Wednesday 16 March 2011

Kerja Sambil Lewa???

Apabila apa yang kita lakukan diperlekeh dan dipersendakan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal. Fikiran waras manakah yang boleh menerima kritikan menghentam tanpa sebarang diplomasi sedangkan telah sejak awal lagi persoalan ditanya, perbincangan diminta dan kata-kata teguran diharapkan, tapi jawapannya tiada ibarat sempurna segala laku dan tingkah….
Namun demikian, apabila keadaan sudah terlalu suntuk pelbagai kata-kata dikeluarkan sehingga tergamak mempertikaikan berkaitan tahap pengetahuan dan pembelajaran selain tuduhan kerja dilakukan dengan ala kadar saja.
Aduhaiii… terasa panas telinga, sebak dada dan bertakung airmata sedang diri terkorban dalam kerjaya, anak-anak ditinggalkan pada pengasuh, menuntut pemahaman dari suami lantas diri terasa begitu lunyai dek lelah yang terlalu perit tanggungannya. Kenapa persoalan sedemikian diluahkan sedangkan rasanya ada pihak yang lebih wajar untuk menerima kata-kata sedemikian. Ketidakpuasan hati menjalar. Kenapa ketegasan ini tidak dihamburkan pada yang sememangnya bermasalah?
Sungguh, aku tidak menuntut kata-kata pujian biarpun dengan sebaris ucapan terima kasih pun, jauh sekali penghargaan berbentuk hadiah atau taburan pemberian pelbagai rupa.
Aku laksanakan tanggungjawab dan amanah seikhlas mungkin biarpun adakalanya tercuri juga masa-masa santai bersama keluarga pada hujung minggu. Itu semua tidak aku endahkan tetapi bagaimana mungkin penilaian sedemikian kejam dilontarkan pada aku apatah lagi oleh insan yang aku kagumi selama ini. Konon sambil lewa…. Adakah percuma kerahan tenaga jika tiada rasa benar pada apa yang terluah. Maaf, itu bukan penyudahnya… lupakan saja…

Thursday 10 March 2011

Wasiat Pak...

Dari 12 beradik, hanya ini anak-anak pak yang masih ada
Kelmarin, dalam kesibukan… aku bergegas ke Gombak selepas melangsaikan tugasan di pejabat. Bapak nak jumpa dengan semua anak-anak bapak, dan aku mesti ada. Aku maklum, kerana aku adalah anak bongsu dan tunggal perempuan daripada 12 orang adik beradik. Bapak kata kalau aku tidak dapat hadir maka yang lain-lain juga tidak usahlah datang. Sampai begitu sekali….
Anak-anak bapak semua ada dan sebelum bapak muncul kami semua sudah sepakat bahawa apa sahaja kata-kata bapak tidak akan dibantah.
Bapak memulakan suara. Pertama tanah pusaka yang ada biarpun nilainya terlalu rendah dan tidak ada kepentingan perlu dijaga. Soalnya, apakah anak-anak bapak seramai tujuh orang yang masih hidup ini sanggup untuk menjaganya? Semua menjawab ya tapi sepakat ia akan dipertanggungjawabkan kepada abang Kamal. Pinta bapak, apa-apa berlaku silaturrahim dan muafakat bersama adik-beradik perlu terus dilunaskan.

Monday 7 March 2011

Apa Pilihan Yang Ada???


Selepas 10 hari di luar Ibu Kota kerana PRK Kerdau, aku kembali ke rumah. Gembira berkumpul semula dengan anak-anak dan keluarga tersayang namun kemudian rasa gelisah yang dipendam terhampar juga. Hati gundah bimbangkan anak-anak yang barangkali tidak sempurna pengurusannya berikutan tanpa pembantu.

Akulah wanita berkerjaya yang terperangkap dalam dilema. Pembantu rumah yang rajin telah kembali ke kampung halamannya sejak 18 Februari lalu. Janjinya akan kembali ke sini dan meneruskan tugas mengasuh anak-anakku namun sehingga ke hari ini tiada sebarang perkhabaran. Kecewanya hati mengenangkan nasib anak-anakku yang barangkali akan kembali kembali ke pusat asuhan kanak-kanak. 

Thursday 3 March 2011

Jauh Merindu

Berada dikejauhan,
menakung rindu yang deras mengalir
sedang waktu terasa lambat berlalu.

Atas pengorbanan yang sentiasa didamba ketulusannya,
secangkir tenaga diluah jua biarpun lelah yang menggunung,
tetapi ia terus mahu diusir pergi.
Minggirlah wahai rasa gundah
agar amanah tergalas mampu dilaksana sesempurna mungkin.
Ketepilah duhai gelisah agar hilang sebak di jiwa.
Berlari mencari keluhuran yang kelam,
menggilap kesucian yang tenggelam dek kedangkalan hati nurani insani.
Akukah itu…,
hamba kerdil meniti bait hidup bertongkatkan takwa yang terlalu rapuh.
Mohon,
berikanlah hidayah berlampirkan kesabaran
atas nyanyian hidup ini terus dapat aku lagukan….

@ cc, prk kerdau
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers