Saturday 7 February 2009

Antara Amanah Dan Tanggungjawab

Pengorbanan
Sungguh mulia jiwamu
Hancur dan luluh
Dimanakah kepahitan
Kerana insan lain
Pengorbanan yang agung
Bukan diminta juga bukan dipaksa
Tapi suatu kesedaran
Erti tanggungjawab.


Puisi tersebut hasil nukilan Cikgu Mazlina Abd Majid dalam diariku ketika aku meniti darjah empat di Sekolah Kebangsaan Ampang. Ketika itu, tidak aku fahami butir bait yang tertulis... aku sekadar membacanya lalu menyimpannya hingga akhirnya aku tidak tahu entah dimana terkuburnya diari tersebut.

Namun begitu, puisi tersebut tidak aku lupakan malah kekal terpahat dalam hatiku dengan baitnya aku mengerti bahawa kehidupan tidak semudah disangka. Apatah lagi meniti perjalanan atas hubungan sesama insan. Ada atau tidak jalinan perhubungan, itu tidak penting kerana keikhlasan lebih diutamakan.

Begitu juga dalam kelangsungan hidup seharian, sesekali keliru antara tanggungjawab dan amanah, antara tugas dan impian hinggakan tercalar dengan keluhan dan amarah apabila kegusaran menghampiri. Enggan mengalah dan tidak mahu tewas dengan mudah, lalu cuba dilangsaikan dengan sempurna tetapi bimbang pula terabai cahaya jiwa yang menuntut perhatian.

Dalam berpada-pada kerana enggan ada yang terluka rupanya masih ada yang memendam rasa dan sengaja menyimpan hasad atas satu tujuan. Aduhai, kenapa mestinya ada insan yang berhati begini sedang kita bersama menyimpan harap untuk sejahtera dan bahagia.

Pada-Mu, aku pohonkan keteguhan hati, kekuatan semangat dan kejernihan jiwa untuk segala apa yang aku lakukan biarpun kekeliruan antara amanah dan tanggungjawab itu seringkali tidak dapat aku pisahkan. Buat pendukung semangat dan cahaya jiwa, pohon teduh rimbun bahagia, bunga kasih bertunjang iman dan waras akal – moga kekal Ikatan Kasih Abadi.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers