemat rapi bahawa aku akan pastikan apa yang aku mulakan akan lunas dengan sempurna sebagaimana aku memilih untuk belajar ke peringkat sarjana, jadi aku mesti genggam ijazah sarjana tersebut, walaupun lambat tetapi tetap akan dapat kerana perkiraan aku untuk tahun ini sudah tidak sempat....

Dalam aku berkejar dengan tugasan pejabat, aku terpaksa balik lebih lewat dari biasa untuk tuntutan proposal tesis, namun dalam masa yang sama aku tidak mahu ketinggalan untuk masa belajar bersama Amira dan Ameer di rumah, apatah lagi minggu ini adalah minggu peperiksaan buat Amira. Betapa letih pun aku, tidak mungkin pelajaran anak-anak diketepikan demi impian sendiri...


Untuk tesis aku perlu adakan beberapa perbincangan dengan penyelia, Dr. Saleeh Rahamad yang memang aku ketahui amat sibuk, apatah lagi beliau menjawat Ketua PENA selain menjadi panel, pembentang dan penilai pelbagai karya sastera dan penulisan. Sedari penghujung bulan April hinggalah ke tarikh menghampiri pembentangan proposal aku gagal mengadakan bertemunya hingga akhirnya aku menyusul Dr. Saleeh di Klana Resort, Seremban pada 19 Mei (Sabtu) lalu. Itu pun aku mencuri masa rehatnya di tengah hari lantaran beliau terlibat dengan kursus bersama Utusan Publication. Alhamdulillah lunas juga apa yang diidamkan dan perbincangan berlangsung lancar.

Walaupun hujung minggu namun ruang yang ada amat terhad, sebagaimana rutin hujung minggu, aku pulang ke Gombak untuk memeriahkan suasana dan bersama-sama bapa yang semakin uzur. Malam itu sehingga ke dinihari aku berjaga demi untuk proposal tesis yang aku akan bentangkan pada 21 Mei dan tarikh 20 Mei (Ahad) aku habiskan masa lebih lima jam di perpustakaan UM.

Dalam keadaan tersebut, insan yang amat aku hargai adalah Mr. Hubby yang amat ‘sporting’. Biarpun dia tidak membantu sebarang bahan untuk proposal atau kerjaya tetapi ‘restu’ dan keizinannya memudahkan perjalanan sepanjang berkejar dalam ruang yang amat terhad. Sungguh, jika tanpa ‘kebenarannya’ sebagai suami yang mempunyai kuasa 100% ke atas diriku maka tentulah aku tidak akan dapat melaksanakan semua urusan yang rumit dengan lancar dan selesa. Alhamdulillah....

Hasilnya, kerja di pejabat lancar, hubungan sesama rakan tiada masalah, pembentangan tajuk tesis berjaya, anak-anak dapat diuruskan sempurna dan kehidupan berlangsung dengan tanpa bermasalah....
  
Penyelia yg 'sporting' & banyak idea - Dr Saleeh Rahamad

Medan Ilmu, mengimpi menggengam sarjana di sini

Tempat berteleku tanpa sedar masa berlalu


No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers