Thursday 19 February 2009

Belasungkawa – Memori Terpahat Bersama Dato’ Ib


Pagi tadi, aku dikejutkan dengan panggilan telefon bahawa tokoh Melayu Terbilang UMNO 2007, Dato’ Ibrahim Hussein kembali ke rahmatullah akibat diserang sakit jantung seawal jam 4.30 pagi.

Sepantas itu juga, kenangan selama tiga hari melaksanakan tugasan bersama rakan-rakan pertengahan tahun lalu di Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussein, Langkawi terimbas di kenangan. Betapa keramahan beliau dengan sikap rendah dirinya amat berbeza dengan kedudukan yang dimiliki.

Sememangnya, siapa orang seni yang tidak mengenali tokoh yang terulung ini, seorang anak kampung dari Kg. Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah yang akhirnya tersohor dalam bidang seni hinggakan pemimpin-pemimpin dari negara asing mengagumi kehalusan seni beliau lantas ada antara mereka yang menawarkan kerakyatan kepada beliau.

Tetapi jiwa dan raga beliau masih di Tanah Melayu...

perbincangan sebelum bermula wawancara
Diriku sebagai insan biasa, terlalu jauh dibandingkan dengan ketokohan Dato’ Ib namun keterasingan tersebut hilang lantas keramahan beliau menceritakan setiap detik dalam hidupnya...tertawa dengan bahagia, ghairah memaklumkan keterbukaan dengan pelbagai cerita dan inspirasi sebagai anak seni.

Kesederhanaan beliau amat terserlah dengan cara berpakaian, percakapan, penampilan dan keselesaan dalam perbualan... malah dalam soal makanan juga, beliau amat sederhana, bersama-sama kami ghairah menikmati makan tengahari di medan selera dengan masakan kampung kegemarannya.

Memang, sangkaanku sebelum pertemuan pertama yang diatur untuk temubual bagi Majlis Anugerah Melayu Terbilang 2007, penuh dengan prasangka, kagum dengan ketokohannya tetapi gagal menilai peribadinya....

Namun selepas pertemuan pertama, melihat kerancakan beliau bercerita dan keseronokannya menyatakan harapan kepada generasi muda... aduhai... bangsaku sememangnya gagah perkasa, kesohoran tidak membataskan keserasian....

Dato’ Ib sememangnya aku kagumi, bukan beliau sahaja sebenarnya malah ketokohan dalam keluarganya iaitu abangnya Tan Sri Emaritus Ismail Hussein seorang tokoh bahasa terkemuka dan abang sulungnya Dato’ Abdullah Hussein Sasterawan Negara malah aku berkesempatan menimba sekelumit ilmunya melalui Penulisan Cerpen sewaktu aku menuntut di Universiti Malaya – kebetulannya Dato’ Abdullah Karyawan Tamu di Jabatanku hinggakan aku jatuh hati pada novel paling lengkap bagiku ‘Imam’.

Antara lukisan Dato' Ib yang terpamer dalam Yayasan beliau
Pemergian Dato’ Ib aku anggap mengejutkan kerana setahuku menerusi perbualan lalu, beliau tidak mempunyai sebarang penyakit kronik malah kesihatannya baik berbanding usianya yang telah lewat bahkan keaktifannya melaksanakan kerja mengalahkan remaja muda.

Entah ada keterkilanan atau tidak, tetapi aku terus terfikir kepada impiannya untuk membuat pameran lukisan di Negara sendiri iaitu sempena 50 tahun merdeka yang menyamai 50 tahun beliau berkarya, malangnya beliau menjadi mangsa birokrasi hinggakan tercalar hati lalu enggan mengharap ibarat menadah simpati....

Sesungguhnya, kecemerlangan Dato’ Ib masih membara untuk anak bangsanya. Semoga roh beliau ditempatkan bersama-sama orang yang beriman, Al-fatihah!


2 comments:

muhd akmal said...

Salam Puan, boleh saya tahu adakah gambar tersebut masih disimpan pada puan lagi?

muhd akmal said...

Boleh Wassap saya tak 01161432476

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers