Thursday 4 June 2009

Hargai Setiap Detik Bersama Dan Kesihatan

Sejak seminggu yang lalu banyak perkara yang berlaku di sekeliling, namun yang pasti, semuanya berlaku tanpa dirancang dan berita-berita yang sampai ke perkhabaran hampir kesemuanya mendukacitakan dan menyedihkan.

Sebagai panduan dan tauladan untuk diri dan keluarga sendiri, juga untuk kawan-kawan semua, hargailah setiap detik bersama keluarga di kala kesihatan dan kesejahteraan dinikmati, malah ketahuilah bahawa sekiranya kita menghadapi kesusahan, kesakitan dan kekecewaan... ada insan lain yang lebih perit kehidupannya berbanding kita.

KES 1

Shah (bukan nama sebenar), dikenali tanpa sengaja atas urusan rasmi keluarga. Namun begitu, sebelum ini hubungan hanya melalui talian telefon sahaja. Lantaran tuntutan yang memerlukan kami berbincang secara bersemuka, pertemuan dirancang. Malangnya, bukan hanya sekali dua terbatal sebaliknya selama hampir dua minggu asyik tidak menjadi.


Namun demikian, suamiku sendiri yang menghubunginya dengan mesra seorang rakan, rupanya tertangguh kerana dia segan untuk bertentang mata denganku ekoran matanya yang cacat sebelah.

Malam tadi pertemuan yang direncanakan menjadi realiti akhirnya. Sebelum itu suamiku telah berpesan, jangan tenung wajahnya kerana dia malu ekoran kecacatan di matanya.

Namun demikian, sebagai manusia, rasa rendah diri tetap ada dan tidak sesekali aku tergamak untuk menilai anugerah tuhan. Menyedari keadaan yang seakan kekok, aku dan anak-anak hanya menyertai perbualan seketika sahaja dan selebihnya aku serahkan kepada suami, tambahan pula Ameer merengek dan kami pun beredar menunggu dalam kereta.

Cerita suamiku, kasihan pada Shah, kehidupannya dirundung malang yang bertimpa-timpa.
Bermula dengan beberapa tahun lalu apabila dia terpaksa menerima tawaran pemberhentian kerja melalui skim VSS ekoran keadaan ekonomi, dia bergelar penganggur. Selepas kira-kira dua bulan berlalu, sikap isterinya mula berubah...dingin dan sering mencari alasan untuk tidak bersama di samping layanan juga tidak pernah mesra. Namun demi dua orang anak, Shah bersikap selamba dan cuba keras hati biarpun akhirnya lebih setahun hubungan dingin berlanjutan dan ikatan mesra antara suami isteri tidak terjalin.

Dalam masa yang sama, Shah mula perasan seakan ada pihak lain yang menjadi dalang tetapi kerana enggan berprasangka dan menuduh secara melulu, siasatan dilakukan dengan terperinci melalui bantuan beberapa rakan. Hasilnya benar, bahawa isterinya curang bersama insan lain dan lebih menghiris hati ia sampai ke kamar tidur.

Lantaran enggan digelar dayus dan demi masa hadapan di samping nasihat dari Pejabat Agama Islam, Shah melepaskan isterinya biarpun dalam masa yang sama anak-anak terpaksa juga dilepaskan.

Hancur impiannya untuk mengecap kebahagian bersama anak-anak dan isteri apatah lagi anaknya yang kedua memerlukan perhatian rapi ekoran pengesahan doktor yang merawat bahawa tumbesaran mental anaknya tidak seimbang dengan perkembangan fizikalnya iaitu; anaknya akan berperangai kebudak-budakan dan tidak matang biarpun usianya meningkat.

Atas semangat yang masih bersisa, Shah bangkit biarpun airmata sering menjadi temannya. Shah cuba berniaga bersama seorang rakan, malangnya sekali lagi impiannya hancur apabila dirinya ditipu dan wang pelaburan lesap begitu sahaja.

Dalam masa yang sama, enggan mengalah dengan kesempitan yang berlaku, Shah banyak menghabiskan diri bersama rakan-rakan termasuklah menyertai mereka bermain futsal.

Malang sekali lagi menimpa apabila ketika bermain, bola yang disepak kuat terkena pelipis matanya yang mengakibatkan retina di dalam matanya hancur. Akibatnya, dia kehilangan penglihatan mata kiri buat selama-lamanya.

Tidak cukup dengan itu, dugaan datang bertimpa tidak berhenti sebaliknya, baru seminggu lalu Shah kehilangan bapanya yang telah kembali ke rahmatullah.

Dan dengan secebis semangat, Shah cuba bangkit dengan menjalankan perniagaan sendiri, dan di kedai itu jugalah yang menjadi tempatnya untuk berteduh dari panas dan hujan, sedang anak-anak hanya akan dilawati sekitar dua minggu sekali....

Kata Shah, sesungguhnya dia tidak sanggup untuk menghadapinya namun apakan daya, dia tidak ada pilihan lain lagi dan dia terpaksa bertahan demi anak-anak biar sesukar mana sekalipun....

Bayangkanlah, bukan hanya impian bersama isteri tercinta, anak-anak dan keluarga habis hancur malah penglihatannya juga turut terjejas teruk dan kerjaya tidak menentu. Kesan paling teruk yang Shah terima ialah, keyakinan dirinya juga turut sama tercalar dan enggan bersemuka dengan sesiapa termasuklah aku....

KES 2

Perkhabaran sedih yang singgah ditelingaku, juga melalui suamiku sendiri... Lan (nama samaran) rakan baiknya, terlalu akrab sejak zaman persekolahan apatah lagi turut sama menjadi rakan sepermainan di kampung telah ditimpa malang.

Dalam usia semuda 33 tahun, Lan ditimpa semi strok (kata doktor) yang diakibatkan oleh gangguan saraf, lantas menyebabkan sebelah badannya menjadi kaku, kebas dan mulut juga seakan herot.

Bukan hanya masalah kesihatan yang menjadi persoalan tetapi apa yang Lan alami sejak dari kecil lagi. Sudahlah Lan dilahirkan dengan kecacatan iaitu sebelah anggota tangannya tiada (tangan kanan, separas bahu) yang melayakkan dirinya digelar OKU (orang kurang upaya) ditambah lagi dengan kesempitan hidup anak desa kematian bapa.

Lan berjaya menongkah arus dan melanjutkan pengajian hingga ke menara gading. Dan apabila segulung ijazah diperoleh, malang sekali lagi menimpa apabila Lan gagal memperoleh pekerjaan yang setaraf dengan kelayakannya menyebabkan dia menjadi kerani di kampungnya.

Lan tiada pilihan apatah lagi sebagai anak sulung lelaki dia terpaksa menyara keluarganya, seorang ibu tua, termasuklah anak-anak saudaranya ekoran kegagalan rumahtangga kakaknya (suami penagih dadah) di samping adik-adik yang masih bersekolah.

Rezeki menyebelahi Lan apabila bertemu jodoh dengan seorang guru walaupun usia Lan sudah agak lewat berbanding anak kampung lain yang sudah pun menimang cahayamata. Tidak putus di situ, Lan turut mendapat tempat mengisi kekosongan untuk jawatan tetap sebagai Pegawai di Perpustakaan Ibu Kota.

Lantaran kerjaya, keluarga ditinggalkan dan Lan berjauhan tanpa ditemani sesiapa. Namun demikian, baru sahaja beberapa bulan Lan bertugas di perpustakaan tersebut kesihatan terjejas dan terpaksa mengambil cuti sakit untuk berubat serta pulang ke kampung.

Apatah lagi, isteri Lan sedang sarat mengandungkan anak sulung mereka manakala Lan terpaksa bertarung dengan masalah kesihatan yang boleh mengakibatkan dirinya lumpuh separuh badan.

Kemungkinan ekoran kebergantungan tangan Lan pada sebelah tangan dalam melakukan pelbagai aktiviti antara penyebabnya atau kerana kegagalan Lan yang kurang melakukan senaman hingga menjejaskan kesihatan.

KES 3

Minggu lalu, aku dikhabarkan oleh kakak iparku bahawa jiran kami yang lebih mesra dipanggil Obek Kalsom jatuh sakit, beberapa hari terlantar di wad dan kemudian pulang ke rumah.

Kesempatan tersebut aku gunakan untuk mengunjunginya. Ketika itu dia baru sahaja kembali dari hospital ekoran tiub yang menyambungkan saluran makanan (susu) tercabut.

Mula-mula aku melihatnya, terus tergamam kerana kali terakhir aku berjumpa dengan Obek Kalsom, kesihatannya amat memberangsangkan malahan dalam usia melewati 70-an, Obek Kalsom masih segar dan mampu berjalan laju tidak sepantas dengan usianya.

Sedetik itu juga aku terbayangkan arwah mak, kerana dahulu Obek Kalsom sering sahaja menghabiskan waktu senggang bersama arwah mak di rumah.

Pada penglihatanku, Obek Kalsom sangat uzur, biarpun masih mampu berjalan ke mana-mana tetapi malangnya, ekoran serangan strok yang menimpanya sebelum itu, Obek Kalsom sudah tidak mampu untuk bercakap walau sepatah kata pun, tambahan pula tiub makanan dimasukkan menerusi hidungnya hinggalah ke rongga tekaknya. Bayangkan panjangnya tiub saluran tersebut dimasukkan, apatah lagi untuk insan yang sudah berusia.

Tiba-tiba Obek Kalsom menarik tangan anaknya, beberapa kali menyuakannya ke dalam mulutnya.... Sangka kami yang ada di situ, kemungkinan dia mahukan gigi palsunya atau mungkin juga meminta air namun ia meleset.

Dan apabila beberapa kali di periksa, terperanjatnya kami yang berada di situ kerana yang ada di dalam mulut Obek Kalsom adalah tiub saluran makanan yang berselirat sebelum hujungnya memasuki rongga mulutnya.

Aduhai, kasihannya. Rupanya pegawai kesihatan yang memasang tiub tersebut melakukan kesilapan, tidak memasangnya dengan sempurna dan enggan membuat pemeriksaan rapi selepas dipasang.

Mungkin Obek Kalsom tidak selesa. Lantas sekali lagi, Obek Kalsom terpaksa di bawa ke bahagian kecemasan sebuah hospital di Ibu Kota.

Cerita anaknya kepadaku, pegawai perubatan yang memasangnya sebelum itu tidak muncul sebaliknya terpaksa diambil alih oleh doktor lain. Lebih perit lagi, tiub saluran tersebut beberapa kali gagal disempurnakan hinggakan mengalir darah dan Obek Kalsom seakan meronta. Malangnya, Obek Kalsom tidak boleh lagi bercakap, tidak boleh melontarkan kesakitan dan ketidakselesaan yang dirasa dan yang mengalir hanya airmata dari pelipisnya dan darah dari hidungnya.

KESIMPULAN

Hargailah setiap detik dan waktu yang ada, usia muda sebelum tua; saat bahagia sebelum derita; masa senang sebelum susah; saat sihat sebelum sakit dan paling penting hargai juga setiap detik bersama keluarga, lantas janganlah mengeluh apabila menghadapi kesempitan kerana sesungguhnya ada insan lain yang lebih sengsara dan menderita....

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers