Saturday, 8 November 2008

Gurindam Anakanda (buat Amira Farhana)


Puisi ini aku tulis ketika usia Amira baru dua bulan, dan kemudian tersiar dalam laman e-sastera.com pada Jun 2005.

Ketika aku tulis puisi ini aku berada di pejabat, waktu itu kerinduan pada anak sulungku amat terasa apatah lagi, abahnya yang ketika itu menghantarnya ke Taska buat pertama kali baru lepas menghubungiku.

Katanya, sayu hati apabila menyerahkan permata jiwa ke tangan orang lain untuk diasuh... biarpun cuma seketika tetapi detik perpisahan amat terasa. Bergenang airmataku mendengarnya..., namun ku pujuk jiwa yang lara agar laksanakan amanah kerja dengan sempurna lantas apabila tamat waktu bekerja aku dapat segera bersama dengannya.


Dan kini, untuk kesekian kalinya, apabila Ameer dan Amira bersama... segala kerinduan terubat sentiasa. Anak-anakku, yang ku usung dalam kandungan, ku kelek ku kendung dengan segala kepayahan yang aku rela. Lelah yang membahagiakan, payah yang menggembirakan.
Aduhai Anakku tinggal seketika
Hilangkan airmata janganlah berduka
Ayahanda dan bonda keluar bekerja
Untuk keselesaan kita bersama

Naluri bonda tiada pernah lupa
Padamu anakanda yang sentiasa di jiwa
Terbayang di mata gundah gulana
Nantikan senja bertemu bonda

Derita ayahanda tinggalkan anakanda
Jiwa melara tersiksa sentiasa
Sebentar berlalu seabad rasa
Tiada terlupa walau seketika

Rindu bonda resah ayahanda
Menanti senja menjelang tiba
Tawa anakanda terbayang sentiasa
Tangis anakanda janganlah menjelma

Aduhai anakanda aduhai sayang
Jadilah insan berjiwa penyayang
Sabar menempuh dugaan mendatang
Cekal menongkah rintangan menghalang

Harapan bonda cita ayahanda
Dewasa penuh ilmu di dada
Jauhi segala malapetaka
Dukunglah bangsa junjung agama

Anakandaku intan permata
Pengikat kasih ayahanda bonda
Janganlah sekali mengutuk mengata
Jauhi sifat buruk dan sangka

Restu ayahanda dan doa bonda
Kelak anakanda berjiwa sempurna
Berbakti pada bangsa dan nusa
Insan cemerlang berjiwa maya

3 comments:

ummi said...

Kakak ku... sungguh meruntun jiwa membaca gurindammu. Melekat di hati. Sayu di jiwa.... Uhhhuhuhu...

nuhazcollections said...

alahaaiii sayunye....pasni tuk kawan2 lak ye...kasi gempak nye gurindam tau..;)

Aizat said...

Nak gurindam ni jd lirik lagu nasyid leh?? Nmpk best arr..hehee