Sunday 24 April 2011

Dugaaan untuk mematangkan diri…

Satu persatu dugaan datang, terasa sungguh bebannya ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Selepas berada di bumi Kenyalang selama 13 hari aku kembali ke Ibu Kota. Laporan selama bertugas di sana perlu aku sediakan dengan sebaiknya dalam masa yang terhad sedangkan tuntutan sebagai pelajar masih gagal aku penuhi. Kertas kerja masih ada berbaki dua, kelas terakhir juga ada dua pembentangan yang perlu aku lunaskan sedangkan ‘powerpoint’ utk pembentangan masih belum ada.
Dalam kesibukan akhirnya aku alah, aku perlu tumpukan perhatian pada pelajaran sedangkan hati sedikit tercalar atas apa yang berlaku di pejabat. Aku pujuk hati untuk redha dan ikhlaskan diri atas apa yang berlaku di sekelilingku, enggan aku mengeluh biarpun terlalu payah. Untuk bersifat ikhlas ada batasannya apatah lagi setelah masa bersama anak-anak dan keluarga seringkali aku korbankan.
Aku mohon cuti yang panjang kerana aku mahu tumpuan penuh pada pelajaran, untuk kertas kerja, untuk pembentangan terakhir dan untuk pepepriksaan Isnin nanti…. Namun dalam kesediaan aku untuk mengharungi segalanya aku dikejutkan dengan kematian abang ipar yang terlantar sejak dua bulan lalu. Aku bergegas bersama suami yang sangat memahami. Sehingga ke lewat malam aku menemani kak Piah sehinggalah selesai urusan pengkebumian. Pulang ke rumah terasa lelahnya sedang fikiran menerawang memikirkan hari berikutnya pula, ada perbincangan dalam kumpulan, ada wawancara untuk kertas kerja dan ada seminar yang perlu aku hadiri.

Sekali lagi kesulitan menimpa, entahlah apa silapnya… pembantu rumah yang diharap untuk menjaga anak-anak sepanjang kesibukanku pula menghilangkan diri tanpa meninggalkan sebarang pesan. Baru sebulan dia menjadi sebahagian dalam keluargaku tapi lain jadinya sedangkan tingkahnya tidak pernah ada sebarang protes apatah lagi bantahan. Aduhai…puas aku muhasah diri mencari dimana silap yang aku lakukan atau aku ada meninggi suara padanya… terasa sungguh tekanan ini apabila mengenangkan anak-anak dan keluarga.
Hari-hari tetap berlalu, aku mohon ketabahan untuk mengharungi segala kesulitan. Aku mahukan kekuatan dan enggan alah pada keadaaan. Pelbagai tugasan menanti sedang ketika aku cuti masih ada arahan-arahan langsung berkaitan tugas rasmi pejabat yang perlu aku lakukan. Aku hargai kepercayaan atas kebolehan dan kekuatan diriku…. Aku lunaskan dengan sepenuh rasa penghargaan atas keyakinan pada tugasan tersebut.
Apa yang paling penting ialah anak-anak yang tidak mungkin akan aku abaikan. Persoalan siapa yang akan mengasuh anak-anakku sehingga aku mendapat pembantu yang baru akhirnya terjawab. Alhamdulillah…. Allah menyayangiku dan keluargaku, dipermudahkan segala urusanku. Kelas terakhir berlangsung lancar, pembentangan berjaya aku lakukan dan kertas kerja juga hampir lunas. Dalam aku pasrah atas apa yang berlaku, Allah mengurniakan lagi aku kekuatan untuk terus bekerja. Alhamdulillah…
Dan sekarang, aku sedang melalui saat sukar mengulangkaji pelajaran yang banyak aku tertinggal ekoran tuntutan pada kerja-kerja pejabat. Esok dan lusa, aku akan berdepan peperiksaan. Pesan suami menjadi kekuatan untuk terus langsaikan semua apa yang aku lakukan tanpa sebarang keluhan. Insyaallah, mohon doa restu dari semua untuk kejayaan yang cemerlang….

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers