Monday 28 February 2011

Abang Cici Sakit, Penangan Rokok Undang Kanser


abang Cici semakin kurus ekoran serangan barah

Jiwa terusik… aduhai, bagaimana untuk dirawat lagi sedangkan barah yang ada sudah semakin menjalar. Dalam usia menjengah 50 tahun abang Cici sudah kritikal. Itu kata doktor pakar di Hospital Selayang selepas abang Cici buat sekali lagi imbasan di perutnya. Memang perit untuk diterima dan aku tahu tentunya beban yang tergalas di bahu abang Cici lebih dari apa yang aku bayangkan.
Abang Cici disahkan mengidap kanser usus pertengahan tahun lalu, memang serius hinggakan pembedahan dibuat. Kemudian radioterapi dan kimoterapi selain buat terapi harian saban hari di Hospital Kuala Lumpur. Sangkaan ketika itu, sel kanser telah tiada tapi malangnya sekarang ia makin merebak. Doktor telah membayangkan kemungkinan pada satu pengakhiran lantaran tiada ubat untuk merawatnya lagi….
Keadaan fizikal abang Cici tidak menunjukkan keuzurannya selain tubuhnya yang semakin melidi. Abang Cici masih mampu menunggang motor ke sana ke mari termasuklah mengurus segala keperluan kecuali melakukan kerja-kerja berat. Barangkali abang Cici gagahkan diri berdepan semua kesakitan. Mungkin juga enggan diketahui orang lain. 

Thursday 24 February 2011

Mengenali Tanpa Dikenali

Aku belajar mengenali tanpa dikenali kerana aku tidak mahu sesekali menjadi kail memancing tanpa umpan, lagak pada tingkah sedang hasilnya kosong tanpa noktah.
Biarlah…biarpun memang ada insan sedemikian yang seringkali aku gagal bezakan antara ketulusan, keluhuran dan pembohongan tapi aku sentiasa sematkan di hati agar terjauh dari kekhilafan dan terus bersangka baik agar kepuasan dapat aku kecapi.
Terima kasih Tuhan…, kurnia dari-Mu lebih dari mencukupi biarpun aku seringkali dangkal mensyukuri setiap rahmat-Mu.

Wednesday 23 February 2011

Nostalgia Sudirman Hj Arshad Pembakar Semangat


Tarikh 22 Februari, melalui rutin saban pagi memandu dalam kesesakan lalu lintas sambil mendengar putaran radio hot fm hari ini agak berbeza dengan hari-hari lainnya. Tidak terasa kebosanan atau lelah bersandar di tempat duduk, sedang kaki bersilih ganti antara pedal minyak dan gear ekoran isu yang diutarakan ialah imbasan bersama Allahyarham Sudirman.

Persoalan yang diutarakan ialah apakah kenangan atau nostalgia bersama/berkaitan Allahyarham seniman agung ini?

Kemudian aku tersorot dalam nostalgia berkaitan beliau, kerana aku juga terdorong dalam arena penulisan adalah kerana beliau. Aku mengagumi bakat yang ada padanya, lagu-lagunya menjadi pujaanku dan telatahnya sentiasa menghiburkan.
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers