Friday 5 June 2009

UMNO – Pada Kemelut Antara Manipulasi Dan Persepsi

Kelmarin, ketika pertemuan dengan seorang teman lama, dalam ayat mesra bertanya khabar dan kerjaya sekarang, dia seakan kaget apabila aku katakan aku bernaung di bawah payung UMNO – terlibat dengan penulisan yang aku rasakan sedikit menyimpang daripada apa yang aku lakukan dalam penulisan kreatif lalu.

Namun demikian, serta-merta pula lontarnya padaku, “wah, dah kaya la sekarang?”
Aku terdiam lantas hanya tertawa sedang dalam minda aku keliru, sama ada kata-katanya sekadar gurauan atau itu adalah persepsi khalayak terhadap UMNO dan kakitangannya?

Lantas, ketika mengisi masa terluang aku terpanggil kembali untuk memikirkannya malahan sebenarnya ia bukanlah kali pertama yang sampai ke pendengaranku. Kotak ingatan kembali aku buka dengan imbasan terhadap masa-masa lampau....

Pertama, ketika aku maklumkan kepada beberapa rakan seangkatan yang lebih senior denganku di dunia penerbitan suatu waktu dulu, mereka juga ada mengatakan bahawa aku akan hidup senang lenang bekerja di sini... Namun aku kurang mengerti maksudnya.

Kedua, selepas beberapa teman mengetahui aku bekerja di sini, memang wujud antara mereka yang bertanya ‘projek’ yang boleh dijadikan sebagai bahan tambahan mengisi poket lantas kemudian aku ditawarkan imbuhan... Aku kurang mengerti juga, namun dengan jelas aku katakan tiada....

Lantaran itu, setelah lebih tiga tahun aku menjadi penghuni di sini, ingin aku jelaskan bahawa di bawah payung UMNO ini sememangnya wujud kelibat insan yang mencipta manipulasi, mewujudkan persepsi dan tak kurang juga yang benar-benar gilakan populariti, tapi tak semua, cuma segelintir sahaja yang menjadi duri dalam daging dan gunting dalam lipatan.

Apa yang pasti, aku masih tetap seperti mana aku yang dahulu. Atas nama prinsip dan kejujuran, aku ikhlas atas apa yang aku lakukan walaupun ada benarnya memang wujud segelintir individu yang bertindak menyelam sambil minum air, malah ada yang sanggup bersikap negatif dan ortodoks lantaran enggan kuasa dikongsi bersama dan keuntungan dimonopoli.

Alhamdulillah, sehingga ke hari ini aku masih terus berpegang pada prinsip dan pesanan dari ahli keluarga yang banyak memberi sokongan padaku.

Kata suamiku, bekerjalah atas bakat dan kebolehan yang ada, bersandarlah pada keikhlasan dan kejujuran biarpun adakalanya pahit untuk ditelan tapi percayalah bahawa keadilan akan tetap berpihak kepada kebenaran. Justeru, janganlah bergantung kepada dunia pura-pura semata-mata sebaliknya bekerjalah secara profesional tanpa sikap ampu, dengki dan iri hati; lakukan dengan penuh rasa amanah dan tanggungjawab, bukan untuk menarik perhatian, mendapat nama, bermegah dan menindas orang lain untuk menjawat tangga tertinggi.

Dengan rasa rendah diri, aku sematkan dalam hati lantaran cabaran dunia politik yang seringkali dipolitikkan...

Pesan arwah mak juga selalu bermain di minda, dengan tuturnya lembut tetap aku ingati... katanya, tidak perlulah kemewahan atau wang ringgit untuk dikejarkan hinggakan lupa saham akhirat kerana kita tidak akan kemana selain penyesalan dikemudian, sebaliknya bersederhanalah dalam segalanya dengan menerima kekurangan diri dan kelebihan orang lain tanpa bersikap membelakangkan yang hak.

Justeru, aku akur... dalam membina kerjaya dan meniti peluang memang tidak semudah melaluinya. Malah aku bersyukur kerana aku sendiri tahu nilai kerjaku dan kulitinya dihargai setanding dengan beban tugas yang tergalas, biarpun malam-malamku atau hujung minggu seringkali terisi dengan amanah besar.

Aku yakin, perjuangan atas nama bangsa, agama dan negara tetap akan dirahmati, kerana aku juga pasti akan ada seorang pemimpin yang benar-benar akan membawa perubahan dan membersihkan kembali nama parti yang telah tercemar dengan persepdi manipulasi murahan!

p/s: janganlah kita nak mencekik angsa yang bertelur emas.... fikir-fikirkanlah!

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers