Thursday 10 December 2009

Kehilangan


Bukan mudah untuk menerima berita tentang kehilangan insan tersayang apatah lagi ianya berlaku secara mengejut dan sesungguhnya itulah yang aku lalui awal bulan lalu. Sungguh aku agak terkilan dengan apa yang berlaku kerana pemergian abang Solo tanpa sebarang tanda, apatah lagi beberapa hari sebelum itu kami berbual di talian...biarpun tak lama tapi selorohnya berkaitan kematian mengingatkan aku mungkin itulah tandanya.

Abang Solo satu-satunya abang aku yang tidak membesar dan tinggal bersama kami adik beradik kerana dia dijaga oleh ibu saudara sebelah mak di Singapura. Namun begitu, biarpun jauh tetapi kemesraan sebagai adik-beradik tidak pernah terbatas apatah lagi aku sebagai adiknya yang bongsu dan tunggal perempuan pastinya sentiasa menjadi keutamaan. Malahan ketika zaman kanak-kanak dan remajaku, tuntutlah apa sahaja daripadanya pasti aku akan dapat; juga sehingga aku berumahtangga suamiku pula menjadi teman akrabnya apabila berkunjung ke sini.


Aduhai.... sesungguhnya Allah s.w.t lebih menyayanginya malah memudahkan pemergiannya tanpa terlantar tenat dan menyusahkan sesiapa sebagaimana sikapnya yang tidak pernah mahu menceritakan keperitannya di Kota Singa, biarpun semua adik-beradiknya berada di Kuala Lumpur.

Abang Solo pergi selesai menunaikan fardu Isyak... menurut kakak iparku, abang pergi tenang dengan wajah bersih seakan dibuai lena malah di waktu siangnya masih bekerja dan menjalankan tanggungjawab seharian seperti hari-hari biasa; masih sempat berlelocon dan bergurau senda sebagaimana sifatnya.

Jika diimbas kenangan terakhir bersama abang Solo adalah semasa hari raya lalu; kami bersama-sama bapa dan adik beradik yang lain meraikan aidilfitri, mengunjungi pusara mak ... dan ketika itu antara perbualan kami ialah siapakah antara kami yang akan menyusul mak dan kini aku dapat jawapannya; wajah abang Solo memang saling tak tumpah dengan arwah mak... Begitupun aku tidak lama berhari raya bersama mereka kerana tuntutan tanggungjawab pada keluarga sebelah mertua.

Minggu ini, genaplah 40 hari pemergian abang Solo yang menyahut seruan Ilahi dalam usia 52 tahun... yang tinggal hanya kenangan kemanjaanku bersama arwah, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman... Al-fatihah!

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers