Friday 28 December 2012

Impian Tertangguh lagi...

Menjelang 2013... imbas semula apa impian yang telah terlaksana dan gagal dilunaskan sepanjang tahun 2012 ini. Secara keseluruhan alhamdulillah, perjalanan hidup lancar dengan dikelilingi insan-insan tersayang yang sihat walafiat sedang diri sendiri turut dikurniakan kekuatan berdepan hari-hari yang sememangnya mencabar. Kesihatan dan kesejahteraan adalah anugerah paling indah dan terpenting, dengan keluarga tercinta, direstui suami, dikelilingi anak-anak, mempunyai kerjaya yang baik dan mampu berfikir dengan akal yang waras....alhamdulillah.

Thursday 27 December 2012

Percutian Di Pulau Jerejak

Perancangan untuk bercuti dibuat pada saat akhir... sudahnya semua kawasan peranginan telah penuh. Dari satu tempat ke satu tempat dicuba tetapi tidak ada kekosongan. Percutian yang kami cari adalah yang menghala ke Utara, sambil balik kampung boleh bercuti satu malam... dan dalam tak sengaja Pulau Jerejak menjadi destinasi.

Perjalanan bermula dari kampung Mr. Hubby di Alor Setar, terus ke Pulau Pinang. Dari tanah besar ke pulau menaiki feri. Anak-anak ceria berkereta di atas feri. Dari kejauhan pandangan sayup di seberang pulau dan kemudiannya semakin mendekat menampakkan pembangunan dan kemajuan yang ada.

Wednesday 12 December 2012

Indahnya 12/12/12


Hari ini tarikh istimewa yang tentunya lebih bermakna dari simbolik angka 12.12.12 kerana pada 12 Disember sembilan tahun lalu, selepas solat Asar maka terlafaz ijab dan kabul antara  aku dan Mr.Hubby.

Thursday 6 December 2012

Tangisan Di Bumi Palestin

Ketika kita sedang bercanda, tidakkah terbayang rintihan saudara kita di Gaza...
Ketika kita menyuap makanan, tidakkah teringat apa yang dimakan saudara kita
Ketika kita resah, tidakkah tergambar kegelisahan rakyat Palestin
Ketika kita merasa susah, mengapa tidak membayangkan kepayahan perjuangan mereka...

Sunday 2 December 2012

Melayu kan Gagah di Nusantara

Anak kecil main api 
terbakar hatinya yang sepi
air mata darah bercampur keringat
bumi dipijak milik orang

Thursday 29 November 2012

Keluarga Baru...empat ekor rbit


Dalam kesibukan tetiba ada keluarga baru... rbit dh selamat melahirkan enam ekor anak...malangnya dua ekor mati kemudiannya, dan yang tinggal empat ekor. Ciut miut tapi baby sangat la, mata pun tak buka lagi...

Sunday 25 November 2012

Smart Reader Kids Concert & Graduation 2012


Usia Ameer telah melepasi empat tahun dan hampir setahun belajar di Smart Reader Kids. Alhamdulillah perkembangannya sangat memberansangkan. Pada tarikh 25 Dis 2012 (waktu aku kena bekerja) konsert Ameer berlangsung di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Mujurlah lokasinya berhampiran dengan pejabatku dan aku dapat meluangkan masa bersama meraikan hari bersejarah untuk Ameer.

Thursday 15 November 2012

Awal Muharram Bersama Keluarga


Alhamdulillah, sambutan tahun baru Hijrah 1434 kali ini dapat diraikan bersama sanak-saudara khususnya adik-beradik yang berkumpul bersama-sama. Kebetulannya, masa yang ada digunakan sepenuhnya dengan bacaan surah Yassin dan majlis doa selamat agar kami sekeluarga sentiasa dilindungi dan dirahmati-Nya. 

Tuesday 13 November 2012

Cuti Sekolah Bermula


Sesi persekolahan untuk tahun 2012 telah berakhir dan Amira bakal masuk darjah 2 tahun hadapan. Alhamdulillah, pencapaian Amira tidak mengecewakan dan amat memberansangkan. Di SK Bandar Kinrara, biarpun tidak mendapat tempat pertama, kedua atau ketiga tetapi dia masih berada dalam kelas terbaik dikalangan lapan buah kelas yang ada. Di Kafa Ibu Sina pula lebih menarik kerana Amira mendapat kedudukan terbaik dikalangan rakan-rakannya. Alhamdulillah dan semoga pencapaian ini terus berkekalan.

Sunday 4 November 2012

Konsert Amira: The Sound Of Music

  
Amira ada konsert... solo berpiano. Walaupun baru level dua tapi dia ada keyakinan untuk melaksanakan tugasan, apatah lagi berdepan dengan penonton yang pelbagai kaum dan peserta yang lebih dewasa. Aku pula yang teruja malah Mr. Hubby pun seakan kurang percaya dengan kemampuan Amira. Maklumlah, keluarga kami tidak ada seorang pun yang mempunyai asas dalam muzik tetapi aku yang begitu ghairah dengan kelas piano ini.

Saturday 27 October 2012

Aidiladha di Kg. Mempelam


Sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini amat berbeza dengan diraikan dalam pelaksanaan korban dalam adik-beradik Mr.Hubby. Indahnya silaturrahim yang terjalin apabila sembilan beradik lengkap bersama keluarga masing-masing dalam merealisasikan ibadah korban. Lebih bermakna apabila pelaksanaanya juga berlangsung bersama-sama yang bermula dari persiapan kenduri, penyembelihan, melapah, memasak dan makan...

Tuesday 9 October 2012

Pertemuan SKLJ Selepas 23 Tahun


Alam sekolah rendah sudah terlalu lama aku tinggalkan. Sudah lebih 23 tahun berlalu sesi pertama pelajar di Sekolah Kebangsaan Lembah Jaya (SKLJ). Dalam kesempatan ini, aku dihubungi melalui laman sosial untuk pertemuan kembali di arena permainan suatu ketika dulu yang kini telah berubah wajah. Bertempat di Satay Station, Ampang yang dulunya kami kenali sebagai Kampung Tengah, maka pertemuan diatur pada petang Sabtu, 6 Oktober.

Indahnya mengimbas kenangan di alam persekolahan sedangkan ketika ini rakan-rakan yang ada sudah pun beranak-pinak dan menjalani kehidupan yang pelbagai dengan kerjaya berbeza.

Wednesday 3 October 2012

Pembukaan Cawangan Baru GJC Mr. Hubby

Hari yang ditunggu tiba jua... Perasmian cawangan baru Gloria Jean's Coffees di bawah seliaan Simfoni Segar Sdn Bhd. Disangka ini yang kedua tapi rupanya, rezeki dari Allah SWT melimpah-ruah... Inilah yang ketiga selepas proses ambil alih GJC di Dataran Maybank, Bangsar berlangsung lancar mulai 1 Oktober lalu. 

Syukur Ya Allah... Tanpa restu-Mu laluan Mr. Hubby tidak akan dipermudahkan, biarpun ternyata banyak rintangan yang dilalui. 

Monday 24 September 2012

Curi Masa – Genting Highlands


Dalam kesibukan seharian melaksanakan tugas dalam kerjaya, aku dan Mr. Hubby masih dapat ‘mencuri’ masa untuk memenuhi hasrat bercuti dengan anak-anak di taman tema Genting Highlands. Kebetulannya, Angah baru habis praktikal dan akan pulang ke kampung walhal perancangannya untuk ke Genting Highlands bersama rakan-rakannya asyik terbatal saja.

Kali terakhir aku dan Mr. Hubby berkunjung ke sini lebih dari lapan tahun lalu iaitu semasa kami dialam percintaan...cewah. Taman bunga di luar taman tema adalah tempat lepak kami ketika itu apatah lagi perjalanan ke Genting hanya sekitar 30-40 minit saja dari Gombak.

Tuesday 18 September 2012

Mencari Keredhaan Ilahi


Sebagai insan yang inginkan kesempurnaan dengan perjalanan hidup berlangsung lancar, maka tentunya aku inginkan keredhaan dari-Nya. Namun, aku sedar sebagai seoarng isteri keredhaan yang aku inginkan hanya akan tercapai dengan restu dari suami kerana aku memahami, apa jua yang aku lakukan waima impian dan cita-cita tidak akan tercapai tanpa keizinan dan kerelaan dari suamiku.

Keredhaan Ilahi adalah atas restu dari suami dan aku sanggup korbankan apa saja (selagi menepati hukum agama) jika apa yang aku lakukan tidak menyenangkan hati suamiku. Sungguh, aku mahukan restu dari suamiku dalam apa jua yang dilakukan. Setulus hati dan seikhlas-ikhlasnya aku turuti apa jua yang dimahukannya, aku enggan melakukan apa yang tidak disukainya walau mungkin aku terpaksa korbankan sesuatu yang pernah menceriakan aku suatu dulu.

Sunday 16 September 2012

Jet Mewah

Tanpa pernah termimpi dapat merasai kemewahan dalam melaksanakan tugasan yang diberi. Merasai jet peribadi mewah milik seorang konglomerat terkemuka yang kini berkecimpung dalam arena politik.

Bayangkan dalam masa hanya 30 minit aku sudah berada di Kelantan dengan dalam tempoh itu aku duduk selesa menikmati hidangan yang dilayan oleh seorang pramugari. Kemudiannya, dalam masa sehari aku boleh berulang alik ke tiga negeri, pagi di Kuala Lumpur terus ke Pulau Pinang dan tengaharinya dalam masa 12 minit kemudian aku berada di Alor Setar, dan petangnya berada di Shah Alam. 

Thursday 6 September 2012

Impian berlarutan...

Aku sedar, tak semua apa yg kita impikan akan jadi kenyataan. Ada cita-cita yang lambat untuk menjadi realiti dan ada juga yang tidak akan sampai ke penghujungnya. 
Kecewa dan terkilan, sedih dan sayu tapi masih memanjatkan sepnuh kesyukuran biarpun impian tidak terlaksana tetapi masih banyak rezeki lain yang dilimpahkan ole-NYA. 


Pada-MU Tuhan, mohon permudahkanlah impian kami sekeluarga, hasrat yang masih terbengkalai biarpun telah lebih empat tahun diusahakan....

Monday 20 August 2012

Aidilfitri Ke Hospital

Tanggal 1 Syawal 1433 bersamaan dengan 19 Ogos 2012, amat berbeza bagiku dan keluarga apabila hari raya kali ini dirasakan tidak semeriah tahun-tahun lalu lantaran bapak terlantar sakit di hospital. Tiga hari terakhir Ramadan, bapak tak sihat hinggakan dia terpaksa dirujuk ke Hospital Selayang dan hasil laporan, penyakit lama bapak iaitu ulser perutnya kembali lagi. Perut bapak berdarah dan perlu rawatan khusus. Bapak tak dibenarkan makan dan minum sebaliknya hanya drip air garam yang masuk ke dalam tubuhnya.

Thursday 16 August 2012

Ramadan Terakhir dan Kehilangan....

hari raya Aidilfitri 1987, aku bersama abang Cici
Menjelang Aidilfitri… saban tahun berbeza dan kali ini aku kehilangan lagi dengan pemergian abang Cici pada Ramadan yang keenam. Jika tahun lalu, abang Cici masih mampu berhari raya dan berkunjung ke rumah bapa dan adik beradik bersama keluarganya walaupun uzur tapi kali ini abang Cici dah pergi menyusul mak, abang Daili dan abang Solo.

Tuesday 14 August 2012

Tazkirah - Mencari Lailatul Qadar & AidilFitri



Penceramah: Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya

Tarikh: 14 Ogos 2012 / 25 Ramadan 1433
Tempat: Surau Ar-Rahman, PWTC.


Antara kandungan ceramah:



Perwatakan nabi di 10 mlm yg terakhir. Nabi kejutkan ahli keluarga & hidupkan malam spt solat, zikrullah & apa2 saja berkenaan ibadah. 
Sekarang masuk mlm 25 Ramadan, kejar malam lailatul qadar. 


Tuesday 7 August 2012

Tazkirah - Seharum Kasturi Ramadan oleh Ustaz Kazim


Ceramah yg bersulam tawa dan segar dengan jenaka. Hari ke-17 Ramadan di Surau Ar-Rahman dilimpahi khalayak yang cintakan ilmu dan mendengar secara ‘live’ ceramah Ustaz Kazim Elias. Terbukti semua mendengar tanpa rasa bosan dan mengantuk. 

Ini adalah antara nota yang saya yang dapat taip melalui hp. Memang tak lengkap lagilah sebab dah tertinggal part awal:

Saturday 4 August 2012

Cerpen - Mencari Taubat Nasuha


hantar pada majalah sinar rohani 26/1/07

Saudara,” bahunya dicuit lembut seiring dengan suara yang memanggilnya.

            Lelaki itu menoleh dan memandang wajah jernih di sebelahnya. Ternyata bahawa lelaki itu amat setia melayan dirinya, mendengar ceritanya dan seketika kemudian memerhatikannya yang hanyut jauh dibawa perasaannya sendiri.
            Lelaki berwajah jernih itu senyum padanya dan secara sepontan juga dia membalas senyuman lelaki berwajah jernih tersebut. Penuh dengan ketulusan dan keikhlasan yang tersemat.
            “Saudara, hanya Allah yang dapat mengembalikan keyakinan dan membawa rasa kebahagiaan dalam diri saudara. Sebagai insan, kita terlalu lemah dan amat mudah untuk terluka. Hanya keimanan yang teguh di samping keluhuran hati melepaskan segala yang telah pergi.”

Wednesday 1 August 2012

Tazkirah Ramadan Di Surau Ar-Rahman PWTC


Nota yang dapat dikongsi dalam tazkirah di Surau Ar-Rahman, PWTC tengahari tadi. Tazkirah disampaikan oleh Ustaz Zakaria Isa, Imam Besar 1 Masjid Wilayah Persekutuan.

Sebulan puasa adalah latihan untuk kehidupan selama 11 bulan sebelum Ramadan akan datang. Target yg penting, beribadat dgn Allah bersungguh2. 
Patutnya lg lama lg gigih. Ujian untuk ketahanan diri. 
Ada orang suka Ramadan datang, masjid penuh. Mudah-mudahan berterusan. 
Istiqamah terutamanya dlm beribadat kepada Allah. Berterusan jangan sekejap buat dan sekejap tak buat. 

Sunday 29 July 2012

Abg Cici Dah Pergi….


Ramadan yang keenam, sementara menunggu waktu berbuka puasa aku melayan anak-anak dalam keadaan yang lelah setelah seharian bekerja. Ketika itu jam menghampiri pukul 7.00 malam. Telefon bimbitku berbunyi… sekali bunyi tak sempat ku angkat. Kemudian berbunyi lagi dan dihujung talian suara Zack cemas…, katanya ayah dah tak bergerak tolong cepat datang. Aku turut cemas, segera memberitahu Mr. Hubby yang sedang bertadarus. Tetapi Mr. Hubby tenang saja dan menyarankan agar berbuka puasa terlebih dahulu ditambah lagi dengan kesesakan jalan. Aku enggan menggesa tetapi hati meronta. Aku hubungi abang Hakim dan sarannya agar aku tidak cemas sebaliknya menguruskan keluarga dan anak-anak terlebih dahulu dengan dia sendiri yang akan berkejar ke sana bersama bapa. Aku lega sedikit.

Selepas sahaja solat maghrib aku dan Mr. Hubby bersegera ke Ampang, dan kemudian abang Hakim menghubungiku. Katanya, abang Cici dah tak ada…. Innalillahiwainnailaihirajiun. Dari Dia kita datang dan kepada-Nya juga kita kembali. Airmataku mengalir dalam keredaan hati dengan pemergian abang Cici apatah lagi setelah melihat sendiri penderitaannya yang berpanjangan.

Monday 23 July 2012

Kesihatan: Punca dan Muhasabah Diri


Sejak dua minggu lalu tahap kesihatan aku menurun. Bermula dari demam, selsema dan batuk yang berpanjangan. Sangat tidak menyelesakan. Aku ambil MC sehari dan sepanjang hari itu aku rehat sepenuhnya dengan tidur yang panjang. Demam kebah tetapi batuk dan selsema berlarutan. Jika diingat-ingat sudah amat lama aku tidak merasai sakit sedemikian sehinggakan tidur malamku pun terganggau dengan batuk berkahak. Peritnya....

Klinik pula, sudah tiga kali aku kunjungi, hingga akhirnya doktor yang merawatku turut membekalkan ubat asma dan beberapa ubat lain yang lebih ‘kuat’ kerana katanya kahak terlalu banyak dalam paru-paru aku.

Friday 20 July 2012

Cerpen: Buntu

TERBIT DLM DEWAN SASTERA JUN 2007
______________________________________________________________________
APABILA yang berlaku tidak sama dengan apa yang dirancang, semuanya hancur berderai. Pilunya rasa. Bukan hanya jatuh terduduk tetapi telah tersungkur mencium tanah dan luka.
            Bagaimana untuk bangkit semula? Bagaimana untuk meneruskan langkah jika tidak bangun?        Tetapi, jika bangun sekalipun kemana langkahnya hendak dihalakan? Tidak tahu arah yang akan dituju, tidak pasti haluan yang akan dibawa dan entah ke mana kaki akan dilangkahkan.

Tuesday 17 July 2012

Kondisi Terkini Abang Cici...


Pagi tadi aku berkunjung lagi ke HKL di Institut Radioterapi & Onkologi yang menempatkan abang Cici di  sini. Sudah lebih sebulan abang Cici menghuni wad 4B yang menempatkan para pesakit kanser dan aku adalah pengunjung setianya. Biarpun tidak banyak yang dapat aku lakukan tetapi sekurang-kurangnya aku dapat bercakap dengan abang Cici.

Alhamdulillah, keuzuran abang Cici tidak separah sebelum ini. Aku melihat perubahannya biarpun aku akui tubuhnya yang kurus semakin melidi. Tulang tubuhnya tampak tersembul tanpa disaluti isi menggebu.

Friday 13 July 2012

Hobi Mr. Hubby Di Rumah

Hobi Mr. Hubby amat berbeza dengan aku yang lebih gemar membaca novel, menulis, berjalan dan menonton. Aku hanya mengetahui hobi Mr. Hubby selepas kami berumahtangga biarpun aku mengenalinya dua tahun sebelum itu dan kemudian ditambah dengan ikatan pertunangan selama 10 bulan. 

Sepanjang hidup bersama, tanah di depan rumah kami telah acapkali berubah landskapnya. Bermula dari kawasan kontang kemudian ia merimbun dengan pepohon menghijau, lengkap dengan air pancut dan batuan mengelilingi. Terbaru, ia berubah lagi dengan semaian pepohon berbunga, merah warna mawar dan beberapa pohon orkid turut diborong semasa Pesta Flora 2012 lalu. 

Friday 6 July 2012

Ulang Tahun Kelahiranku


Tarikh 2 Julai genap usiaku 35 tahun. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana aku terus diberi kesempatan menikmati kesejahteraan hidup dengan kesihatan, keluarga, saudara mara dan rakan taulan yang sangat membahagiakan. Pertambahan usia bukanlah satu masalah buatku kerana apa yang lebih penting adalah pengisian untuk sepanjang usia tersebut dengan pengalaman dan kematangan fikiran.

Alhamdulillah, dalam menyusur usiaku ini, aku sempurna sebagai insan yang tidak cetek pengetahuan, mempunyai keluarga, berkerjaya dan tidak merempat, justeru apa yang penting buatku adalah mencanai kesemuanya dalam kesempurnaan kehidupan seorang insan tanpa perlu menyusahkan sesiapa tetapi sebaliknya memberi bantuan sepenuhnya.

Thursday 5 July 2012

Jakarta Oh Jakarta....


Aku berkesempatan berkunjung ke bumi Jakarta, kota metropolitan yang amat terkenal dengan kesibukan dan kesesakannya. Bersama para delegasi aku merasai layanan bertaraf VIP, berkenderaan mewah Alphard siap dengan polis pengiring dan menghuni hotel mewah Four Seasons, Jakarta.

Aku tidak mengambil mudah tugasan ke Kota Jakarta ini kerana aku sedar bahawa aku terpilih atas tanggungjawab yang bukan kecil. Tentunya, selain liputan pemberitaan pasti aku perlu membuat laporan atas apa yang berlaku sepanjang kunjungan tersebut. Tentunya ia bukan tugas yang mudah apatah lagi ia membabitkan urusan bersama dengan partai-partai campuran di Indonesia. Dalam kecetekan akalku menjangkau situasi politik di Indonesia aku merasai betapa berbezanya pandangan mereka dengan suasana masyarakat Malaysia. Namun paling penting, hubungan serumpun dua negara menjadi pengikat, budaya dan agama yang sama tidak akan dapat memisahkan dua negara bersempadan.

Friday 29 June 2012

Suatu ketika...

Dalam berkemas aku terjumpa kembali video yang aku pernah cuba buat untuk Amira & Ameer, tapi tak siap dan kemudian terbengkalai begitu saja.... Setelah 3 tahun berlalu, aku menyelami kembali apa yang pernah berlaku ketika usia Amira baru meniti empat tahun, sangat pemalu... pendiam dan terlalu pasif.

 

Wednesday 27 June 2012

Kelas Piano Amira di Ars Nova Music

Ketika usia Amira empat tahun, dia pernah minta untuk belajar piano tetapi ketika itu Mr. Hubby tak beri kebenaran lagi pun Amira masih terlalu mentah. Kemudian hujung tahun lalu apabila usia Amira hampir memasuki enam tahun, aku mula mencari sekolah muzik yang sesuai. Paling penting tidak jauh dari rumah

Amira begitu teruja untuk belajar kelas piano dan semuanya dimulakan pada kadar yang segera. Walaupun pada mulanya Mr. Hubby seakan keberatan namun ia kendur lantaran sikap Amira yang begitu excited. Kelas Amira bermula pukul 8.00 malam setiap Selasa, 45 minit kelas teori dan praktikal seterusnya 15 minit adalah latihan persendirian yang melengkapkan jumlah masa satu jam.

Anganan Dunia Penulisanku

Suatu ketika dulu aku pernah memasang impian untuk berkarya dalam penulisan kreatif apatah lagi pengkhususan aku dalam Ijazah Sarjana Muda adalah Penulisan. Ketika itu menjadi kelaziman bagiku untuk menulis cerpen, puisi, skrip drama, rencana malah kritikan sastera juga pernah aku cuba. Namun hari ini aku terkesimpang jauh dari genre asal penulisanku. Biarpun masih juga menulis sebagaimana ia mencerna minda tetapi motif dan arah haluanku telah berbeza.

Apabila membaca kembali tulisan-tulisanku yang lalu aku sedar bahawa aku lebih gemar bermain dengan bahasa dan lebih terarah kepada karya berat daripada bentuk popular. Sebagaimana aku pernah menghasilkan sebuah novel bagi memenuhi kursus penulisan tersebut, dengan tajuknya 'Miopia Hati'. Ketika itu jika ada sesiapa yang bertanya maksudnya maka jawabku carilah di dalam kamus kerana aku bersandarkan seluruh perkataan kepada buku tebal Kamus Dewan....

Tuesday 26 June 2012

Cerpen – Kognisi Pengemis Tua


KOGNISI PENGEMIS TUA- terbit dalam Majalah Tunas Cipta Disember 2005
           Kaki lima kedai yang terletak berhampiran dengan jalan raya disusurinya. Langkahnya perlahan. Lambat-lambat tetapi masih segak. Sebenarnya dia tidak tahu arah haluannya. Dia sekadar berjalan untuk menghilangkan kebosanan yang menghurung sebentar tadi.
            Kesibukan yang dilaluinya sepanjang kaki lima deretan kedai di bangunan lima tingkat tersebut seakan tidak meninggalkan kesan. Ternyata percubaannya untuk menghilangkan kecamuk di dalam fikirannya tidak berjaya.
            Orang ramai yang lalu-lalang di sekelilingnya tidak dihiraukan langsung. Kepanasan suasana juga tidak diendahkan lagi. Tanpa tahu apa yang akan dilakukannya dan tempat untuk ditujunya. Akhirnya dia kehilangan punca.

Friday 22 June 2012

Ayahandaku - Lafaz Yang Tersimpan


Dalam usia tua ayahandaku, amat sayu menatap wajahnya yang penuh dengan kedut-kedut di wajah. Matanya redup, pandangannya sayu... tiada ucapan yang dapat dilafazkan sebagaimana lirik lagu Lafaz Yang Tersimpan

Thursday 14 June 2012

Abang Cici Sakit, Insafi Kealpaan Diri


Kita hanya akan menghargai kesihatan 
apabila melihat kesakitan insan lain
Kita hanya akan akui betapa mewahnya kita 

apabila berkongsi kesusahan insan lain
Kita akan merasakan kebaikan 

apabila melihat keburukan yang dilakukan insan lain
Kita akan menyedari betapa mewahnya kita 

apabila menyelami kedaifan insan lain
Kita akan sedar betapa bertuahnya kita 
apabila melihat keuzuran insan lain
Kita akan mensyukuri setiap detik yang kita ada 
apabila sedar nyawa melayang tanpa mengira usia.

Betapa kita seringkali gagal menginsafi apa yang telah kita lakukan dan mempunyai hasrat untuk memperbaiki kekurangan kita

Monday 11 June 2012

Abang Cici, Pilu Insan Disayang Terlantar Uzur…


Suatu ketika dahulu abang Cici adalah insan yang sihat, kuat bekerja dan rajin membantu sama ada dalam kenduri-kendara atau kesusahan namun hari ini keadaannya amat jauh berbeza. Keuzurannya terlalu amat, kesakitan yang dialami tidak tertampung dengan tubuhnya yang kini hanya tingga tulang sedangkan suatu ketika dulu,tubuh inilah yang pernah mencempung diriku diusia remaja ketika aku kemalangan.

Istimewanya abang Cici sebagai abang aku yang sangat ringan tulang, membantu sesiapa saja yang kesusahan dan bersifat melindungi padaku biarpun wajahnya seringkali serius. Aku akui, diusia kecilku abang Cicilah yang paling aku takuti kerana ketegasannya tetapi apabila aku remaja beliau semakin terbuka dan dalam dewasaku masih terasa belasnya untuk memanjakan aku sebagai adik bongsu dan tunggal perempuan.

Saturday 2 June 2012

Hatyai…Sawadikappp…

Percutian kali ini berbeza kerana ia menyeberang sempadan. Sebagaimana musim cuti persekolahan, kami sekeluarga pulang ke kampung halaman Mr. Hubby... menjenguk bapa mertua yang uzur, berkunjung ke rumah sanak-saudara dan kemudian merancang percutian sendiri.

Memandangkan Pulau Pinang sudah dijelajah, Perlis telah diteroka dan Kedah juga sudah dikenali; ditambah dengan kami anak beranak mempunyai pasport antarabangsa maka kali ini kami menyeberang sempadan Utara.

Turut serta Ijan, Puteri dan Kak Mah. Perjalanan dirancang teliti, dengan pasport semua dibawa selain Ijan dan Kak Mah yang membuat pas sempadan. Semuanya di urus di Changlun, bermula dengan cukai jalan Thailand dan juga ‘booking’ hotel Grand Plaza di Hatyai. 

Tuesday 22 May 2012

Antara Kerjaya, Pelajaran, Isteri, Ibu & Anak...


LELAH... masa pantas berlalu tanpa sekelumit pun bersimpati padaku namun aku tidak pernah mengalah atau bersifat pasrah atas apa saja yang terbentang di depanku. Aku ada cita-cita, aku punya cinta dan aku mahu merasai bagaimana nikmatnya berjaya. Walaupun aku acapkali dihidangkan dengan tugasan yang dianggap penting di pejabat tetapi aku tidak pernah mahu menolaknya malah aku anggap ia sebagai cabaran. 

Namun demikian aku perlu berdepan dengan status sebagai pelajar yang masih belum lengkap ekoran tesis yang terbengkalai.... Lebih rumit apabila pembentangan tajuk tesis perlu dilakukan sejurus Hari UMNO ke-66 selesai yang mana aku masih lagi tidak ada persediaan untuk proposal. Tekad di dada tersemat rapi bahawa aku akan pastikan apa yang aku mulakan akan lunas dengan sempurna sebagaimana aku memilih untuk belajar ke peringkat sarjana, jadi aku mesti genggam ijazah sarjana tersebut, walaupun lambat tetapi tetap akan dapat kerana perkiraan aku untuk tahun ini sudah tidak sempat....

Friday 11 May 2012

Pengalaman Bersama Tokoh Melayu Terbilang UMNO 2012

Dalam sambutan Hari UMNO ke-66 kali ini, aku sekali dipertanggungjawabkan untuk melunaskan kerja bagi Tokoh Melayu Terbilang kali ini. Seorang penerima lelaki dan seorang penerima wanita. Dengan ruang waktu yang amat terhad, aku bersama kru melibatkan seorang juruvideo dan seorang jurukamera yang profesional melaksanakan amanah tanpa banyak persoalan. Bayangkanlah, nama penerima diberikan pada 7 Mei sedang tarikh untuk wawancara eksklusif yang diatur adalah pada 8 Mei disebelah petang walhal video klip keseluruhan perlu sempurna pada 10 Mei dengan bahan yang ada juga amat terhad.

Tokoh lelaki ialah Tan Sri Arsyad Ayub, nama yang gemilang tetapi baru aku kenali lantaran selama ini tenggelam dalam dunia akademik dan perkhidmatan awam sedangkan beliau telah tersohor sebagai pelopor kepada penubuhan UiTM dan memperkasakannya.

Thursday 3 May 2012

PM Kebangganku

Suatu kesempatan yang tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa aku akan mengadakan wawancara khusus bersama Ketua Negara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Walaupun aku bergelar wartawan dan telah acapkali menghadiri sidang media pemimpin tertinggi negara termasuk PM sendiri tetapi interbiu khas dengan masa selama 40 minit adalah sesuatu yang amat istimewa. Bertempat di Pejabat Perdana Menteri, Sri Perdana maka semuanya mula berlangsung....

Walaupun ini bukan pertama kali dengan golongan atasan sebagaimana PM tapi biasanya, hanya rakaman pendek dalam 4-5 minit sahaja namun kali ini ruang yang diberikan terlalu bermakna. Lebih istimewa apabila ia adalah rakaman khas sempena ulang tahun UMNO yang ke-66; eksklusif hanya untuk kami dan kemudiannya akan diberikan terus kepada semua media massa di seluruh negara.

Wednesday 25 April 2012

Menabur Nada Kecewa

singgah sebentar, tanpa kata ... ada nada kecewa meresap kalbu, ingin diluah tapi tersimpan cuma.... Membeku dalam kalbu menjadi kaku...aduh....peritnya...

Saturday 17 March 2012

Hari Keluarga UMNO Putrajaya 2012


Atas tuntutan tugasan, aku berkunjung ke Hari Keluarga UMNO Putrajaya 2012 yang berlangsung di Stadium Pancarona, Presint 18 di sini. Lantaran enggan keseorangan, aku bawa Amira bersama. Sikap Amira bersahaja, spontan dan tidak mengendahkan keadaan sekeliling apatah lagi apabila bersama Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor. Namun demikian, aku tidak berada lama di situ, lantas seusai sahaja tugas kami bergegas pulang tanpa menunggu semua acara berakhir.

Friday 13 January 2012

African National Congress – KL – Doha – Afrika Selatan


Kepercayaan yang terlalu besar diberikan padaku apabila dipilih untuk menyertai delegasi UMNO ke Kongres Nasional Afrika ke-100 tahun di Bloemfontein, Afrika Selatan. Bumi asing yang tidak pernah aku mimpi untuk dikunjungi.

Tarikh 5 Januari hinggalah ke 10 Januari, perjalanan yang aku rasakan amat jauh. Bermula di KL, terus ke Doha dengan tempoh dalam pesawat selama 8 jam, kemudian transit selama 12 jam dan disambung semula ke Johannesburg 8 jam sebelum perjalanan 45 minit ke bandar Bloemfontein.

Friday 6 January 2012

Anak Mula Alam Persekolahan....


Tahun Baru 2012 ada kelainan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Pertama kali Amira akan menjejakkan kaki bersekolah di Sek . Ren. Keb Bandar Kinrara 1. Debaran aku mengalahkan Amira yang nampaknya sangat bersahaja dan ceria menjelang alam persekolahan.

Mujurlah urusan berkaitan persediaan persekolahan Amira telah dibuat awal, bermula dari kelengkapan pakaian dan keperluan peralatan sehinggalah kepada pengangkutan dan barangan berkaitan. Dalam masa yang sama, Ameer juga bergitu bersemangat untuk bersekolah. Biarpun pada perancangan awal Ameer hanya akan dihantar ke Smart Reader Kids tahun depan tetapi ia berubah lantaran semangat mahu bersekolah yang ditunjukkan.
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers