Thursday 10 March 2011

Wasiat Pak...

Dari 12 beradik, hanya ini anak-anak pak yang masih ada
Kelmarin, dalam kesibukan… aku bergegas ke Gombak selepas melangsaikan tugasan di pejabat. Bapak nak jumpa dengan semua anak-anak bapak, dan aku mesti ada. Aku maklum, kerana aku adalah anak bongsu dan tunggal perempuan daripada 12 orang adik beradik. Bapak kata kalau aku tidak dapat hadir maka yang lain-lain juga tidak usahlah datang. Sampai begitu sekali….
Anak-anak bapak semua ada dan sebelum bapak muncul kami semua sudah sepakat bahawa apa sahaja kata-kata bapak tidak akan dibantah.
Bapak memulakan suara. Pertama tanah pusaka yang ada biarpun nilainya terlalu rendah dan tidak ada kepentingan perlu dijaga. Soalnya, apakah anak-anak bapak seramai tujuh orang yang masih hidup ini sanggup untuk menjaganya? Semua menjawab ya tapi sepakat ia akan dipertanggungjawabkan kepada abang Kamal. Pinta bapak, apa-apa berlaku silaturrahim dan muafakat bersama adik-beradik perlu terus dilunaskan.
Abang Kamal yg banyak cakap, abang Cici yg uzur & abang Hakim yg selalu mengalah
Kedua, bapak kata rumah yang bapak diami sekarang ini adalah harta bapak bersama arwah mak. Sejak awal lagi tanah rumah ini ada bapak bersama arwah mak telah berniat bahawa rumah tersebut akan diberikan pada aku, dan niat itu perlu ditunaikan. Kata bapak, tak kiralah sama ada bapak masih ada atau bapak sudah tidak ada nanti maka rumah ini akan tetap aku punya sehinggakan bapak sanggup berkata, “kalau ada mana-mana pihak yang tidak ikut amanat bapak dan mengatakan rumah tersebut adalah miliknya selain waris yang sebenar maka orang itu akan cair badannya seperti air yang mengalir dan tulang-tulangnya akan hancur ibarat debu berterbangan.”
Abg sulung yg menjengah 60 tahun  seiras dgn pak

Aduhai…. Terkedu kami semua adik-beradik dan kemudian bapak tanya pada aku mahukah aku menerima pemberian bapak? Aku kata terima dan abang-abang yang lain menyokongku. Namun demikian terus aku terangkan pada bapak bahawa aku telah bersuami dan mempunyai anak-anak… aku terima pemberian bapak namun aku perlu terus akur dan taat pada suami. Tidak pernah terniat dalam hati untuk tinggal berasingan dengan bapak dan arwah mak dahulu tetapi aku mengikut suami apatah lagi di rumah itu abang Hakim sekeluarga telah menghuninya. Pinta aku pada bapak sama seperti sebelum ini, tinggallah bersamaku di rumah yang telah disediakan oleh suamiku, tetapi bapak enggan kerana bapak mahu mendiami rumah yang dibina bersama arwah mak.

Kemudian, permintaan bapak yang terakhir…. Terasa begitu syahdu hati apabila mendengarnya. Kata bapak, dalam almari sudah ada kain kafan yang dibeli sejak arwah mak masih ada. Pinta bapak, jika bapak tiada nanti tolong kafankan bapak dengan kain kafan yang dibeli oleh arwah mak itu. Mendengar kata-kata bapak, semua kami terdiam dan hanya berjanji untuk sama-sama menyempurnakan amanah bapak… InsyaAllah.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers