Thursday 8 July 2010

Anugerah Hari Lahir...

Alhamdulillah...aku dapat terus menghirup udara dan merasa nikmat rahmat dari-Nya dalam usiaku genap 33 tahun pada 2 Julai. Sesungguhnya, aku bersyukur atas apa yang aku terima, rezeki dan anugerah dari-Nya tidak ternilai.

Aku selami titian hidup dalam kematangan usia ini, satu persatu tercatit di memori terus kuselak.... Usia kanak-kanak aku termanja dengan belai kasih mak dan pak selain dikelilingi abang-abang yang selalu membelaku. Dalam kesederhanaan hidup aku tercanai molek, sempurna didikan agama dan akademik biarpun kenakalanku seringkali terserlah.

Di usia remaja aku terlena, seringkali kedegilan menguasai... kata orang dalam usia ini kita berperang mencari identiti, sering memberontak dan bertentangan pendapat tetapi dek kesabaran mak yang amat memahami dan pak yang selalu merestui... aku alah jua.

Semakin hari aku meninggalkan usia muda, bersama masa aku mengenali dan lebih menghargai setiap detik yang berlalu. Sedar dan insaf bahawa usia berlalu pergi tanpa pernah ada satu perhentian. Jasad mak dah tiada tapi aku tetap rasa kewujudannya. Pesan mak semakin erat dan terlalu amat aku selami. Apatah lagi apabila aku menjadi ibu dan memiliki keluarga sendiri, aduhai sesungguhnya terlalu besar pengorbanan mak... Pak pula, semakin uzur dan semakin menuntut perhatian dari anak-anaknya. Pada-Mu Ilahi aku pohon setinggi-tinggi kesabaran dan kekuatan untuk dapat menjaga dan mengasihi pak sebagaimana dia mengasihiku. Insyaallah selagi ada hayat akan aku bersama pak... kata-kata ini aku semat dihati....

...Dan pada usiaku hari ini yang genap 33 tahun, aku amat bersyukur... sempurna aku dalam pusingan hidup sebagai insan, akulah seorang anak, seorang isteri kepada suami yang sangat memahami dan aku seorang ibu kepada anak-anak yang keletah, sihat dan sempurna. Aku juga seorang wanita yang berkerjaya dalam ruang lingkup yang sebati denganku dan pada 2 Julai ini juga aku amat bersyukur kerana bergelar seorang pelajar Sarjana... Alhamdulillah!

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers