Monday, 7 September 2009

Ramadan dan kenanganku...

Indahnya Ramadan, bulan yang penuh dengan nikmat untuk kita rebut sebagai bekalan kita di hari kemudian... Namun demikian, di Ramadan ini penuh kesyahduan atas kenangan silam yang bersama keluarga, arwah mak dan adik-beradik yang ramai....

Suatu waktu dahulu, ketika aku masih dalam alam sekolah rendah Ramadan adalah bulan paling sibuk untukku dan keluarga. Setelah seharian berpuasa, maka berbuka bersama adalah satu kemestian. Dalam ingatanku, waktu itu aku berbuka bersama mak dan bapa, abang Maili, abang Cici, abang Kamal, abang Bullah dan abang Hakim... sementara kakak, abang Daili dengan abang Solo dah ada rumahtangga sendiri dan tidak tinggal bersama kami.

Untuk sebuah keluarga besar yang lebih ramai lelaki, tentunya aku yang banyak membantu mak walaupun ternyata tugas aku sekadar menghidang makanan dan mencuci pinggan lantas yang lain mak sudahkan sendiri sepenuhnya, tanpa bantuan sesiapa walaupun mesin dan blander bagi memudahkan kerja seperti hari ini.

Lepas Maghrib, kami akan berbual kosong sementara menunggu Isyak dan kemudian bersolat terawikh dengan berimamkan bapa sementara kami semua menjadi makmumnya. Ini memandangkan kedudukan surau yang agak jauh di samping tiada kemudahan kenderaan selain daripada basikal tua bapa dan basikal BMX abang Hakim saja. Sesekali ada juga beberapa orang jiran tetangga turut serta menjadikan ruang tamu rumahku penuh hinggakan pernah tak cukup ruang....